Thursday, November 4, 2010

Bulan Tidak Mengambang di Galas.....

Ini adalah pendapat atau ramalan seorang yang dipercayai penyokong UMNO/BN yang telah disiarkan oleh portal Pro UMNO sebelum keputusan PRK DUN Galas diumumkan.. bagi aku ianya merupakan satu pendapat yang baik untuk dijadikan panduan..

Bulan tak mengambang di Galas…
Oleh: HELME HANAFI

Bila hujan lebat di Hulu Kelantan, limpahan air akan mengalir ke Sungai Galas melalui Sungai Lebir sebelum bersatu ke Sungai Kelantan, yang arusnya selalu menyebabkan banjir besar di hilir Kelantan iaitu kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan akhirnya Kota Bharu.

Kebetulan, Gua Musang ini adalah kawasan Hulu Kelantan. Sebab itu, walaupun hujan lebat di sini, dan berita banjir heboh di Kelantan, hingga ribuan orang dipindahkan, mereka di Gua Musang aman-aman sahaja.

Di Galas, cuacanya kerap kali mendung di awal pagi, panas terik di waktu tengah hari dan hujan bermula dari petang hingga ke malam. Namum tidak berlaku lagi banjir di sini.

Langit malam memang gelap kerana tiada bintang dan bulan langsung tidak kelihatan, hanya lambang bulan bendera PAS sahaja yang ada dan ‘bulan’ itupun selalunya basah kuyup dek kerana hujan.


STRATEGI KEMPEN BN MENGENA

Ramai yang berpendapat strategi kempen yang digerakkan Pengarah Pilihanraya BN Galas Tengku Razaliegh Hamzah memang memberi kesan maksimum di sini.

Berkempen secara sederhana, dari rumah ke rumah, dalam kelompok kecil-kecilan lebih berkesan dari ceramah umum dan program besar-besaran di kawasan terbuka pada musim tengkujuh ini.

Bekas ahli parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof mengaku bahwa pendekatan Ku Li di Galas memang boleh jadi ikutan dalam pilihanraya kecil akan datang.

Katanya, sebelum ini BN dan pembangkang sering serang menyerang menggunakan ceramah umum tapi di Galas, hanya pembangkang yang berceramah.

“BN pergi dari rumah ke rumah jawab apa yang PAS kata, sudahnya orang kampung tak keluar lagi dengar ceramah pembangkang sebab kita sudah terang isunya pada mereka,” kata beliau ketika ditemui Agendadaily.

Galas yang seluas Negeri Sembilan dengan taburan penduduk berkelompok, serta berbukit bukau memang menjadi cabaran kepada jentera parti politik untuk berkempen.

Terdapat 13 peti undi, dengan empat daripadanya adalah majoriti Orang Asli yang mempunyai 1,958 pengundi.

Strategi kempen Ku Li adalah jentera kempen di peti undi, Ketua Peti Undi yang dilantik diberikan kuasa untuk menentukan bentuk program yang sesuai untuk kawasan itu.

“Saya percaya sepenuhnya orang yang saya lantik, saya hanya pantau laporan harian dan mingguan sahaja, jika ada masalah dan Ketua Peti Undi tidak dapat selesaikan, baru kita akan bantu,” kata Ku Li ditanya mengenai pendekatan kempennya kepada media petang Rabu.

Memang masalah sentiasa ada, kata Ku Li, kerana pendekatan itu melibatkan ramai orang dengan berbagai kerenah.

“Sebab itu saya kata, jika ada masalah baru kita masuk campur, bantu dan cuba selesaikan,” jelas beliau.

Menurut pegawai khas ahli parlimen Gua Musang itu, Lukman Ghani, ada pasukan kedua yang dibentuk sebagai barisan simpanan yang beroperasi sepenuhnya dari pejabat UMNO bahagian.

“Jika kita dapati peti undi tidak bergerak, maka pasukan kedua itu akan ambil alih kerja-kerja kempen tersebut,” ujar beliau.

PAS SALAH CATUR

Galas yang mempunyai 11,553 pengundi dengan 7,069 pengundi Melayu, 2,262 pengundi Cina, 1,79 pengundi India, 1,958 pengundi Orang Asli dan 33 lain-lain kaum.

Pendekatan Ku Li yang menyusup perlahan-lahan di dalam masyarakat itu turut diakui keberkesanannya oleh Pengarah Pilihanraya PAS Dun Galas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Kata Halim, Ku Li menggunakan orang kepercayaannya, dan di bawah seorang itu ada 10 lagi yang berkerja untuk menyusup ke dalam masyarakat.

“Kita kenal orang-orang ini dan kita sedang pantau aktiviti mereka,” katanya dalam satu taklimat media beberapa hari lalu.

Jika itu pendekatan kempen BN, PAS di Galas pula bagaikan hilang sentuhan mereka untuk menawan hati penduduk di sini.

Sejak hari pengumuman calon lagi, ada macam-macam masalah kedengaran. Soal calon yang tidak dipersetujui oleh ahli sendiri, jentera tempatan yang tidak bergerak hinggakan kepada percaturan strategi yang salah.

PAS masih mengamalkan cara lama dalam berkempen, iaitu dengan menggunakan nama-nama besar tokoh politik pembangkang untuk berceramah di pihak mereka.

Semua tokoh utama Pakatan Rakyat turun berceramah di Galas, tapi keberkesanannya menjadi bahan bualan di kalangan wartawan.

Misalnya, ceramah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Kerinting di peringkat awal kempen yang hadirnya cuma 200 orang.

Jika ditolak orang luar, mungkin hanya 100 orang sahaja pengundi, sepanjang tempoh berkempen dari 26 Oktober hingga 3 November, tidak ada ceramah pembangkang yang mampu himpun lebih 2000 orang.

Kenapa orang tidak keluar? Jawapannya mudah, pertama kerana musim hujan jadi ceramah umum di tempat terbuka bukan strategi yang bijak.

Kedua, demografi penduduk yang tinggal berkelompok dan jarak jauh antara satu penempatan dengan satu penempatan.

Contohnya, dari Bandar Lama Gua Musang hendak ke Kampung Pulai memerlukan 30 minit berkereta melalui kawasan sunyi tanpa lampu jalan.

Jadi jika ceramah umum dibuat di kawasan bandar Gua Musang, hanya penyokong fanatik sahaja sanggup keluar rumah berkereta 30 minit untuk dengar ceramah itu.

Sebab itu, strategi PAS gagal di sini.

Tambahan pula, sehingga hari ke lima kempen, ketika media meredah hutan lima jam ke kawasan Orang Asli, kami diberitahu belum ada petugas PAS yang ke sana menemui mereka.

“PAS hanya tumpu undi Orang Asli di Pos Sandrop, Brooke/Lojing yang mudah di masuki kenderaan. Pos-Pos lain diabaikan PAS kerana memang mereka tiada penyokong di sana, selain bentuk muka bumi yang menyukarkan perhubungan,” kata Lukman.

KEMPEN PAS TIDAK MENYELURUH

Selain Orang Asli, PAS juga dilihat tidak berkempen dengan berkesan di Taman Tropica, kawasan penempatan masyarakat India paling ramai di DUN Galas.

PAS hanya menumpukan kempen di kawasan Melayu, Sungai Terah yang mempunyai 1,920 pengundi, Kampung Batu Papan yang mempunyai 1,749 pengundi dan Lepan Jaya 597 pengundi.

Di kawasan Cina, PAS dengan bantuan DAP dan PKR ‘kepung’ pengundi di Bandar Baru Gua Musang yang mempunyai 1,189 pengundi, Bandar Lama Gua Musang 1,574 pengundi dan Kampung Bharu 2,168 pengundi.

Mereka mengabaikan undi Orang Asli sebanyak 1,958 dan undi kaum India 179.

Sedangkan di pihak BN, Ku Li berkali-kali pesan kepada jentera, satu undi pun penting, dan undi semua kaum adalah sama.

“Jangan tumpu kepada satu-satu kaum sahaja, semua undi adalah penting untuk BN,” kata Ku Li.

Hingga kini, hari terakhir kempen, semua tanda-tanda yang menjadi pengukur kemenangan berpihak kepada BN.

Maklum balas yang dikumpul sepanjang tempoh berkempen menunjukkan BN mendahului PAS di Galas.

Ada yang kata, 52 peratus BN, 48 peratus PAS. Satu yang pasti, kajian lapangan penyelidik Ilham Centre yang pro PAS sendiri mendapati BN di depan dalam pilihanraya kecil ini.

Hujan lebat di malam akhir kempen, tambah melukakan PAS kerana bulan yang ditunggu-tunggu tidak muncul di sini.

Berdasarkan analisis terakhir selepas tempoh berkempen tamat. BN kata orang yang tahu, boleh menang antara 800 ke 1200 undi.

Benarkah ramalan itu, sama-samalah kita tunggu sekitar jam lapan malam ini.

Dan akhirnya ternyata ramalan beliau benar bila BN telah menang di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi.BN menang besar di Batu Sapi.Ia mendapat 9,773 undi,PKR 3,414 manakala SAPP 2,031.Majoriti BN 6,359.Masa pilihanraya umum Mac 2008 majoriti BN ialah 3,708.Sementara di Galas BN mendapat 5,324 undi manakala PAS 4,134.Majoriti BN di Galas ialah 1,190 undi.

Agenda Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails