Wednesday, November 3, 2010

Bila Nik Aziz buat... Zakat pun dikata Rasuah..



GUA MUSANG, 4 Nov — PAS menafikan laporan beberapa akhbar bahawa Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan wang, didakwa sebagai sogokan, kepada Orang Asli ketika Majlis Mesra Rakyat bersama Menteri Besar di Pos Sandrop, Lojing kelmarin.

Dua akhbar harian Utusan Malaysia dan Berita Harian hari ini melaporkan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS menyampaikan sumbangan berkenaan kepada beberapa pemuda Orang Asli selepas mengislamkan mereka pada program tersebut kelmarin.







Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman, dakwaan mengatakan Nik Aziz memberi sumbangan wang adalah tidak benar kerana ia adalah wang zakat selepas mengislamkan tiga pemuda Orang Asli.

“Tok Guru (Nik Aziz) hanya sampaikan wang kepada tiga pemuda Orang Asli. Saya ada hubungi Setiausaha Politik beliau untuk tanya tujuannya dan saya diberitahu ia adalah wang zakat.




“Tok Guru mengislamkan tiga pemuda Orang Asli dan bagi wang zakat kepada mereka. Tak kan zakat ini rasuah?” kata beliau pada sidang media harian di Markas Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di sini.

Justeru, Halim meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bersikap lebih terbuka dan jangan menilai perbuatan itu dari satu sudut sahaja.

“Saya harap SPR bersikap lebih terbuka, jangan lihat Tok Guru bagi wang untuk rasuah.

“Ini zakat bukan rasuah. Utusan (Malaysia) suka kelirukan orang, ini memang sikap mereka.

“Tapi saya rasa ia beri kelebihan kepada PAS, kerana bila orang baca mereka akan marah dan anggap ia bohong,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Laporan itu yang turut memetik SPR berkata suruhanjaya tersebut akan meneliti sama ada tindakan Nik Aziz memberi sumbangan wang tunai kepada masyarakat Orang Asli melanggar Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.




Bagaimanapun Timbalan Pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa menyiasat atau mengambil tindakan ke atas Nik Aziz sekiranya kes tersebut benar-benar berlaku.

Sebaliknya, kata beliau hanya polis, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa untuk menyiasat atau mendakwa mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.

Dalam program tersebut, Nik Aziz turut menyampaikan kira-kira 75 sijil penyertaan projek perumahan berkelompok kepada masyarakat Orang Asli di situ.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Exco kerajaan negeri Datuk Anuar Tan Abdullah dan calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Galas Dr Zulkefli Mohamad.

Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS, yang mewakili Pakatan Rakyat, meletakkan Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang.


Berita : The Malaysian Insider
Gambar : Minaq Jinggo

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails