Monday, November 29, 2010

Dr M: Tak wajar bina menara Warisan Merdeka sekarang

Oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran Malaysia akan berhadapan dengan situasi bekalan hartanah berlebihan ekoran pembinaan menara 100 tingkat – Warisan Merdeka di ibu negara.

Sehubungan itu, Dr Mahathir (gambar) berkata negara mesti belajar daripada krisis kredit dialami Dubai ekoran bekalan hartanah berlebihan.

“Mereka boleh membina tetapi kemudian, bukannya sekarang,” kata Dr Mahathir pada syarahan mengimbas kembali Wawasan 2020 di sini hari ini.

Idea membina menara itu juga mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak.


Sebelum ini, Dr Mahathir ada memberitahu bahawa kerajaan seharusnya mendapatkan pandangan ramai sebelum meneruskan langkah membina menara paling tinggi itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011.

Sayap pelaburan kerajaan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) mempertahankan projek itu dengan berkata langkah itu tidak akan membabtikan dana pendeposit ataupun awam.

Ketika ditanya pandangan beliau tentang krisis di Dubai di mana projek-projek pembinaan bernilai AS$582 bilion dibatalkan ataupun ditangguhkan, Dr Mahathir berpendapat bahawa negara kemungkinan menuju ke arah itu.

“Kita juga perlu berhati-hati. Sekarang kita boleh melihat begitu banyak kren di Kuala Lumpur. Kebanyakan pembeli adalah mereka yang membuat spekulasi, mereka membeli dengan harapan mereka akan membuat duit daripada kenaikan harga,” katanya.

“Sama ada kita akan sampai di sana atau tidak, saya tidak pasti, tetapi kita semakin menghampiri,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga menekankan persekitaran di mana banyak hartanah komersial kosong kini diiklankan untuk jualan atau untuk disewa.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails