Friday, November 26, 2010

Protes ‘Selamatkan Keadilan’ tidak menjadi

Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Hasrat sekumpulan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merancang untuk mengadakan protes dan menyebarkan risalah ‘Selamatkan Keadilan’ semasa Kongres PKR yang bermula hari ini nampaknya tidak menjadi sebaliknya dilihat masuk menyertai Kongres sebagai perwakilan.

Kumpulan yang menamakan diri sebagai Anak Muda itu pada mulanya dilihat berlegar di perkarangan luar Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) pada awal perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sejak awal pagi.


Memakai baju serba hitam, kira-kira sepuluh ahli PKR yang dipercayai daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) mula mengedarkan ‘armband’ dan ‘headband’ berkain hitam yang tertera tulisan ‘Selamatkan Keadilan" kepada orang ramai.

Namun, sehingga penghujung ucapan perasmian Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, kumpulan itu mula masuk ke dalam Dewan menyertai Kongres sebagai perwakilan AMK.

Salah seorang penyokong Anak Muda yang mahu dikenali sebagai Norazizi berkata, pihaknya membatalkan hasrat untuk meneruskan Kempen Selamatkan Keadilan kerana pihaknya masih belum menerima ‘lampu hijau’ daripada pemimpin untuk meneruskan kempen ini.

"Tambahan pula kami sudah pun diberi peringatan daripada penganjur majlis supaya tidak buat ‘kacau’ sepanjang kongres berlangsung.

"Kami tidak ada niat nak buat kacau, cuma mahu buat beberapa usaha untuk tarik perhatian pemimpin tertinggi dan JPP supaya buka mata dengar masalah dan kepincangan yang berlaku sepanjang proses pemilihan.

Namun Norazizi berkata setakat ini pihaknya mampu menarik sedikit nafas lega apabila mendapat jaminan daripada MPP untuk menyiasat dan selesaikan masalah di peringkat cabang.

"MPP memberi jaminan kepada kami bahawa pihaknya akan selesaikan masalah pemilihan peringkat cabang dan setakat ini kamu dimaklumkan tiga Cabang yang bermasalah bakal dikenakan tindakan," katanya.

Dalam kempen itu, mereka sebelum in merancang untuk meyebarkan risalah dan mengadakan protes sebagai tanda bantahan terhadap kepincangan yang berlaku sepanjang proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berlangsung walaupun aduan dan memorandum diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Norazizi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kumpulan Anak Muda itu akan meneruskan perancangan mereka untuk protes pada esok dan acara kemuncak pada Ahad ini.

"Setakat hari ini tiada apa-apa tindakan sebab tiada arahan. Kita tengok saja esok atau lusa," katanya


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails