Tuesday, November 9, 2010

Pemilihan PKR : Pencalonan AMK juga didakwa diubah

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Di sebalik kecacatan didakwa menyelubungi pemilihan langsung Parti Keadilan Rakyat (PKR), dakwaan terbaru mengatakan pegawai-pegawai dalaman parti telah memmanipulasi senarai pencalonan dibuat cabang-cabang tertentu.

Dakwaan terbaru menunjukkan perubahan dibuat ke atas senarai pencalonan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)iaitu sayap pemuda PKR.

Jawatan itu disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai “Chegubard”.

Dakwaan itu digariskan dalam surat yang dihantar kepada Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akhir bulan lalu, beberapa hari sebelum pemilihan pusat bermula.


Salinan surat diperoleh semalam — pada hari calon jawatan timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding, juga dipanjangkan kepada Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Pencalonan bagi semua jawatan pusat berakhir pada 3 Oktober lalu dan kesemua cabang dikehendaki memanjangkan senarai pencalonan kepada ibu pejebat sebelum 10 Oktober dan mereka yang dinamakan dikehendaki menerima pencalonan pada 16 Oktober.

Pengundian pemilihan pusat dijalankan mulai 29 Oktober lalu. Setakat ini pengundian telah dijalankan selama hari membabitkan 87 cabang dan tinggal lagi lima hari.

Shamsul Iskandar kini berada di depan dalam jumlah undi dikumpulkan mengatasi Badrul Hisham yang mendahului saingan tiga hari pertama.

Dalam surat itu yang dihantar kepada pucuk kepimpinan sebelum pemilihan pusat bermula 29 Oktober lalu, mendakwa pencalonan cabang Tampin menamakan Badrul Hisham untuk jawatan Ketua AMK pusat tetapi telah ditukar kepada Shamsul Iskandar kemudian.

“Setelah diteliti dari pangkalan data pusat, kami menyedari bahawa beberapa cabang lain turut ditukar pencalonan.

“Ini merupakan satu pencabulan demokrasi yang serius,” kata surat itu yang ditulis oleh Exco AMK pusat Zulkifli Ibrahim.

Bagaimanapun usaha menghubungi Zulkifli gagal sehingga berita ini ditulis.

Dalam surat itu, Zulkifli menamakan dirinya Ketua Penyelaras Kempen Anak Muda Penerus Perjuangan Reformasi

Surat itu meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bertindak segera menyelesaikan isu berkenaan.

Sistem pemilihan pusat PKR memerlukan seseorang memperoleh hanya dua pencalonan untuk bertanding dan jumlah pencalonan dilihat tidak memberi kesan besar memandangkan setiap ahli berhak keluar mengundi memilih pemimpin.

“Jika nama boleh bertukar bagaimana pula dengan jumlah undi nanti,” kata surat itu.

Malah menurut surat itu lagi, dari sumber sebuah laman sosial Facebook pula melaporkan dinding pegawai penting AMK yang dibayar gaji oleh parti mengakui bahawa pencalonan boleh diubah berdasarkan niat tertentu.

Malah katanya, pegawai tersebut juga terlibat secara langsung dalam JPP.

“Ini amat menyedihkan apabila pentadbiran AMK pusat dalam keadaan celaru dan banyak perlu diperbaiki, dalam keadaan AMK cabang terpaksa mesyuarat tanpa kit manual mesyuarat tetapi ada pegawai bergaji dalam pengurusan AMK (secara sengaja atau tidak) sibuk berkempen untuk calon tertentu termasuk dirinya sendiri.

“Malah terlibat dalam ketidaktelusan yang berlaku. JPP harus bertindak segera,” katanya.

Surat itu menambah, keadilan bukan sahaja perlu dilaksana tetapi perlu dilihat dilaksana.

“Kesempatan dalam pemilihan ini juga seharusnya digunakan sepenuhnya oleh semua untuk memperbaiki parti.

“Selain menuding jari menyalahkan sabotaj pihak luar yang memang tak dinafikan wujud, kita juga seharusnya berjiwa besar memperakui kelemahan sendiri dan memperbaiki.

“Maka sejarah besar peristiwa berani yang ingin kita cipta dalam melebar demokrasi dalam parti akan lebih bermakna. Ubah sebelum parah, ubah demi maruah,” kata surat itu lagi.

Ahad lalu, Saifuddin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan blog bahawa kertas undi pemilihan pusat boleh dibeli.

Semalam, Zaid pula mendakwa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding kerana kecewa apabila aduan-aduan dikemukakan tidak diambil perhatian.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails