Friday, November 12, 2010

PR bimbang kemelut PKR

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) bimbang dengan kemelut dalaman yang melanda Parti Keadi:lan Rakyat (PKR) yang kini dilihat hampir mencetuskan perpecahan dalam kalangan ahli parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara ini harus diatasi oleh pucuk pimpinan PKR agar ia tidak berlarutan dan boleh menimbulkan perpecahan bukan sahaja dalam kalangan ahli malah turut membabitkan Pakatan sedia ada.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan kepimpinan PKR dan bagi mengatasi kemelut yang berlaku dalam kalangan ahli mereka, pasti perkara ini tidak akan berlarutan sehingga boleh menimbulkan kejadian tidak diingini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mahfuz berkata, perang dingin yang berlaku dalam PKR ini turut memberikan kesan kepada PR, perkara sebegini akan terjadi terhadap mana-mana pihak jika salah satu parti gabungan mereka bertelingkah sesama sendiri.


“Apa jua pertubuhan atau parti yang bergabung akan bimbang jika sekiranya perkara sebegini terjadi dalam pakatan mereka, ia memberikan kesan dan menjadi perhatian ramai, kerana banyak pihak termasuk ahli parti ingin mengetahui perkembangan mengenainya,” katanya.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai cara tersendiri menangani kemelut dalaman tanpa melibatkan campur tangan luar.

Seorang lagi Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, parti meminta PKR menyelesaikan kemelut secepat mungkin kerana ia turut memberi kesan kepada pakatan pembangkang.

“Sebagai satu keluarga besar dalam pakatan sudah pasti apa yang berlaku dalam PKR ini akan memberikan implikasi terhadap masa depan dan juga keyakinan rakyat terhadap keupayaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, calon naib presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar berkata, PKR bermesyuarat bagi menangani perkara itu dan mengenal pasti beberapa langkah segera.

“Kita mengamalkan perbincangan secara tertutup. Kita rasa dalam mana-mana parti yang melangsungkan pemilihan tidak ada yang berani mengamalkan sistem terbuka. Kita sedang memperbaiki dan menghalusi sistem yang kita akan gunakan dan saluran yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang mahu PKR segera menyelesaikan masalah dalamannya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Mengenai gesaan pelbagai pihak agar pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ditangguhkan, Nurul Izzah berkata, keputusan untuk berbuat demikian perlu dirujuk kepada Biro Politik parti itu.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails