Monday, November 8, 2010

Luahan Rasa Dato Zaid..

Cuba baca.. ada banyak luahan rasa Dato Zaid di dalam artikel atau berita ini.. lihatlah betapa kecewanya beliau dengan apa yang berlaku dalam Pemilihan 2010 ini.. nada kecewanya jelas..

Pemilihan yang menjanjikan kepada seluruh Ahli PKR, 1 Ahli 1 Undi.. kononnya..

“Saya tidak fikir sesiapa mahukan saya sekarang”.. ayat apa ini?

Ketahuilah wahai semua pembaca.. untuk memujuk seorang yang telah berusia bukannya satu perkara yang mudah, aku pernah melaluinya beberapa minggu yang lepas kerana tidak mahu melihat Teori Domino bermula di Permatang Pauh.. 5 hari tidur pukul 3 atau 4 pagi hanya untuk bersama 4 orang lagi sahabat menyusun strategi bagaimana untuk memujuk seorang Ketua Ranting yang amat berpengaruh di sini agar menarik kembali kenyataannya untuk meletakkan semua jawatan yang disandang didalam PKR dan juga semua jawatan yang disandang melalui PKR…


Zaid: Notis blog sudah cukup, buat apa perlu surat rasmi
Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Sambil mendakwa sudah tidak lagi diperlukan oleh kepimpinan parti, Datuk Zaid Ibrahim tidak akan menghantar notis rasmi memaklumkan yang beliau sudah pun menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

“Mengapa harus saya berbuat demikian? Saya sudah pun membuat pengumuman dalam blog saya. Itu sudah cukup bagus.

“Jika saya tidak menghantar notis (rasmi), apa yang mereka akan lakukan,” tanya Zaid (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Menjawab soalan bahawa beliau masih merupakan calon dalam saingan jika tidak berbuat demikian, Zaid menolak tanggapan itu dengan menekankan bahawa beliau tidak nampak keperluan menghantar sebarang surat rasmi kepada kepimpinan parti.


Dalam kenyataan terdahulu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Zaid masih dalam saingan timbalan presiden memandangkan sekretariat pemilihan parti masih belum menerima notis yang beliau telah menarik diri daripada bertanding.

Bercakap kepada The Malaysian Insider Saifuddin berkata, pengumuman dibuat menerusi blognya pagi ini bukan satu notis rasmi untuk menarik diri daripada bertanding jawatan nombor dua itu.

“Sehingga beliau menghantar notis rasmi, beliau masih kekal dalam persaingan. Media hanya memetik pengumuman beliau daripada blognya,” kata Saifuddin.

Saifuddin menjelaskan, Zaid perlu menghantar notis rasmi kepada parti berhubung perkara tersebut.

Katanya, parti tiada rancangan untuk mengadakan sebarang mesyuarat untuk membincangkan keputusan Zaid menarik diri daripada bertanding ataupun dakwaannya bahawa wujud manipulasi dan kecacatan dalam proses pemilihan.

Awal pagi tadi, Zaid berkata, beliau meletakkan semua jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden di sebalik siri dakwaan pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus.

Zaid berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

“Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti,” katanya.

Dalam komen susulan tengah hari ini, Zaid berkata, beliau tidak mahu menulis kepada parti mengenai keputusannya memandangkan aduan-aduan sebelum ini mengenai kecacatan proses pemilihan tidak diambil tindakan.

“Apabila saya menulis kepada mereka mengenai kecacatan dalam pemilihan, adakah mereka respons kepada saya?

“Saya sudah pun membuat aduan saya, tetapi mereka tidak bertindak ke atas aduan itu.

“Jadi, mengapa perlu saya membalas kepada mereka sekarang? Mereka boleh bermain mengikut apa jua cara yang mereka suka,” kata beliau yang sejak Julai lalu diberi tanggungjawab mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Zaid menambah, dari awal lagi beliau sudah pun mengemukakan aduan kepada parti menggesa kepimpinan menghentikan kelemahan dan kekurangan yang dikesan dalam proses pemilihan.

“Bermula dari hari pertama, saya mengatakan kita harus menghentikan ini. Jadi, bukannya saya tidak mengatakan apa-apa langsung.

“Walaupun saya mendahului saingan, saya masih mahukan perkara ini dihentikan.

“Saya tidak mahu menang dalam saingan macam ini,” kata Zaid yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik, kedua-dua jawatan turut dilepaskannya hari ini.

Zaid mengakui keputusannya itu meletakkan para penyokong beliau dalam kekecewaan termasuk dirinya sendiri kecewa dengan apa yang berlaku.

Zaid juga menekankan bahawa mereka dalam saingan jawatan itu akan mendakwa beliau sudah “merajuk” kerana bukan lagi mendahului saingan.

Beliau berada di depan selama dua hari pertama pemilihan pusat, tetapi dipotong Azmin Ali pada hari ketiga dan seterusnya sehingga sekarang.

“Jika saya kalah kemudian, mereka akan mengatakan sesuatu. Jika saya menang (pun), mereka akan kata sesuatu.

“Kita tidak boleh menghalang orang daripada membuat spekulasi, membentuk pendapat mereka mengenai saya. Apa saya boleh buat?,” katanya.

Zaid juga berkata, beliau tidak mahu mengatakan apa-apa mengenai isu ini sambil berharap keputusannya akan diterima dan membiarkan beliau.

“Saya merasakan sudah cukup banyak diperkatakan, tiada apa-apa yang hendak dikatakan lagi,” kata beliau dalam nada ‘suram’.

“Saya tidak fikir sesiapa mahukan saya sekarang,” kata Zaid sambil menegaskan, beliau akan kekal sebagai ahli biasa PKR - komponen Pakatan Rakyat.

“Saya akan kekal (dalam parti). Itu yang boleh saya lakukan buat masa sekarang,” katanya yang mewakili PKR dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Zaid juga merupakan penyelaras Pakatan Rakyat.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails