Friday, November 26, 2010

Kepimpinan Najib, Anwar penentu siapa milik Putrajaya

Oleh Shazwan Mustafa Kamal



KUALA LUMPUR, 26 Nov — Keyakinan pada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat akan menjadi faktor utama bagi pengundi yang belum membuat keputusan dan mereka yang akan buat julung kali keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

Di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya tergempar akan diadakan seawal Mac depan, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan PR masih belum mampu menawarkan sebab-sebab terperinci dan meyakinkan bagi rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kemenangan penentu.


Sementara PR dikritik berhadapan dengan masalah dalaman selain sudah kehilangan momentum pilihan raya 2008, BN juga masih berhadapan dengan kesukaran untuk mengetepikan persepsi lama rasuah manakala rakyat jelata pula skeptikal dengan pelan pembaharuan dibawa BN di bawah kepimpinan Najib.

Pun begitu, penganalisis dan pemimpin politik masih yakin bahawa meskipun sukar untuk mengukur keseluruhan keberkesanan kedua-dua BN dan PR, akhirnya yang akan menjadi penentu ialah siapa terbaik dalam menerajui perikatan masing-masing — sama ada Najib atau Anwar.

PR dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 lalu. BN sepatutnya mengadakan konvensyen Ahad ini, tetapi ditangguhkan sehingga 5 Disember ekoran kematian bekas ketua menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu.

“Faktor-faktor sosiologi adalah penting. Pengundi akan mengundi perikatan yang boleh menawarkan mereka aspek bentuk jaminan keselamatan dan juga satu masa depan yang baik.

“Mereka akan memilih, memilih sesuatu yang konkrit, sesuatu yang benar dan tidak (mahu) meletakkan nasib pada aspek yang kabur atau tidak jelas.

Pentadbiran Najib digambarkan sebagai lambat menjalankan dasar dengan efektif. “Mereka akan memilih seorang pemimpin perikatan yang memperlihatkan prestasi, bukan seorang yang sentiasa defensif,” kata penganalisis politik dari UKM, Profesor Shamsul Adabi Mamat kepada The Malaysian Insider.

Shamsul juga mendakwa, faktor utama yang akan menentukan sokongan pengundi ialah bagaimana kedua-dua perikatan akan menjana kesetiaan pengundi.

“Kesetiaan ditentukan oleh agenda pembaharuan perikatan dan juga pelan pembangunan jangka panjang.

“Saya merasakan Barisan Nasional ke depan dalam soal ini sebagaimana ia memperlihatkan kemajuan yang signifikan dalam perhimpunan agung Umno yang baru, dan juga pengenalan keanggotaan langsung BN,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan-perkembangan itu akan memperkukuhkan kesetiaan kebanyakan ahli parti komponen terhadap BN, sekali gus menjadikan perikatan itu lebih stabil berbanding PR.

“Meskipun ada masalah sebelum ini, Umno kini kelihatan lebih berfokus untuk bergerak ke depan... kemenangan di Galas adalah kerana kekuatan Umno.

“Pengundi bijak, celik di mana mereka boleh melihat merentasi cakap-cakap dan gimik politik. Pemilihan langsung PKR menunjukkan mereka tidak kuat seperti yang mereka fikirkan.

“Dan, kepimpinan Anwar berhadapan persoalan yang serius, melihat kepada kewujudan terlalu banyak kritikan terhadap cara beliau mengendalikan kepincangan dalam pemilihan PKR,” kata pensyarah universiti ini.

Pengendali kajian pandangan umum Ibrahim Suffian percaya bahawa pengundi-pengundi sekarang lebih “mengharapkan” dan mendesak serta tidak boleh dimanipulasikan dengan mudah berbanding pilihan raya-pilihan raya lalu.

“Pengundi-pengundi mempunyai akses yang besar kepada maklumat,” kata beliau.

“Kita sedang menuju pilihan raya di mana pengundi belum yakin sepenuhnya dengan PR, tetapi pada satu sebelah yang lain, mereka jug berpandangan bahawa kerajaan masih perlahan dalam melaksanakan pelan-pelan pembaharuan,” katanya lagi.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center ini berkata, walaupun BN merasakan pihaknya sudah mewujudkan persekitaran “kelihatan baik”, perikatan itu perlu bertanya sejauh mana tindakan-tindakan yang telah diambil setakat ini benar-benar memanfaatkan rakyat biasa.

Pun begitu kata beliau, PR kelihatan gagal untuk menggunakan kesempatan walaupun kerajaan pusat BN kelihatan “perlahan” dalam melaksanakan pembaharuan-pembaharuan ini.

“Pada masa yang sama, pengundi menuntut kerajaan alternatif yang kuat daripada pembangkang,” kata Ibrahim lagi.

Sehubungan itu Ibrahim juga berkata, sementara kebanyakan janji BN kelihatan berlandaskan pada polisi-polisi lama yang sedia ada, pengundi-pengundi sedar bahawa ia juga masih boleh menyelesaikan isu-isu lama berkaitan dengan rasuah dan kos hidup yang tinggi.

Ahli Parlimen Umno dari Pulai Datuk Mohamed Nur Jazlan juga mengakui bahawa akhirnya pengundi akan memilih pemimpin yang mereka percaya.

“Pada masa sekarang, kajian-kajian menunjukkan keyakinan terhadap Najib masih tinggi,” kata beliau sambil menambah, PR pula tiada tahap kepercayaan kepimpinan yang sama khususnya ke atas Anwar.

“Serangan ke atas BN sepanjang masa adalah mengenai rasuah, dan kelewatan (pelaksanaan) dasar dengan efektif.

“Dalam satu situasi di mana kita melihat pada kekuatan dan kelemahan (sesebuah) perikatan, kita mesti lihat pada aspek kepimpinan untuk membuat keputusan terbaik.

“Persekitaran kelam-kabut dalam PKR adalah petunjuk kepimpinan Anwar. Beliau masih belum mampu menerajui perikatannya dan mereka masih berpecah sedangkan Najib dengan segera membetulkan perpecahan yang ada dalam BN,” kata Nur Jazlan .

Anwar dikritik atas cara beliau menangani kepincangan PKR.Bagaimanapun menurut ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad, kritikan yang semakin meningkat terhadap PR tidak adil.

Ahli Parlimen Kuala Selangor ini mempertahankan bahawa negeri-negeri pimpinan PR masih memperlihatkan prestasi yang baik sejak Mac 2008.

Beliau merujuk kepada kejayaan dasar ekonomi kerajaan negeri Pulau Pinang dan usaha-usaha PR untuk mewujudkan pentadbiran yang bersih dan efektif, perakuan yang digariskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.

“Dalam mempertahankan kami, dalam tempoh dua tahun sahaja, kami telah menunjukkan bahawa kami boleh menguruskan dan mengendalikan negeri-negeri yang kami memerintah.

“Meskipun saya mengakui bahawa masalah-masalah dalam PKR bukan sesuatu yang boleh membantu (kami), tetapi menilai Pakatan hanya kerana ini, adalah sesuatu yang tidak adil,” kata beliau lagi.

“Meskipun Najib janjikan ETP dan MBE, ia kekal janji semata-mata. Ia belum lagi diterjemahkan dalam bentuk perubahan efektif.

“Kami telah mentadbir negeri-negeri kami dengan baik, ia boleh dilihat dalam Laporan Ketua Audit Negara,” kata wakil rakyat PAS ini.

Dzulkefly juga mempertahankan Anwar dengan berkata, pemimpin berusia 63 tahun ini tidak diberikan peluang untuk membuktikan bahawa beliau sebenarnya mempunyai potensi sebagai pemimpin alternatif kepada kepimpinan Najib.

Anwar kini berhadapan dengan kes liwat yang kedua.

Sementara itu, Naib Presiden MIC Datuk SK Devamany mengakui bahawa rekod prestasi BN tidak begitu menggembirakan sebelum ini, tetapi kepimpinan Najib sejak April 2009 akan diterjemahkan dalam perubahan sebenar bagi negara.

“Sudah tentu, sementara kita mengalami kemajuan, kami faham dan menerima bahawa kami juga membawa legasi rasuah.

“Tetapi saya melihat bahawa di bawah kepimpinan perdana menteri (Najib), kami mengutamakan masa depan dan cuba membetulkan kesilapan-kesilapan masa lalu,” kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails