Sunday, November 7, 2010

Dah Agak Dah!! mereka menafikan tanpa siasatan..

Perkara ini memang telah dijangkakan.. mereka akan segera menafikan tanpa sebarang siasatan dijalankan..

Sesiapa yang menongkah arus akan dilabel sebagai orang jahat yang mahu merosakkan parti..

Tanpa sebarang siasatan Senator Dr Syed Husin Ali menasihatkan agar anggota-anggota PKR agar berwaspada terhadap blog-blog dan laman-laman web yang menabur berbagai fitnah kononnya untuk menggagalkan Pemilihan PKR baginya mereka mempunyai agenda buruk..

Itulah contohnya.. bila didedahkan keburukan atau kesilapan dalam PKR.. yang mendedahkan pasti akan dikatakan berniat jahat..

Tapi apakah rasionalnya Haris Iskandar mahu menggagalkan pemilihan PKR? Beliau seorang aktivis yang juga seorang peguam bukannya seorang ahli PKR yang sedang bertanding dan namanya kini berada ditempat tercorot dalam pemilihan ini..


Kenapa tidak Saifuddin Nasution bertindak dengan menyiasat segala aduan dan laporan yang dibuat terlebih dulu, telitilah dengan seteliti mungkin.. berkatalah benar biarpun ianya pahit.

Dalam isu ini aku hormat Dr. Molly Pengerusi JPP yang telah berani berkata apa yang benar ketika Pemilihan Permatang Pauh berlangsung dulu.. malangnya kini beliau kelihatan seolah-olah kehilangan kuasanya kepada Pentadbir Pemilihan Keadilan Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin.

Bertindaklah dengan sebaik mungkin dengan kadar yang segera.. kerana rakyat sudah mula melihat PKR adalah hampir sama dengan UMNO dan mereka mula menyampah..

Jangan dibiarkan hanya kerana nila setitik.. rosak susu sebelanga.. jangan dibiarkan kerana seorang dua pemimpin yang gila untuk berkuasa ,PKR rosak..

UBAH!! Ubah sebelum parah.. dan jangan sibuk nak berebut harta rampasan perang saja.. tapi berperang tak mahu..


Dakwaan blogger Haris kertas undi dijual kenyataan liar, kata SU Agung PKR

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan siri dakwaan aktivis sosial Haris Ibrahim bahawa kertas-kertas undi pemilihan pusat parti itu, yang berlangsung sejak 29 Oktober lalu, kini dijual oleh kem Azmin Ali.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan dakwaan itu sebagai “kenyataan liar Haris.”

“Borang yang Haris dedahkan itu adalah minggu lepas punya, sepatutnya sudah dihapuskan.

“Lagipun, warna borang minggu ini adalah berbeza dengan warna minggu lepas. Kalau (didakwa) ada jual beli kertas undi, mana kertas undi minggu ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi malam tadi.

Selain itu kata beliau, Jawatankasa Pemilihan Pusat (JPP) juga tidak menerima apa-apa aduan walaupun sistem pemilihan kali ini membolehkan setiap calon yang bertanding menghantar ejen proses pengundian dan pengiraan undi (PACA) di setiap pusat pengundian.

“Kalau ada anasir jual kertas undi, tentunya PACA paling awal menyerang JPP, bukan seorang blogger liar,” kata beliau lagi.

Pentadbir Pemilihan PKR Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin juga menafikan perkara itu dengan menegaskan, beliau juga ingin tahu butiran lanjut mengenai tuduhan itu.

“Tidak benar... sebenarnya saya pun nak tahu dari mana, berapa banyak kertas undi boleh dibeli, harganya, tetapi kami telus (dalam mengendalikan pemilihan),” kata beliau lagi kepada The Malaysian Insider.

Calon jawatan naib presiden Nurul Izzah Anwar melihat dakwaan itu sebagai sesuatu yang berat.

“Saya memandang berat dakwaan ini dan saya menggesa agar siasatan mendalam dijalankan berhubung perkara ini,” kata Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditanya tulisan Haris semalam.

Pada masa yang sama beliau meminta ahli-ahli parti bertenang dan berkata, parti harus mengambil tindakan tegas dengan menjalankan siasatan rapi.

“Sebaik sahaja siasatan selesai, parti harus mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mencuri harta parti, selain kerana telah membenarkan sekuriti dilanggar,” katanya lagi.

Sebanyak 68 cabang telah selesai mengadakan pemilihan pucuk kepimpinan pada hujung minggu lalu - pusingan awal tiga hari pertama - dengan Azmin kini mendahului Datuk Zaid Ibrahim dan Mustafa Kamil Ayub bagi pemilihan timbalan presiden.

Pada sidang media minggu lalu, Saifuddin telah memberi penjelasan berhubung kesilapan pada pengumuman keputusan rasmi yang menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, pada Isnin lalu mendahului saingan tiga penjuru jawatan nombor dua itu buat seketika.

Dalam blognya kelmarin di bawah tajuk ‘PKR, and its ballot papers, up for sale’ (PKR, dan kertas undi untuk jualan), Haris berkata, beliau akan menemui seseorang yang mendakwa mempunyai kertas undi, yang boleh digunakan dalam pemilihan kali ini dan akan menyerahkan kepadanya sebagai bukti.

Dalam tulisan susulan bertajuk “Kak Wan, what do you want me to do with these ballot papers? (Kak Wan, apa yang anda mahu saya lakukan dengan kertas-kertas undi ini) semalam, Haris berkata, beliau menemui lelaki berkenaan yang menunjukkannya kertas undi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Kertas undi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden semuanya membawa nombor siri manakala kertas undi MPP tidak.

“Dia memiliki 100 keping kertas undi kesemuanya,” tulis Haris dalam blognya The People’s Parliament.

Haris berkata, beliau bertanya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkannya tetapi dia enggan menjawab.

“Dia menjelaskan pengawas pemilihan JPP boleh memanipulasi senarai ahli yang menghadiri proses pemilihan, di mana peratusan keluar mengundi adalah rendah, diubahsuai ke arah peningkatan, dan dimasukkan kertas undi tambahan ke dalam peti undi,” katanya lagi.

Malah kata beliau lagi, di tempat tertentu tiada langsung senarai kehadiran ahli, keadaan yang membolehkan kertas undi tambahan dimasukkan ke dalam peti undi.

Haris memberitahu, lelaki berkenaan mengakui dia mendedahkan perkara berkenaan kerana kepimpinan yang dia memihak dilihat ditipu.

Malah menurut Haris, lelaki itu bertindak sedemikian dengan harapan sesuatu akan dilakukan untuk membetulkan keadaan itu dan jika tidak, tiada gunanya kekal dalam PKR.

Haris juga berkata, apabila ditanya siapa di belakang kejadian itu, lelaki berkenaan mendakwa Azmin dan sekretariat ibu pejabat dan beberapa anggota JPP di mana pengerusinya Dr Molly Cheah tidak lagi mempunyai kawalan ke atas jawatankuasa berkenaan.

Haris, peguam yang berpejabat di Bentong juga menunjukkan kertas undi yang didakwa diperoleh daripada lelaki terbabit dan mempersoalkan sama ada terdapat banyak lagi kertas undi di luar pada masa sekarang.

Haris juga bertanya sama ada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berjaya mempertahankan jawatannya tanpa cabaran akan melakukan sesuatu untuk mengatasi isu terbaru ini.

Malah dalam mesej Twitter semalam, Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali pula berkata, “anggota-anggota PKR harus waspada terhadap blog-blog dan laman-laman web yang menabur pelbagai fitnah untuk gagalkan pemilihan parti.”

“Mereka punya agenda buruk,” kata beliau yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini.

Hari ini masuk hari kelima pemilihan dilangsung dan tinggal lima hari lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails