Saturday, November 27, 2010

Risalah hentam pemilihan muncul di kongres PKR

Di sebalik kegagalan protes kumpulan "baju hitam" di Kongres Pemuda dan Wanita PKR semalam, asakan terhadap jawatankuasa pemilihannya berterusan apabila banyak risalah dan kain rentang mempersoalkan perjalannya muncul.

Risalah tersebut dikesan ditabur di sekitar Dewan Sivik Majlis Bandaraya MBPJ Petaling Jaya - tempat kongres nasional PKR berlangsung - sehingga ke kompleks membeli-belah Amcorp, berdekatan Jalan Sultan dan Jalan Barat.

Kelihatan beberapa kain rentang digantung, antaranya bertulis "We demand reform" (kami tuntut reformasi) dan "Reformasi dan keadilan 'tersangkut' akibat kronisme".


Turut dikesan risalah yang menggunakan susun letak hampir sama dengan akhbar organ parti Suara Keadilan dengan paparan muka depan berjudul "Kotor, tidak adil dan salah guna kuasa'.

Memuatkan gambar perhimpunan bantahan bekas setiausaha PKR P Jenapala di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya sebelum ini, risalah bersaiz tabloid itu mendakwa "aktivis reformasi" kecewa dengan sikap pucuk pimpinan yang dikatakan mementingkan pangkat dan kedudukan selesa di sisi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Risalah empat muka surat itu mendakwa, pemimpin PKR tidak bersungguh-sungguh menangani permasalahan yang dibangkitkan dan hanya melepaskan batuk di tangga dan sekadar menyapunya di bawah karpet.

"Gesaan agar JPP diperkemas tidak dipedulikan. Desakan supaya pemilihan ditangguhkan juga dibakulsampahkan," laporan itu dipetik.

Bagaimanapun, tidak pasti pihak mana yang bertanggungjawab mengedarkannya.

Menyenaraikan 10 dakwaan penyelewengan, risalah itu - Suara Reformasi - turut memuatkan gesaan calon timbalan presiden PKR Datuk Zaid Ibrahim supaya Anwar dan Naib Presiden Azmin Ali berundur daripada parti.

Dimuatkan juga dakwaan kritikan Jenapala dan calon Ketua Pemuda PKR (AMK) Badrul Hisham Shaharin berhubung perjalanan pemilihan langsung kali pertamanya.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails