Monday, November 15, 2010

Kami tidak mahu naik Perahu Bocor - PAS

KUALA LUMPUR, 15 Nov — PAS menolak pelawaan terbaru Umno agar menyertai Barisan Nasional (BN), perikatan yang ia pernah anggotai empat dekad lalu, atas alasan “tidak akan menaiki kapal yang bocor dan hendak karam.” Sebaliknya, PAS akan berusaha supaya ahli-ahli umno khususnya dan orang Melayu Islam bersama dengan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

“PAS tidak akan bersama dengan BN, sebaliknya (akan) terus dengan Pakatan Rakyat yang sudah teruji dan terbukti.

“Sekarang Umno sudah hilang kompas perjuangan dan ideologi. Perjuangan yang mementingkan ‘perutisme’ sahaja,” kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad menjawab pelawaan rakan sejawatannya dari Umno Datuk Ahmad Maslan kepada parti itu semalam.

Dilihat merujuk kepada peristiwa 1970-an, kata Idris, PAS tidak mahu bersama lagi dengan sebuah parti yang menjadikan perjuangan sebagai “batu loncatan untuk peribadi walaupun merugikan bangsa.”


PAS pernah menerima jemputan BN untuk menyertainya pada awal 1970-an tetapi kerjasama itu berakhir empat tahun kemudian.

PAS menyifatkan ia tidak ditendang keluar oleh BN selepas perikatan itu menjadi kuat menjelang pilihan raya umum 1978.

The Malaysian Insider semalam melaporkan Umno terus mengajak PAS agar bersama parti teras BN itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah menurut Ahmad, yang juga timbalan menteri, kedudukan PAS akan lebih baik jika ia bersama BN daripada terus berganding dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam PR.

“PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.

“PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS,” kata Ahmad semasa dihubungi The Malaysian Insider.

Suara dan pandangan agar Umno-PAS terus kedengaran sejak selepas pilihan raya umum 2008 yang mana PAS bersama DAP dan PKR menafikan kedudukan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan selepas pentadbiran lima negeri jatuh ke tangan PR.

Sehubungan itu, Ahmad juga mengingatkan PAS supaya mengkaji dahulu kedudukan mereka dalam PR dan Parlimen sebelum membuat keputusan untuk menggantikan parti Melayu terbesar itu.

Malah, Ahmad berkata Umno-BN masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara sambil menjelaskan pilihan raya umum ke-13 masih belum diketahui bila akan diadakan.
Ahmad memberikan saranan itu menjawab kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Umno-BN harus berundur secara hormat jika kalah dalam pilihan raya umum.

Menjawab pelawaan Ahmad, Idris juga menegaskan, PAS sebagai sebuah parti yang mempunyai ideologi jelas dan mempunyai kepimpinan berkualiti dan ahli yang ikhlas akan terus mara bagi membentuk landskap baru dalam politik negara.

Malah katanya, PAS menganggap “cukuplah Umno yang telah diberi mandat untuk mengetuai negara lebih separuh abad.”

Justeru soal beliau, apa yang Umno boleh banggakan untuk tatapan generasi akan datang.
“Rakyat merasakan sudah cukup penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh mereka dengan tekanan hidup akibat salah guna kuasa.

“Walaupun negara ini adalah anugerah Allah dengan hasil mahsul yang banyak, namun masih ramai rakyat yang tidak bertanah, contohnya Sabah, tanah yang terbentang luas, hasil yang melimpah ruah, namun masih ada rakyat yang membina rumah di atas air,” katanya.

Negara baru sahaja menyaksikan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah iaitu awal bulan lalu.

Justeru, kata Idris, PAS tidak akan mengizinkan Umno mengkhianati rakyat untuk separuh abad yang kedua pula.

“(Oleh itu) PAS wajib ganti Umno,” katanya.

Idris mendakwa Umno hanya boleh hidup dengan 3M iaitu wang, jentera kerajaan dan media.
“Umno sudah tidak bermaya untuk hidup dan bermain di atas padang yang sama rata. Jika Umno tidak ada 3M, maka Umno akan berkubur begitu sahaja,” katanya lagi.

Idris juga berkata, PAS akan terus bersama PR, yang dibentuk pada 2008, kerana ia adalah percubaan politik yang terbaik walaupun dalam usia agak muda.

“Umno dengan kekuatan media perdana yang berada di tangan mereka cuba menggelapkan berita kebaikan PAS yang telah disumbangkan melalui PR, kes banjir di Kedah adalah satu contoh,” katanya lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails