Thursday, November 4, 2010

Hari penentuan populariti BN, Pakatan dan SAPP

Selepas sembilan hari berkempen pengundi kerusi Galas di Kelantan dan Batu Sapi di Sabah turun gelanggang untuk membuat keputusan berhubung populariti Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat dan Parti Maju Sabah (SAPP) menjelang pilihan raya kecil ke-13.

Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Selepas sembilan hari berkempen pengundi kerusi Galas di Kelantan dan Batu Sapi di Sabah turun gelanggang untuk membuat keputusan berhubung populariti Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat dan Parti Maju Sabah (SAPP) menjelang pilihan raya kecil ke-13.

(Gambar : TG Nik Abdul Aziz Nik Mat berbual dengan penyokong PAS ketika berada di pekarangan pusat pengundian Sungai Terah ketika proses pengundian kerusi DUN Galas dibuka 8 pagi tadi.)

Dua pilihan raya kecil serentak kali ini dilihat amat penting bagi BN yang diwakili Umno, PAS mewakili Pakatan Rakyat manakala SAPP, bekas komponen BN yangn keluar akhir 2008.


Di Galas - pilihan raya kecil yang disusuli dengan kemenangan sulung Kelantan menjulang Piala Malaysia Sabtu lalu, pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan menunaikan tanggungjawab untuk memlilih wakil rakyat baru bagi mengisi kekosongan ekoran kematian Che Hashim Sulaima meninggal dunia 27 September lepas.

Che Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008. Ia kemenangan julung PAS di kawasan itu.

PAS menganggap ia penting untuk mengekalkannya manakala BN pula mengamanahkan tugas rampas kerusi itu pada bahu Ketua Umno Gua Musang dan Ahli Parlimennya Tengku Razaleigh Hamzah.

Justeru, ada yang menganggap pilihan raya kecil ini turut penting bagi Tengku Razaleigh yang turut dikenali sebagai “Ku Li”.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Namun kedua-dua calon BN Abdul Aziz Yusoff yang mewakili BN dan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli akan membawa kemenangan kepada parti masing-masing hari ini.

Kedua-dua calon itu ketika ditemui malam tadi yakin bahawa parti yang mewakili mereka akan memenangi pilihan raya kecil itu.

“Saya yakin menang esok tapi bagaimanapun saya akan redha dengan keputusan yang dibuat pengundi-pengundi di Galas.

“Sepanjang kempen ini berjalan saya sudah berpuas hati kerana dapat jumpa dengan pengundi-pengundi dan melawat kawasan di Galas ini,” katanya Abdul Aziz ketika ditemui selepas program solat hajat di rumahnya di Taman Kesedar Jaya di Gua Musang.

Justeru Abdul Aziz berharap supaya pengundi di DUN Galas dapat membuat pilihan terbaik ketika membuang undi esok.

“Sekarang semua terpulang kepada pengundi.

“Tapi bagi saya tak ada 50-50, saya yakin menang,” katanya.

Beliau juga akan melawat ke daerah-daerah mengundi untuk meraih undi buat kali terakhir.

“Saya akan melawat ke daerah-daerah mengundi, mungkin di semua daerah mengundi tidak termasuk di kawasan Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, Zulkefli bekata beliau mempunyai keyakinan 100 peratus untuk mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi Che Hashim.

“Sepanjang kempen bermula sehingga sekarang saya telah berjumpa dengan pengundi termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Malah sambutan yang diberikan pengundi sangat menggalakkan dan harapan untuk menang semakin cerah.

“Saya yakin PAS akan dapat pertahankan kemenangan di Galas, saya juga yakin kita boleh menang 100 peratus,” katanya ketika di temui di Markas Pilihan Raya PAS DUN Galas.

Menurut Zulkefli, PAS akan menang dikesemua tujuh daerah mengundi tidak termasuk enam daerah mengundi yang melibatkan kawasan Orang Asli.

“Kalau Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kata BN akan menang di semua 13 daerah mengundi itu pandangan beliau.

“Tapi saya yakin akan menang di tujuh daerah mengundi tidak termasuk daerah mengundi Orang Asli.

“Di daerah mengundi Orang Asli saya yakin kita mampu tingkatkan peratus undi Orang Asli kepada PAS,” katanya.

Semalam, Muhyiddin meramalkan BN akan merampas balik kerusi DUN Galas dengan majoriti besar.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, Umno dijangka menang di kesemua 13 daerah mengundi.

Kempen pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi berakhir malam tadi manakala pengundian berlangsung mulai pagi hingga petang ini. Keputusan dijangka diketahui sekitar 8 malam.

Kerusi DUN Galas mempunyai 13 daerah mengundi termasuk Lojing (606 pengundi), Sungai Ber (411 pengundi), Belatim (160 pengundi), Balar (232 pengundi), Bihai (278 pengundi), Hau (254 pengundi), Kampung Pulai (471 pengundi), Kampung Baru (2,150 pengundi), Bandar Lama Gua Musang (1,562 pengundi), Bandar Baru Gua Musang (1,058 pengundi), Kampung Batu Papan (1,739 pengundi), Lepan Tupai (593 pengundi) dan Sungai Terah (1,912 pengundi).

Kawasan Orang Asli melibatkan enam daerah mengundi iaitu Lojing, Sungai Ber, Belatim, Balar, Bihai dan Hau.

Bagi kawasan bandar pula melibatkan tiga daerah mengundi termasuk Kampung Baru Gua Musang, Bandar Lama Gua Musang dan Bandar Baru Gua Musang.

Sementara itu, kawasan luar bandar pula melibatkan empat daerah mengundi iaitu Kampung Pulai, Kampung Batu Papan, Lepan Tupai dan Sungai Terah.

Pengundi Galas dan Batu Sapi boleh membuat semakan pengundian melalui laman web SPR dengan hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan atau melalui perkhidmatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR No Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888. Setiap SMS dikenakan bayaran 35 sen.

Semakan juga boleh dibuat di barong SPR di tempat pengundian.

Kedua-dua Dr Zulkefli dan Abdul Aziz bukan merupakan pengundi di Galas.

Sementara itu, pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi menyaksikan saingan antara BN, calon PKR dan SAPP.

Segala tumpuan adalah ke atas BN yang menggerakkan jentera pilihan raya yang besar dalam usaha mahu mengekalkan kubu kuatnya di selatan Sandakan ini ketika Pakatan Rakyat cuba menggunakan peluang untuk memperkukuhkan tapak di Sabah.

Cakap-cakap sudah mula kedengaran bahawa BN akan keciciran kerusi ini apabila keputusan diumumkan malam ini meskipun ia memperoleh kemenangan majoriti besar dua tahun lalu.

Kombinasi undi SAPP dan PKR dikatakan akan mengatasi populariti BN di Batu Sapi.

Pakatan Rakyat menyifatkan persaingan kali ini sebagai referendum ke atas sokongan BN di Sabah, yang turut dilihat sebagai simpanan hayatnya sekian lama.

Dalam pusingan kempen terakhir malam tadi, kedua-dua Pakatan Rakyat dan SAPP mempertingkatkan strategi mereka untuk menterjemahkan sokongan dalam bentuk undi hari ini.

PKR yang mewakili Pakatan Rakyat telah mengadakan beberapa perhimpunan malam tadi, dihadiri Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Pesiden SAPP Datuk Yong Teck Lee melawat beberapa rumah dan penduduk kawasan kuar bandar dengan harapan sentuhan peribadinya akan membawa kelebihan kepada beliau.

Beliau mengakhiri kempennya dengan berucap di tadika TaiccTung, Taman Mawar yang merupakan kawasan majoriti Cina.

Bagaimanapun BN menggunakan pendekatan senyap manakala pemimpin-pemimpin kanannya termasuk

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perbincangan tertutup di Sabah Hotel di Sandakan malam tadi.

Daripada strategi mereka nampaknya, SAPP dan PKR meletakkan harapan mereka pada komuniti Cina di Batu Sapi, yang terdiri daripada 38 peratus daripada 25,582 pengundi.

Kerusi itu mempunyai 59 peratus pengundi Bumiputera Islam, 38 peratus Cina, 2.69 peratus Bumiputera Bukan Islam dan 0.22 peratus lain-lain.

Sehingga tengah malam tadi, penganalisis mengatakan bahawa peluang kemenangan berpihak kepada SAPP walaupun mereka mengakui parti itu masih mengekori BN.

Ini adalah kerana parti pembangkang itu popular di kalangan masyarakat Cina.

Pengarah Strategi PKR Tian Chua memberitahu The Malaysian Insider bahawa setakat ini sokongan daripada masyarakat Cina kelihatan meyakinkan.

Katanya, jika PKR boleh memperoleh 50 peratus atau lebih undi masyarakat Cina, ia kemungkinan akan berada di tempat kedua.

“Tetapi jika Yong Teck Lee memperoleh pengundi Cina, kehadiran kami di Batu Sapi akan membantunya menang dalam persaingan ini,” kata beliau.

Chua menjelaskan bahawa ini adalah kerana PKR merekodkan kemajuan yang signifikan di kalangan Bumiputera, khususnya ketika pusingan akhir kempen.

“Jika kita memecahkan undi BN di kalangan Bumiputera, peluang BN akan jatuh dan peluang Yong akan meningkat. Dan, jika beliau menguasai undi Cina, beliau boleh menyapu kerusi ini,” katanya lagi.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh bersetuju bahawa pihaknya yakin telah mengatasi Yong dalam mendapatkan undi masyarakat Cina.

Sekarang, PKR perlu melihat tahap kemajuan yang dicatatkan dalam mendapatkan sokongan pengundi Bumiputera, kata beliau.

“Mereka menyambut kami dengan baik dan mereka kelihatan menyokong kami,” katanya.

BN dikatakan menyampaikan berjuta-juta ringgit dalam bentuk hamper, keperluan harian, bumbung rumah dan taraf kewarganegaraan kepada penduduk kawasan luar bandar sepanjang kempen sembilan hari lalu.

Ketika lawatan The Malaysian Insider ke beberapa kampung di sini, penduduk mengakui bahawa mereka memihak kepada BN dan gembira dengan sumbangan yang diberikan.

Bagaimanapun beberapa pengundi kelihatan waspada dengan menunjukkan bahawa mereka terikat dengan retorik politik parti-parti politik.

Oleh itu, ahli-ahli politik pembangkang merasakan sukar untuk memecahkan halangan psikologi penduduk kawasan luar bandar bagi mengubah cara mereka berfikir.

Satu sumber PKR memberitahu The Malaysian Insider bahawa berdasarkan perkiraan awal parti itu hanya akan memperoleh sekitar 5,000 undi.

“Tetapi kami sasarkan 8,000 undi untuk menang... kami masih ada peluang,” katanya.

Pengundian di Batu Sapi membabitkan 12 daerah mengundi bermula 8 pagi dan berakhir 5 petang sebagaimana akan disaksikan di Galas.

Keputusan Batu Sapi juga dikatakan akan diketahui menjelang 8 malam ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails