Saturday, November 13, 2010

Pemilihan cabang PKR Kuala Nerus tergendala kerana boikot ?

KUALA TERENGGANU, 13 Nov — Pemilihan pusat dan peringkat cabang PKR Kuala Nerus tergendala kira-kira dua jam ekoran tindakan “memulau” sekumpulan pemimpin yang tidak berpuas hati dengan keputusan ibu pejabat mengarahkan pemilihan dan mesyuarat agung tahunan bahagian itu diadakan semula.

Ekoran tindakan kumpulan berkenaan, yang didakwa menutup pejabat pagi ini, pemilihan dan mesyuarat terpaksa dipindahkan ke lokasi lain yang berhampiran.

Kuala Nerus adalah antara 41 cabang PKR mengadakan pemilihan hari ini — hari ketujuh dalam siri pemilihan pusat parti itu.

Ibu pejabat memutuskan untuk meneruskan pemilihan pusat meskipun sebelum ini ada desakan agar pemilihan ditangguhkan ekoran dakwaan kecacatan dan manipulasi dalam proses pengundian.


Pemilihan yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi tadi ditunda dua jam bagi mencari lokasi alternatif.

“Ya, macam itulah. Ada sedikit masalah, rasa tidak puas hati ekoran keputusan ibu pejabat agar mesyuarat tahunan dan pemilihan bahagian diadakan semula,” kata seorang pemimpin yang enggan namanya dipetik.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengarahkan agar cabang Kuala Nerus mengadakan semula mesyuarat agung tahunan dan pemilihan cabang ekoran pertikaian calon yang sepatutnya bertanding jawatan ketua cabang September lalu digugurkan daripada senarai pemilihan.

Oleh kerana cabang itu diarahkan mengadakan mesyuarat bahagian dan pemilihan bahagian, maka proses pengundian bagi pemilihan pusat juga diadakan serentak.

Ekoran tindakan memboikot oleh kepimpinan yang dipilih September lalu selain turut meletakan jawatan dalam parti pagi ni, JPP terpaksa memindahkan pusat mengundi ke satu premis pejabat di Batu 6 atas ihsan seorang ahli parti dengan membenarkan pejabatnya digunakan untuk tujuan pemilihan.

Semua ahli jawatankuasa cabang Kuala Nerus telah mengambil tindakan drastik dengan meletak jawatan berkuat kuasa pagi ini dan surat letak jawatan telah diserahkan kepada kepimpinan negeri dan pusat untuk tindakan lanjut.

Pada pemilihan kali ini hanya jawatan Ketua, timbalan dan naib serta jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan dan ahli jawatankuasa Wanita cabang dipertandingkan.

Jawatan-jawatan lain dimenangi tanpa bertanding semasa pencalonan September lepas.

The Malaysian Insider difahamkan kumpulan penyokong ahli jawatankuasa yang meletak jawatan turut memboikot pemilihan hari ini.

“Dalam dua jam pertama hanya 30 hingga 40 orang yang keluar mengundi,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Cabang itu mempunyai sekitar 600 ahli.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails