Sunday, November 21, 2010

Program mengkayakan Kroni

Oleh Queville To

KOTA KINABALU: Pengumuman Ketua Menteri Musa Aman mengenai peruntukan RM1 juta untuk setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Sabah tahun depan disifatkan sebagai "satu bentuk rasuah politik".

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, pengumuman Musa itu – di bawah belanjawan negeri – memerlukan perhatian dan siasatan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Menyediakan peruntukan RM1 juta untuk setiap kawasan BN sahaja merupakan rasuah politik. Ini jelas merupakan bajet pilihan raya untuk meningkatkan peluang kemenangan bagi BN pada pilihan raya umum akan datang dan bukan untuk faedah rakyat. Wang ini akan digunakan untuk membeli undi," dakwa Lim.

Musa mengumumkan peruntukan khas itu di bawah Bajet Negeri 2011 Jumaat lalu. Beliau berkata peruntukan itu membolehkan wakil rakyat BN menyediakan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing. BN memegang 57 dari jumlah 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengumuman beliau dilihat sebagai bertempatan dengan masanya sejak Perdana Menteri Najib Tun Razak dijangka akan mengumumkan pilihan raya bila-bila masa tahun depan. Parti-parti pembangkang meramalkan Najib akan mengumumkannya di antara Mei dan November 2011.

Program "rasuah politik" untuk kroni

Sementara itu, Lim menegaskan bahawa salah satu dari Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) ialah memerangi rasuah dan salah satu aspek dikenalpasti ialah memerangi "rasuah besar" iaitu rasuah politik.

"SPRM harus menyiasat dan membasmi rasuah politik untuk membuktikan kerajaan serius dalam memerangi rasuah.

Ketua Audit Negara juga harus menjalankan audit khas mengenai perbelanjaan peruntukan ini pada tahun-tahun yang lalu oleh wakil rakyat BN Sabah dan menyediakan laporan audit terperinci berhubung penyelewengan.

"Penyelewengan ini mesti didedahkan dan dihentikan jika mahu Malaysia menjadi sebuah negara demokrasi dan moden. Dana awam tidak harus diselewengkan untuk tujuan politik," ujar beliau.

Bercakap kepada para pemberita di sini semalam sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, Lim berkata, peruntukan itu bertentangan dengan laporan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai "pertumbuhan inklusif".

Sabah negeri termiskin

Beliau menekankan pertumbuhan inklusif bermakna faedah untuk semua rakyat tanpa mengira sokongan dan kecondongan politik.

"Bagaimana anda bercakap tentang pemberian RM1 juta kepada kawasan-kawasan yang dimenangi oleh BN sahaja dan pada masa yang sama bercakap mengenai pertumbuhan inklusif?," soal beliau.

Mengenai peruntukan RM162 juta bagi membasmi kemiskinan dalam bajet itu, beliau hairan dan marah dengan fakta bahawa walaupun beratus-ratus juta ringgit telah dibelanjakan di bawah program membasmi kemiskinan dalam beberapa tahun lalu sejak BN mengambil alih pentadbiran pada 1994, Sabah menjadi negeri yang termiskin di negara ini.

"Saya fikir daripada menyebutnya program membasmi kemiskinan, ia seharusnya dilabel sebagai "program mengkayakan kroni BN" memandangkan tahap kemiskinan kekal tinggi di Sabah," ujar beliau.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching, Ketua DAP Sabah dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Hiew King Cheu, timbalannya dan juga Adun Sri Tanjung Jimmy Wong, naib presidennya Edward Mujie dan setiausaha publisiti Edwin Bosi.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails