Friday, November 5, 2010

DUN Galas: PAS juga terkejut, anggap kekalahan luar dugaan

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

GUA MUSANG, 5 Nov — Jika Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan majoriti hampir dua kali ganda sesuatu yang mengejutkan, PAS juga terkejut dengan kekalahan mempertahankan kerusi Galas sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang “di luar dugaan.”

“Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku,” kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Kata beliau, PAS tetap tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya kecil semalam yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) — perikatan ini merampas balik kerusi itu yang dimenangi calon PAS dua tahun lalu.


Fatah berkata, pihaknya hanya berpuas hati dengan pergerakan jentera pilihan raya parti itu, tetapi tidak keputusan yang diumumkan malam tadi.

Namun begitu, menurut Fatah, kepimpinan PAS akan menerima hakikat kekalahan dan gagal mempertahankan kerusi DUN Galas yang dimenangi Che Hashim Sulaima dalam pilihan raya umum 2008.

“Saya puas hati dengan jentera tapi keputusan kita kena ambil masa nak kaji.

“Kita memang tak puas hati dengan keputusan tapi kita terima hakikat ini,” katanya.

Beliau yang ternyata terkejut dengan keputusan itu berkata pihaknya akan mengadakan “post-mortem” untuk mengenal pasti punca kekalahan mereka.

“Lepas ini kita akan buat post-mortem untuk kenal pasti punca kekalahan.

“Saya terkejut kerana ia di luar dugaan kita, mungkin ada kelemahan yang berlaku,” kata beliau.

Ketika pengumuman keputusan pilihan raya kecil DUN Galas diumumkan di pusat pengumpulan rasmi undi di Dewan Pusat Sivik, Gua Musang di sini malam tadi, tiada seorang pun pemimpin PAS berada di premis itu.

Calon BN Abdul Aziz Yusoff menewaskan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dengan majoriti 1,190 undi.

Abdul Aziz memperoleh 5,324 undi iaitu 56 peratus manakala Zulkefli menerima 4,134. Undi rosak sebanyak 132.

Pada Mac 2008, kerusi itu ditawan oleh PAS dua tahun lalu — buat julung kali — dengan kelebihan 646 undi menerusi Che Hashim yang meninggal pada 27 September lalu.

Malam tadi, Tengku Razaleigh selaku pengarah pilihan raya jentera BN dan Ahli Parlimen Gua Musang berkata, beliau tidak menyangka pihaknya akan menang dengan majoriti besar — hampir dua kali ganda di Galas.

“Saya rasa besar hati kerana pengundi Galas memberikan sokongan kuat kepada BN.

“Saya tidak jangka akan menang majoriti besar.

“Malah saya terkejut apabila saluran tiga dan saluran empat iaitu pengundi muda lelaki dan wanita memilih BN,” kata Tengku Razaleigh.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails