Wednesday, November 3, 2010

Saya bukan nasihat Anwar saja...

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ramai ‘dinosaur’ dalam Umno pun perlu bersara bagi memberi ruang kepada muka-muka baru seiring dengan landskap politik semasa negara ini.

Justeru tegas beliau, nasihatnya agar Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bersara daripada politik tidak hanya terhad kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

Semalam, pemimpin-pemimpin muda dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sambil menyifatkan kepimpinan Anwar masih “relevan” berkata, pandangan bekas mufti Perlis itu sebagai “tidak realistik”.


“Pandangan saya yang tajam dan terbuka kepada Umno (dan) BN itu sebenarnya lebih banyak, saya pernah minta dinosaur-dinosaur politik dalam Umno supaya bersara awal untuk memberi laluan kepada muka-muka baru,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Beliau yang juga pensyarah pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia berkata, AMK sebagai sayap pemuda PKR sepatutnya tidak melenting apabila orang awam sepertinya memberi nasihat kepada Anwar, penasihat PKR.

Ini kerana kata beliau, politik baru yang dipopularkan oleh PR sejak tsunami politik pada 8 Mac 2008 sepatutnya tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk memberikan pendapat dan hujah demi kepentingan negara.

Katanya lagi, saranannya semalam agar Anwar bersara dari menjadi ahli politik sebenarnya tidaklah bermaksud untuk memadam segala rekod sumbangan ketua pembangkang itu kepada negara.

Namun, rekod sumbangan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak bermakna boleh menafikan bakat pemimpin-pemimpin muda yang lain untuk mengepalai PR, lalu mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Umno-BN kelak.

Sehubungan itu, Asri yang dikenali sebagai tokoh rentas parti turut membetulkan persepsi tidak tepat oleh dua calon Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin berhubung konotasi ‘bersara’ yang ditujukan kepada Anwar semalam.

“Saya kata bersara bukan dalam erti kata dia (Anwar) tidak boleh memberi pandangan dalam berpolitik, ramai tokoh-tokoh politik yang bersara masih boleh memberikan pandangan.”

Menurut beliau, pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pascabersara sebagai Perdana Menteri sekarang tetap dihormati dan berpengaruh dalam menentukan iklim politik negara.

“Pendapat Tun Dr. Mahathir sehingga hari ini terus didengar oleh Umno walaupun beliau sudah bersara kerana bersedia memberi laluan kepada muka-muka baru,” ujarnya.

Begitu juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata Asri sambil menambah, bekas perdana menteri itu dianggap hebat kerana bersara pada masa sesuai demi melancarkan survival politik BN.

“Tun Abdullah bukan tidak hebat, (pilihan raya umum ke-11) 2004 imejnya yang sederhana berjaya menenggelamkan populariti beberapa pemimpin pembangkang,” ujarnya.

Pun begitu, beliau menafikan spekulasi umum bahawa nasihat terbuka kepada Anwar itu ekoran perbicaraan kes liwat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekarang.

“Saya antara yang bersimpati dengan ujian Allah yang menimpa dia (Anwar), saya antara yang meminta supaya perbicaraan kes dia dibicarakan secara adil dan bermaruah,” tegasnya.

“Apa pun dalam masa yang sama saya tetap menuntut perbicaraan yang adil untuk Datuk Seri Anwar, jangan dinafikan hak beliau,” katanya lagi sambil menambah, Anwar tidak boleh dilayan sebagai penjenayah atau dianggap bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa PR memerlukan kepemimpinan muda yang baru sekiranya mahu mengambil alih Putrajaya daripada Umno-BN pada pilihan raya umum ke-13.

“Kalau pembangkang mahu momentum atau anjakan baru dalam politik tanah air, pembangkang sebenarnya memerlukan tokoh-tokoh baru,” jelasnya.

Dalam reaksinya semalam, Shamsul Iskandar menyifatkan kenyataan Asri sebagai tidak relevan kerana Anwar baginya adalah pencetus pada gelombang PR pada pilihan raya umum yang lalu.

Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai “Chegubard” turut menolak nasihat Asri kerana masih menganggap Anwar sebagai pemangkin pada perubahan landskap politik Malaysia, di samping tidak menafikan soal faktor kesedaran di kalangan rakyat sendiri.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pula berkata, Asri bebas memberi pendapat tetapi hanya rakyat dan ahli yang menentukan sama ada Anwar bersara atau tidak.

Namun anak sulung Anwar ini berkata, nasihat Asri itu tidak akan mematahkan semangat Ketua Umum PR itu untuk membawa PR menumbangkan Umno-BN pada pilihan raya umum ke-13.

“Prinsip Datuk Seri Anwar untuk lawan tetap lawan sama ada ada jawatan politik atau tak seperti dalam penjara dulu,” ujarnya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails