Wednesday, November 17, 2010

PRU13 : PR Perak Bersedia.. dan Zambry juga bersedia..

DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat Perak sudah bersedia untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) jika pilihan raya umum tergempar diadakan dalam waktu terdekat.

Jika DAP dan PR Perak mengatakan mereka telah bersedia untuk menghadapi PRU 13 kita juga harus maklum bahawa Zambry juga memang telah bersedia menghadapi PRU kali ini.

Meskipun beberapa perkampungan Tradisi Melayu yang berada di tepi Pantai akan dipindahkan ke kawasan perumahan baru yang lebih sempit kawasannya penduduk di situ tetap berpuashati.

Bagi mereka Zambry telah membawa kemajuan di kawasannya.. antara yang amat dihargai adalah tindakan Zambry melalui Kerajaan Negeri yang telah membeli semula beberapa bidang tanah milik Bumiputera yang terlepas ketangan bukan Bumiputera dan menempatkan Tuan Tanah asal disitu semula..

Kawasan lain aku tak tahu nak kata.. tapi Pulau Pangkor ni aku rasa sukar buat PR nak tawan.. ni aku dengar dari orang-orang di sini petang tadi.. err. aku kat Pulau Pangkor sekarang..

PRU: Pakatan Perak sudah sedia tumbang BN, kata pengerusi DAP
Oleh Clara Chooi

AYER TAWAR, 17 Nov - Empat hari ini selepas pemilihan sengit, DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat Perak sudah bersedia untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) jika pilihan raya umum tergempar diadakan dalam waktu terdekat.

Berbanding negeri-negeri lain, Pakatan Rakyat Perak dikatakan lebih padu di sebalik krisis politik yang menimpa negeri itu awal tahun lalu, menyebabkan kerajaan negeri jatuh ke tangan BN.

Pakatan Rakyat masih melihat perubahan awal 2009 sebagai satu bentuk ‘rampasan kuasa’ oleh BN, yang turut membawa kepada krisis perlembagaan negeri.


Dalam temu bual eksklusif, Pengerusi DAP Perak yang baru Datuk Ngeh Koo Ham berkata, sejak ‘rampasan’ kuasa lebih setahun lalu, kesemua pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat di negeri terus-menerus bekerja keras untuk memastikan satu lagi “kemenangan”, yang lebih besar berbanding 2008, dalam pilihan raya umum ke-13.

“Saudara-saudara kami dalam Pakatan Rakyat, kami sangat rapat di Perak, bukan hanya disebabkan krisis tetapi disebabkan kami mempunyai pemimpin-pemimpin yang baik, disegani, matang dan berupaya.

“Dan, ya, kami sudah bersedia (untuk menghadapi pilihan raya umum). Sebenarnya kami berada dalam persekitaran pilihan raya sejak (kuasa) kerajaan negeri disambar. Dan, sekarang pilihan raya akan dipanggil pada bila-bila masa, kami sudah bersedia.

“Saya percaya jentera pilihan raya kami berada dalam kedudukan mantap,” kata beliau di sini.

Bagaimanapun Ngeh mengakui, ekoran siri peristiwa ketika krisis perlembagaan selepas kuasa kerajaan negeri disambar, jentera Pakatan Rakyat kini amat terdesak untuk mendapatkan lebih banyak dana dan dalam kadar secepat yang mungkin.

“Apabila jentera kami diperkaya, maka kami boleh bergerak dengan lancar. Kami telah membelanjakan jumlah yang banyak bagi membiayai perbelanjaan khususnya untuk membayar kos kepada BN ketika kes mahkamah,” kata beliau.

Pakatan Rakyat Perak terlibat dalam siri kes mahkamah ke atas BN sejak Februari 2009, dalam usaha mengisytiharkan kerajaan negeri sebagai tidak sah.

Pun begitu, bekas exco kerajaan negeri kanan Perak ini berkata, pihaknya sudah berjaya menyaksikan kemajuan dalam menerokai sokongan di kalangan pengundi kawasan luar bandar di mana ia kalah besar di tangan BN pada 8 Mac 2008.

Pada 2008, Perak yang secara tradisi dikuasai, BN jatuh ke tangan pembangkang dengan perbezaan hanya tiga kerusi.

DAP menyapu bersih di kesemua 18 kerusi yang ditandingi khususnya di kawasan Lembah Kinta manakala PKR menang di tujuh kerusi manakala PAS pula enam.

BN pula terus bertapak di 28 kerusi, kebanyakannya di kawasan luar bandar yang majoriti adalah pengundi Melayu. MCA menang satu kerusi manakala MIC kalah teruk.

PKR, DAP dan PAS membentuk kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada awal pagi 9 Mac 2008 - sehari selepas pengundian.

Bagaimanapun kerajaan negeri Pakatan Rakyat tumbang ekoran tindakan tiga wakil rakyatnya - dua dari PKR dan seorang pemimpin DAP keluar dan mereka bertindak sebagai anggota mesra BN.

Selepas siri usaha perundangan untuk memperoleh kembali kuasa kerajaan negeri, Pakatan Rakyat Perak kini memberi tumpuan untuk mendapatkan semula kemenangan dalam pilihan raya umum tergempar yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat Sabtu ini, dijangka memberi tumpuan ke atas persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan konvensyen mereka.

Di Perak, halangan besar Pakatan Rakyat ialah mendapatkan undi orang Melayu khususnya di kawasan-kawasan separa bandar dan luar bandar yang ditandingi Umno pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun Ngeh kekal yakin bahawa disebabkan gabungan ketidakadilan yang disebabkan oleh BN dan prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat selama 10 bulan, pengaruh mereka di kalangan pengundi terus mengalami peningkatan.

“Kami percaya dan berharap bahawa kini kami memiliki sekurang-kurangnya 40 peratus sokongan pengundi Melayu dari kawasan luar bandar,” katanya.

“Secara ideal, sasaran kami bukan untuk menang dengan majoriti tiga kerusi. Kali ini, kami meletakkan sasaran untuk menang dua pertiga daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak,” kata Ngeh.

Ngeh juga mendakwa berdasarkan pada sentimen umum pengundi di kawasan-kawasan kuat Umno, pengundi-pengundi Melayu kini lebih terbuka ke arah Pakatan Rakyat.

“Ia satu perubahan besar. Sebelum Mac 2008, DAP tidak boleh menaikkan bendera di kawasan-kawasan itu. Kami tidak boleh masuk langsung wilayah mereka.

“Tetapi sekarang, mereka mengalu-alukan saya dan apabila saya datang, saya bercakap kepada kehadiran sekitar 2,000 orang, saya merasakan diri saya dialu-alukan,” kata beliau.

DAP, kata beliau, sudah tidak lagi dianggap sebagai parti “cauvinis Cina atau parti komunis.”

Begitu juga sebaliknya kata Ngeh sambil menambah, pengundi komuniti Cina juga sudah tidak bimbang dengan parti-parti berorientasikan bukan Cina.

Kata beliau, mereka sudah mula menerima parti-parti pelbagai kaum seperti PKR dan PAS yang berlatarbelakangkan dasar Islam.

“Ini yang kami lakukan sekarang bagi memastikan ada sokongan bukan Melayu bagi PKR dan PAS di kawasan yang DAP tidak bertanding,” katanya.

Kata beliau, pihaknya kini dalam proses memujuk masyarakat Cina agar tidak bimbang dengan kedua-dua parti itu dan sedang bergerak untuk melepasi halangan-halangan sedemikian di Perak.

Bercakap mengenai strategi, kata Ngeh, gandingan Pakatan Rakyat sudah ada perwakilan di kesemua 24 bahagian Parlimen di negeri itu.

“Kami sudah membentuk jawatankuasa perhubungan Pakatan Rakyat di setiap kawasan Parlimen, diwakili oleh sembilan orang, dengan tiga wakil daripada setiap parti,” kata beliau.

Tambah beliau, setiap parti komponen Pakatan Rakyat juga dijangka menyediakan perkhidmatan di kawasan yang kemungkinan mereka akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Ngeh juga berkata, peruntukan kerusi membabitkan ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat dijangka sama seperti dua tahun lalu.

“Ia bukan satu masalah bagi kami. Benar, DAP menyerahkan dua kerusi kepada PKR, tetapi kami tidak bergaduh sesama kami untuk kerusi.

“Apa yang penting ialah hubungan kami kukuh. Itu sebabnya, Pakatan Rakyat Perak sangat rapat... kawasan anda dianggap sebagai kawasan kami dan kami melihat kami sebagai pemimpin Pakatan Rakyat, bukan hanya pemimpin parti sendiri,” kata beliau lagi.

Pada 8 Mac 2008, DAP bertanding di 18 kerusi, PKR di 20 kawasan manakala PAS pula 21.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails