Sunday, November 14, 2010

PKR: Siapa menang, siapa kalah?

A Kadir Jasin

Hakikatnya bukan soal kalau lagi. Perlawanan Zaid Ibrahim dengan Anwar Ibrahim sudah pun bermula.

Apa tidaknya, Zaid secara terbuka, termasuk melalui media massa arus perdana yang tidak diyakini oleh pembangkang, telah mencabar Anwar dan orang kanannya, Mohd Azmin Ali, supaya memberi laluan kepada kepemimpinan baru.

Dan Zaid tentu tidak berjenaka, sinis atau skeptis apabila dia berkata, dia layak memimpin PKR. Yang malang adalah Zaid telah menarik dari daripada pertandingan timbalan presiden dan meletakkan semua jawatan parti.

Jadi, peluangnya memimpin PKR atau mengambil bahagian dalam proses kepemimpinan telah berakhir melainkan dia cuba memimpin parti itu dari luar melalui kaedah perang gerila atau pemberontakan.


Kemungkinan Zaid merampas kuasa melalui pemberontakan pasti tidak dipandang ringan oleh Anwar dan penyokongnya kerana bukan semua elemen dalam kepemimpinan dan keahlian PKR setia kepada Anwar.

Inilah bahana hasrat dan taktik Anwar cuba memperbesar dan memperkuatkan PKR dengan membawa masuk atau membenarkan kemasukan sesiapa saja tanpa menilai latar belakang serta kesesuaian mereka dengan aspirasi dan perjuangannya. Akhirnya keasyikan dia menambah ahli menjadi senjata makan tuan.

Adakah mampu bagi Anwar dan para penyokong setianya mengatasi pemberontakan yang sedang dianjurkan oleh Zaid ini?

Jawapannya ya, kalau dia belajar sesuatu daripada bekas mentornya Dr. Mahathir Mohamad dalam menangani keadaan sebegini.

Anwar sudah pun menjadi orang kesayangan Dr. Mahathir apabila Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 dan pada tahun berikutnya berpakat dengan musuh ketatnya, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menjatuhkan Dr. Mahathir dalam pemilihan parti.

Musa kalah dan Ku Li tidak menang. Ku Li bawa kes ke mahkamah dan Umno diisytiharkan pertubuhan tidak sah. Dalam perebutan mendaftarkan semula Umno, Ku Li kalah lagi dan akhirnya keluar untuk menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Kalau Anwar belajar daripada pengalaman Dr. Mahathir dan mahu terus menerajui PKR, dia terpaksa bertindak tegas. Dia terpaksa menyeluk pekasam hingga ke pangkal lengan atau dia berkemungkinan tersingkir daripada menjadi ketua parti yang diilhamkannya sendiri.

Tetapi, Anwar nampaknya tidak belajar daripada peristiwa lalu. Kalau dia belajar, tentulah dia lebih berhati-hati sebelum menanam modal yang besar mengalu-alukan kemasukan Zaid serta pelarian Barisan Nasional (BN) lain ke dalam PKR.

Kesilapan Anwar kini dan dahulu berpunca daripada keyakinan yang melampau terhadap dirinya sendiri. Bukan Anwar tidak kenal Zaid dan pelarian-pelarian BN, tetapi dia begitu yakin dia boleh mengubah dan mengawal sesiapa saja yang berpayung di bawah naungannya.

Silap

Ternyata dia silap. Zaid berani mencabarnya kerana dia yakin dia mempunyai sokongan sebahagian elemen Melayu dan majoriti elemen Cina dan India dalam PKR. Anasir-anasir ini tidak terlalu setia atau taksub kepada Anwar, tetapi kepada matlamat menjatuhkan BN dan menakluki Putrajaya.

Kalau Anwar berasa dirinya Perdana Menteri dalam pembikinan, Zaid pula tidak menyembunyikan matlamat dan cita-citanya menyertai PKR. Dia mahu memimpin parti itu. Justeru, walaupun belum dua tahun melompat dari UMNO ke PKR, dia sudah bertanding jawatan kedua tertinggi dalam parti itu dan sekali gus mempersoalkan kedudukan Anwar sebagai ketua yang tidak dipilih.

Dia tahu masa dan keadaan tidak memihak kepadanya setelah dia gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor bagi pihak PKR/Pakatan Rakyat (PR).

PKR/PR sangat menaruh harapan bahawa Zaid dengan namanya yang begitu tersohor dapat mempertahankan kerusi strategik itu.

Kegagalan itu bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada Zaid, tetapi menghakis harapannya untuk mara dalam kepemimpinan PKR. Maka dia terpaksa bertindak pantas dan tegas untuk membina semula imej dan prestijnya, dan jalan terbaik, dalam perkiraannya, adalah bertanding jawatan timbalan presiden.

Dia tahu dengan mencabar Azmin, dia berdepan dengan Anwar, dan dia juga tahu kalau dia menyerang Azmin, dia tidak dapat lari daripada menyerang Anwar.

Maka dia memilih untuk sekaligus menyerang Mohd Azmin dan Anwar apabila dia secara terbuka berkata, Azmin dan Anwar adalah punca masalah PKR.

Strategi Mohd Zaid ini secara tidak langsung menyeret presiden parti, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, ke dalam gelanggang pergaduhan dengan memberi gambaran bahawa walaupun Wan Azizah ketua parti yang dipilih (tidak dicabar), tetapi kuasanya tidak sehebat kuasa Anwar yang tidak dipilih.

Setelah gagal dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, Zaid tidak mampu kalah dalam pemilihan parti. Harapan masa depannya dalam PKR dan arena politik negara serta prestijnya sebagai aktivis politik akan musnah kalau dia gagal memenangi kerusi timbalan presiden.

Tetapi trend pengundian tidak memihak kepadanya dan tercetuslah tuduhan dan dakwaan bahawa proses pengundian tidak telus serta meragukan lantas dia pun menarik diri dan meletakkan semua jawatan parti yang diberikan kepadanya.

Sejak itu, bukan saja pekasam yang di seluk, malah meminjam ungkapan Inggeris berlakulah washing dirty linen in public.

Kesimpulannya, apa agaknya kesudahan kepada tendang terajang politik PKR ini? Hal-hal berikut boleh difikirkan dan dianalisis dengan lebih terperinci:

1. Buat permulaan, semua yang terbabit sudah calar-balar dan kalau gagal dibendung segera akan terlondeh baju dan seluar, PKR mungkin berakhir dalam lipatan sejarah dengan menerima nasib yang sama seperti parti-parti pelbagai kaum yang lain, antaranya Malayan Independent Party, Parti Negara, Pekemas dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia.

2. PKR akan menjadi lebih kuat dengan peminggiran dan boleh jadi juga, penyingkiran watak-watak yang menyebabkan krisis yang berlaku sekarang.

3. PKR akan menjadi ibarat kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu.

4. Seandainya PKR kembali kuat, harapannya kekal sebagai pemangkin PR adalah cerah dan PR mungkin boleh mengekalkan cabaran yang kuat terhadap BN pada pilihan raya umum akan datang.

5. Pendaftaran PR sebagai pakatan politik yang sah mungkin tergendala atau menghadapi masalah kerana Zaid adalah pengerusi penaja yang mengepalai proses pendaftaran pakatan itu.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails