Tuesday, November 2, 2010

PRK DUN Galas: Sokongan BN dahului PAS

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

GUA MUSANG, 2 Nov — Ketika tinggal dua hari lagi menjelang hari pengundian, seramai 93 peratus pengundi telah menetapkan pilihan masing-masing dengan Barisan Nasional (BN) dilihat mendahului pesaingnya dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Sekitar tujuh peratus pengundi masih belum membuat pilihan mereka sehingga semalam.

PAS yang pertama kali menguasai kerusi Galas, yang terletak dalam bahagian Parlimen Gua Musang dua tahun lalu, menerima sokongan 42 peratus berbanding BN yang menjadi pilihan 51 peratus.

Sebelum ini, PAS berkata ia memulakan kempennya dengan asas sokongan pada tahap 48 peratus dan menganggapnya ‘underdog’ dalam mempertahankan kerusi tersebut.

Tiga hari lalu ia berkata sokongan itu meningkat sedikit kepada 49 peratus.

Dan, kumpulan pengundi ‘atas pagar’ ini dilihat akan menentukan bakal keputusan DUN Galas - pilihan raya kecil kedua di Kelantan sejak 8 Mac 2008.

Kempen pilihan raya kecil yang sudah masuk hari ketujuh hari ini menyaksikan perubahan yang ketara dari segi sokongan pengundi terhadap parti yang bertanding.


Walaupun kedua-dua parti mempunyai pendekatan yang berbeza untuk mendekati pengundi, namun dilihat pengundi lebih cenderung kepada BN yang meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff berbanding PAS yang memilih pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Bagi Dr Zulkefli cabaran di DUN Galas merupakan percubaan keempat dalam pilihan raya.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Tinjauan The Malaysian Insider, yang dilakukan dengan mengambil kira komposisi pengundi mengikut kaum, menunjukkan BN dan PAS masih hampir seimbang dalam mendapatkan sokongan pengundi Melayu.

Seramai 46 peratus dikatakan akan memilih BN manakala 42.6 peratus lagi akan memberikan sokongan kepada PAS dengan 11.4 peratus masih belum membuat sebarang keputusan.

Pada hujung minggu lalu PAS mengatakan bahwa pengundi Melayu akan menjadi penentu kemenangan di Galas kali ini.

Di kalangan pengundi Cina pula, yang kebanyakannya tinggal di kawasan bandar, BN menjadi pilihan mereka apabila 57 peratus mengatakan akan memilih Abdul Aziz manakala 43 peratus pula memihak kepada PAS.

Sokongan Orang Asli dilihat masih kekal dengan BN dengan 63 peratus mengatakan bahawa akan memberikan sokongan kepada BN manakala selebihnya 37 peratus memihak kepada PAS.

Pandangan sebelum ini menyebut hampir tiga perempat akan menyokong BN memandangkan ia merupakan kubu kuat BN dan atas kepimpinan personaliti Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang.

Sementara itu, bagi sokongan pengundi India pula nampaknya ia masih sama rata apabila 50 peratus memihak kepada BN dan 50 peratus lagi akan mengundi PAS.

Kajian juga mendapati perubahan pilihan banyak berlaku di kalangan pengundi Melayu ekoran dakwaan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan banyak masalah seperti isu tanah, perumahan dan air.

Malah terdapat juga rungutan di kalangan pengundi Cina, yang tinggal di kawasan luar bandar, yang mana mereka mengatakan banyak permintaan mereka tidak dipenuhi.

Bagi Orang Asli pula, walaupun BN masih mendapat sokongan lebih, namun sekiranya tiada usaha-usaha dilakukan kemungkinan besar ia boleh menjejaskan arah aliran sokongan kepada BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Kerusi DUN Galas mempunyai 13 daerah mengundi termasuk Lojing (606 pengundi), Sungai Ber (411 pengundi), Belatim (160 pengundi), Balar (232 pengundi), Bihai (278 pengundi), Hau (254 pengundi), Kampung Pulai (471 pengundi), Kampung Baru (2,150 pengundi), Bandar Lama Gua Musang (1,562 pengundi), Bandar Baru Gua Musang (1,058 pengundi), Kampung Batu Papan (1,739 pengundi), Lepan Tupai (593 pengundi) dan Sungai Terah (1,912 pengundi).

Kawasan Orang Asli melibatkan enam daerah mengundi iaitu Lojing, Sungai Ber, Belatim, Balar, Bihai dan Hau.

Bagi kawasan bandar pula melibatkan tiga daerah mengundi termasuk Kampung Baru Gua Musang, Bandar Lama Gua Musang dan Bandar Baru Gua Musang.

Sementara itu, kawasan luar bandar pula melibatkan empat daerah mengundi iaitu Kampung Pulai, Kampung Batu Papan, Lepan Tupai dan Sungai Terah.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas.

Che Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails