Thursday, November 18, 2010

Nak ke Putrajaya macam mana ni?

Dulu, sebelum PRU12 kita telah menyaksikan bagaimana dalam setiap pertandingan yang melibatkan lebih dari dua calon, calon-calon dari pembangkang dengan mudah diratah oleh calon dari UMNO/BN.. dan pada PRU 13 ini kita akan menyaksikan ianya berlaku lagi.. jika ini benar-benar berlaku, bagaimana agaknya kita nak ke Putrajaya??

Calon ‘Third Force’ dijangka tentang Pakatan di PRU-13
Oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 18 Nov — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang bercita-cita untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 dijangka berhadapan dengan saingan satu kumpulan baru yang bercadang untuk turut bertanding sebagai calon-calon Bebas.

Inisiatif kumpulan terbabit yang dikenali sebagai “Third Force” juga dilihat kemungkinan membawa kepada pertarungan tiga penjuru membabitkan 30 daripada 222 kerusi Parlimen, termasuk yang disandang atau yang akan ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dikongsi di sebalik spekulasi semakin kuat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum ke-13 dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun kumpulan itu menjelaskan, mereka tiada kaitan dengan Datuk Zaid Ibrahim, yang baru-baru ini mengumumkan menarik diri daripada saingan jawatan timbalan presiden dan keluar PKR baru-baru ini.


Zaid akan menjelaskan pendiriannya dengan lanjut esok.

Dalam pilihan raya umum 2008, lebih 90 peratus kerusi persekutuan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara komponen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

Penyelaras kumpulan itu, Haris Ibrahim bagaimanapun berkata, matlamat pihaknya menawarkan barisan calon terbaik, yang tidak akan mengubah kesetiaan sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan.

“Matlamat kami ialah memiliki (barisan) penampan sekitar 20 Ahli Palimen untuk mempertahankan kerajaan sekiranya Pakatan mengambil alih kerajaan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Peguam dan blogger aktif ini, yang bekerja rapat dengan kumpulan masyarakat madani bagi menjayakan inisiatif ini juga berkata, kumpulan calon terbabit akan ditawarkan kepada pembangkang persekutuan terlebih dahulu.

Beliau juga memberikan sebab mahu menawarkan calon-calon berbanding menyerahkan bulat-bulat kepada PKR membuat pilihan sendiri.

“Kami tidak mahu melihat satu lagi (senario) Perak wujud di Putrajaya,” kata Haris merujuk kepada krisis perlembagaan Perak yang menyaksikan tumbangnya kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat apabila tiga Adun termasuk dua dari PKR dan seorang pemimpin DAP keluar parti.

Kumpulan aktivis itu dan blogger telah berkempen menentang penguasaan BN sejak sebelum pilihan raya umum 2008, di mana buat pertama kali BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima kerajaan negeri termasuk Perak pada pilihan raya umum ke-12.

Mereka juga merangka manifesto Deklarasi Rakyat yang kemudian diterima oleh komponen-komponen Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Malah kumpulan itu memainkan peranan yang berpengaruh dalam memobilisasikan pengundi bandar untuk menyokong calon-calon Pakatan Rakyat pada 2008.

Haris juga berkata, perbincangan dengan parti-parti bukan BN akan dimulakan Januari depan.

“Kami berharap untuk mencapai konsensus pada pertengahan Januari dengan parti-parti bukan BN,” kata Haris lagi.

Beliau menambah, calon-calon mereka hanya akan bertanding sebagai calon Bebas sekiranya Pakatan Rakyat tidak boleh menawarkan calon terbaik.

“Proses politik bukan milik parti politik sahaja,” kata Haris menjawab soalan berkaitan dengan pertarungan satu lawan satu antara BN dan Pakatan Rakyat.

Kata beliau, kumpulannya hanya mahu menawarkan sistem pemilihan calon terbaik kepada parti-parti pembangkang.

Sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat melihat tindakan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya umum akan datang sebagai “Third Force” hanya akan memanfaatkan BN dan mengurangkan bahagian undi Pakatan Rakyat.

“Sistem semasa menggalakkan politik naungan. Jika anda ketua bahagian, anda akan dipilih sebagai calon,” kata Haris.

“Anda lihat pada tiga parti ini dan tengok pada pemimpin negeri dan nasional, adakah anda boleh menemui 222 nama yang anda (sebenarnya) boleh bergantung?” katanya.

Haris juga menekankan bahawa Zaid tiada kaitan dengan inisiatif mereka.

“Yang ini, tiada kaitan dengan Zaid,” kata Haris yang dilihat menyokong langkah yang membawa kepada keputusan Zaid menarik diri daripada saingan timbalan presiden minggu lalu.

Zaid memutuskan untuk menarik diri atas alasan proses pemilihan pusat diselubungi dengan kepincangan dan kecacatan. Perkara itu turut dibangkitkan oleh Haris menerusi blognya.

Haris memberitahu, kumpulannya telah mengenal pasti seramai 16 calon setakat ini, yang bersedia untuk menawarkan diri berrtanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Katanya, calon-calon berpotensi akan melalui proses pemilihan ketat bagi mengelakkan kes-kes melompat parti selepas pilihan raya.

“Kami mahukan mereka yang ada integriti. Mereka yang tiada beban kewangan teruk dan tabiat berjudi,” kata Haris.

Pakatan Rakyat telah kehilangan lima Ahli Parlimen sejak Mac 2008 iaitu Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) yang meninggalkan PKR atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) pula dipecat ekoran isu berkaitan dengan kalimah Allah dan pendirian kepimpinan PKR.

PKR juga kehilangan beberapa Adun di Selangor, Kedah dan Perak.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails