Wednesday, November 3, 2010

Pemilihan PKR : Apa Yang Tidak Kena Dalam Pemilihan MPP?

Oleh Hamdan M. Salleh

Tanggal 29-31 Oktober lalu menyaksikan bermulanya pusingan kedua Pemilihan KEADILAN 2010. Kali ini ahli-ahli KEADILAN akan memilih pemimpin mereka di peringkat pusat atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula.

Pusingan pertama iaitu pemilihan peringkat Cabang yang bersekali dengan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) berakhir pada 26 September 2010. Kali ini ia akan berlangsung hingga 21 November 2010 di mana Kongres KEADILAN akan diadakan semunggu selepas itu iaitu 27-28 November 2010 di Petaling Jaya.

Seperti dijangka, persaingan Timbalan Presiden menampakkan Azmin Ali mendahului dengan sejumlah 3051 undi. Sementara itu Datuk Zaid Ibrahim memperolehi 2529 manakala Mustaffa Kamil Ayub dipilih oleh seramai 1149 ahli KEADILAN setakat ini.


Persaingan peringkat Naib Presiden pula agak sengit. Tian Chua (3621) ketika ini mendahului 78 undi dari pesaing terdekatnya Nurul Izzah Anwar (3543). Kerusi Naib Presiden ketiga pula sedang diduduki oleh Fuziah Salleh yang menjana 2895. Datuk Dr. Mansor Othman pula di tangga keempat dengan 2852 undi.

Kedudukan ke lima hingga lapan menariknya sedang diisi oleh empat tokoh kaum India iaitu N. Gobalakrishnan (2080), Dr. Xavier Jayakumar (1679), R. Sivarasa (1553) dan R. Suresh Kumar (1237). Calon lain yang melepasi angka 1,000 undi adalah Yahya Sahri yang mendapat 1178.

Lapan calon lain yang kebanyakkannya dari Sabah dan Sarawak mendapat dibawah 700 undi tetapi masih berpeluang membuat kejutan memandangkan Cabang-Cabang di Sabah (ditangguh) dan Sarawak belum lagi melaksanakan pengundian mereka.

Sementara itu 132 calon ahli majlis masih lagi bersaing dan dijangka persaingan itu akan berterusan hingga ke minggu terakhir. Begitu juga dengan di peringkat AMK dan Wanita masih menampakkan persaingan sengit.

Jika disoroti apa yang berlaku dalam minggu pertama pemilihan MPP yang mana sejumlah 68 Cabang telah mengadakan pemilihan, pelbagai andaian boleh kita buat. Konklusinya bukan sahaja semacam tidak kena malah membimbangkan sekiranya ianya berterusan. Jadi apa yang tidak kenanya?

Undi keseluruhan Timbalan Presiden setakat ini adalah 6729. Jika 68 Cabang menjadi ukuran puratanya adalah 98.9 undi setiap Cabang. Ini satu jumlah yang amat rendah jika dibandingkan sewaktu pemilihan Cabang dan MATC. Hanya 4 Cabang melepasi angka 200 pengundi iaitu Permatang Pauh (280), Bagan Serai (266), Alor Gajah (215) dan Beruas (206). Malah terdapat lima Cabang yang jumlah keluar mengundi amat mendukacitakan dengan jumlah ahli yang keluar mengundi kurang dari 30 orang. Cabang-cabang seperti Maran (29), Pokok Sena (23), Jelebu (18), Arau (19) dan Pekan (7). Dalam usaha KEADILAN untuk meraikan demokrasi, jumlah ini bukan satu petanda yang baik.

Cabang Pekan umpamanya boleh dianggap hanya separuh dari AJK nya keluar mengundi. Dimana ahli-ahli KEADILAN yang lain di sana? Negeri Perak yang dikatakan mempunyai keahlian seramai 40,000 setakat ini nampaknya hanya 6.34% turun mengundi walaupun 17 Cabang telah selesai mengundi dan berbaki hanya 7 Cabang.

Harapan untuk meningkatkan jumlah ahli yang keluar mengundi terletak di tangan ahli-ahli KEADILAN Selangor. Ini kerana Selangor mempunyai ahli KEADILAN tertinggi jumlahnya iaitu 150,000 dan ditambah dengan peratus keluar mengundi yang tinggi sewaktu pemilihan Cabang. Andai keadaan yang sama berlaku di Selangor, KEADILAN perlu memikirkan semula secara serius dan terbuka corak dan halatuju pemilihan yang berlandaskan satu ahli satu undi ini.

Mengapakah keadaan ini terjadi? Jawapannya mungkin boleh tertumpu kepada cara pengendalian Pemilihan 2010 itu sendiri. Elok juga ditanya pendapat ahli diakar umbi tentang mengapakah ahli yang keluar semakin merosot berbanding sewaktu pemilihan Cabang.

Adakah mereka bosan dengan proses ini? Muak kerana terpaksa menunggu lama dan berbaris panjang? Mungkin juga serik dengan drama serta lobi melobi mengalahkan pilihanraya umum? Apakah logistik juga jadi halangan? Boleh jadi kerana aura pemilihan MPP tidak sehangat pemilihan Cabang yang lebih personal sifatnya.

Atau mungkinkah kecewa dengan ketidaktelusan seperti yang diwawarkan oleh pelbagai pihak dewasa ini. Semua ini serba mungkin. Masakan pohon bergoyang jika tidak ditiup angin. Tentu ada yang tidak kena.

Jari tentunya banyak menuding kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Menurut Fasal 18.15 Perlembagaan KEADILAN JPP adalah bertanggungjawab bagi mengawalselia proses pengundian dan pemilihan untuk jawatan dalam parti di peringkat Cabang dan Pusat. Begitu besar kuasanya begitu jugalah dengan tanggungjawab dan amanah ke atas semua yang berada di dalam JPP ini.

Berat beban yang perlu ditanggung untuk menjamin keadilan kepada semua calon apatah lagi dalam sebuah parti bernama KEADILAN. Sedar atau tidak, semua dalam JPP perlu memastikan pengundian bukan sahaja berjalan lancar, tetapi telus, adil dan penuh berintigriti.

JPP juga tidak mungkin boleh berpihak kepada mana-mana calon, memastikan keadilan kepada semua calon yang bertanding dan memenangkan calon yang betul-betul menang berdasarkan undi dari ahli. Inilah SPR kepada KEADILAN. Malang andainya KEADILAN yang seringkali melaungkan bahawa SPR perlu telus sekiranya SPRnya sendiri dipertikai oleh bukan sahaja calon tetapi ahli marhaen KEADILAN. Sudah tentu ini tidak kena.

Tatkala aktivis Reformasi mengeluarkan kenyataan pada 2 November 2010 yang menyeru JPP dikaji semula, tentunya ada sesuatu yang tidak kena.

Ini mungkin berkesinambungan dengan perasaan tidak puas hati sejak dari awal peringkat pemilihan Cabang lagi. Rentetan seperti pembatalan pengundiaan beberapa Cabang, jumlah undi dan kertas undiyang tidak sama, aduan 56 buah Cabang yang belum diselesaikan oleh JPP dan banyak lagi.

Ini ditambah dengan yang terbaru iaitu kesilapan melaporkan keputusan pemilihan Parti bagi jawatan Timbalan Presiden antara Azmin Ali, Mustaffa Kamil Ayub dan Dato’ Zaid Ibrahim memperlihatkan kelemahan JPP dan juga Sekretariat pemilihan. Apakah ini punca utama kurangnya ahli berminat untuk turun mengundi kali ini? Penghujung November inilah menjadi penentu.

Ketidakupayaan mengendalikan Pemilihan 2010 sekiranya terbukti besar impaknya kepada KEADILAN. Impaknya negatif dan persepsi rakyat dan ahli boleh berubah kepada lebih pasif. Bukankah politik itu asasnya persepsi? Memang boleh digunakan alasan bahawa ini kali pertama dilaksanakan sistem pemilihan yang sedemikian unik.

Uniknya positif jika ia dijalankan dengan baik. Persepsi awalnya amat baik. Namun, alasan kali pertama dilaksanakan bukan satu alasan yang baik. Dalam politik, tiada peluang kedua untuk persepsi pertama. Pemilihan kali ini akan jadi kayu ukur. Akan dianalisa, dikritik dan di bincangkan hinggalah Pemilihan akan datang yang akan berlangsung tiga tahun dari sekarang. Itu satu tempoh yang lama.

Tentunya sukar untuk merubah persepsi tentang apa yang tidak kena dalam Pemilihan KEADILAN 2010. Jadi, sebelum terlambat betulkanlah apa yang tidak kena agar hasrat sebenar Pemilihan KEADILAN 2010 akan mengena matlamat awalnya. Raikanlah demokrasi tulen.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails