Saturday, November 20, 2010

Memali: Kemuncak Umno takut berhujah

Harakahdaily

BALING, 20 Nov: Tragedi berdarah Memali 1985 adalah kemuncak ketakutan Umno untuk berlawan hujah dengan PAS, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Mengkisahkan semula sejarah hitam tersebut, Presiden PAS itu berkata, ianya bermula dengan isu kafir mengkafir di mana PAS pada waktu itu dituduh mengkafirkan Umno.

Ekoran itu Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad mencabar PAS berdebat.

"PAS setuju berdebat. Umno bagi pelbagai syarat yang dijangka PAS akan tolak, tetapi PAS berani menerima.

"Antaranya Umno yang menetapkan tajuk debat dan Umno yang menjadi pengerusi debat.

"Apabila tiba masa dijanjikan, PAS bersiap untuk ke RTM, tiba-tiba Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu isytihar debat dibatalkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Memperingati Peristiwa Memali di sini, malam tadi.


Ceritanya lanjut, beliau berkata, Dr. Mahathir kemudiannya menghimpunkan pemimpin Umno dalam satu himpunan dan memarahi ulama-ulama Umno kerana tidak berani berdebat.

Kerajaan kemudiannya mula memberi tekanan terhadap PAS dengan mengganggu ceramah PAS dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mula digunakan untuk menahan pimpinan PAS.

Menurutnya, ramai pemimpin PAS yang berjaya ditahan polis melainkan Ustaz Ibrahim Libya.

"Kerajaan BN berunding dengan pimpinan PAS mohon dipujuk supaya ustaz Ibrahim menyerah diri, namun PAS membantah.

"Sebaliknya kita mendesak supaya arahan menangkapnya ditarik balik.

"Oleh kerana mereka tidak mampu berhujah, kemuncaknya berlakulah pembunuhan Memali," kata Abdul Hadi lagi.

Tragedi Memali menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan Ustaz Ibrahim Libya yang merupakan orang kuat PAS dan 35 yang lain di bawah ISA 1960.

Selepas pembunuhan berlaku, ulama-ulama PAS mengisytiharkan mereka yang terbunuh adalah syahid.

Sekat kebangkitan PAS

Menurut Abdul Hadi lagi, tragedi Memali juga antara lain dirancang bagi mematahkan kebangkitan PAS melawan Umno ketika itu.

Namun ujarnya, semangat perjuangan PAS tidak pernah mati seperti yang diinginkan pemerintah, malah terus subur dan semakin ramai orang mendokong PAS termasuk bukan Islam.

Sambutan jubli perak selama tiga hari bagi memperingati peristiwa Memali diadakan di Madrasah Islahiah Diniah - sekolah yang diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Ianya adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Kedah dengan kerjasama Pemuda PAS Pusat.

Kemuncak program ini adalah pengkisahan semula peristiwa berdarah itu yang akan disampaikan Setiausaha PAS Kedah, Senator Muhammad Yusof Husin di akhir program tersebut.

Beliau adalah antara yang terlibat secara langsung dengan peristiwa terbabit.

Antara pengisian lain sepanjang program tersebut termasuklah, ijtimak guru dan pelajar pondok, konvoi Pemuda PAS, persembahan nasyid, tahlil perdana, klinik smart solat, pameran gambar tragedi berkenaan, pameran jabatan pendidikan negeri, dan ceramah perdana.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails