Sunday, November 28, 2010

Nik Aziz juga akui Anwar pemimpin anugerah Tuhan

GUA MUSANG, 28 Nov — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyifatkan pemimpin seumpama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat dan “dianugerahkan oleh Tuhan.”

“Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup,” katanya (gambar).

Semalam, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam ucapannya pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh PKR, berkata Anwar adalah anugerah Tuhan bagi memimpin rakyat di negara ini.


“Apa yang tidak pernah dialami oleh Saudara Anwar? Ditangkap, di ISAkan, dipukul, disiksa, diaibkan dan dihumban ke penjara.

“Sejak merdeka, tidak pernah ada tokoh negara lain yang difitnah, dihina dan disiksa secara berterusan seperti yang dialami Saudara Anwar. Namun, beliau tetap gagah dan tabah meneruskan perjuangan bersama kita,” katanya.

Wan Azizah bertanya apakah rahsia sebenar sehingga beliau tetap kental sehingga ke hari ini.

“Jawapan saya adalah Saudara Anwar Ibrahim adalah seorang insan hebat yang memang dianugerahkan Tuhan untuk kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat.

“Jika beliau insan biasa seperti kita, sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan gelora yang berlalu,” kata beliau.

Nik Aziz berkata demikian selepas merasmikan pecah tanah tapak projek Bandar Utama Gua Musang, di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS, yang memerintah Kelantan selama 20 tahun sejak 1990, tidak pernah menolak pembangunan dan sentiasa memberi keutamaan untuk faedah rakyat.

“Saya masih ingat semasa saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dahulu ada pelbagai pihak yang menuduh saya macam-macam.

“Antaranya pemerintahan kerajaan PAS bawah pimpinan saya tidak lama kerana tidak mampu melaksanakan projek pembangunan tetapi ketabahan itu berjaya memerintah Kelantan sampai sekarang,” katanya.

Nik Aziz berkata antara usaha pembangunan ialah dengan melaksanakan projek pembinaan rumah Bandar Utama Gua Musang dan beliau yakin pembangunan itu hasil usahasama Kerajaan Negeri, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan Syarikat Bandar Utama Gua Musang Sdn Bhd, akan mampu menampung keperluan rumah yang meningkat.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan dalam projek seumpama itu asalkan ia boleh membawa kemajuan serta faedah untuk seluruh rakyat di Kelantan.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails