Monday, November 29, 2010

Bekas ketua SPRM nafi fitnah terhadap Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menafikan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Adul Khalid Ibrahim berhubung siasatan kes dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid.

Beliau berkata kenyataannya yang didakwa memfitnah itu diucapkan secara suci hati dan tanpa mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan reputasi atau imej Abdul Khalid (gambar).

Menurutnya kenyataannya itu dibuat ketika menjawab soalan media pada satu sidang akhbar pada 20 Feb 2009 berhubung perkembangan hasil siasatan SPRM ke atas aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Selangor itu.


Ahmad Said berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya bagi menjawab pernyataan tuntutan dalam kes saman fitnah yang difailkan Abdul Khalid kepadanya, SPRM dan kerajaan berhubung pendedahan hasil siasatan suruhanjaya itu terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid.

Dalam pernyataan yang difailkan pada 31 Julai tahun lepas, yang diperoleh media hari ini, Ahmad Said berkata kenyataan itu dibuat atas kapasitinya sebagai ketua SPRM dan juga tanggungjawabnya di sisi undang-undang dan tanggungjawab moralnya untuk memaklumkan perkembangan hasil siasatan kes itu kepada masyarakat umum.

Beliau berkata secara alternatifnya, kenyataan itu dibuat dalam keadaan perlindungan bersyarat. Abdul Khalid dalam writ samannya mendakwa pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Said mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu adalah berunsur fitnah.

Beliau memohon ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi am dan ganti rugi khas dan juga injunksi untuk menghalang para defendan daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu. Beliau tidak menyatakan amaun yang dipohon.

Ahmad Said membuat kenyataan mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid berhubung penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi Hari Raya Aidiladha untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Abdul Khalid.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid mendakwa perkataan memfitnah yang dikeluarkan oleh Ahmad Said, yang telah menyebabkannya diterbitkan oleh media, berniat untuk merendah-rendahkan kapasitinya secara peribadi dan rasmi.

Abdul Khalid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ijok, mendakwa SPRM bertindak di luar bidang kuasa mereka, telah secara efektif merampas kuasa dan fungsi Peguam Negara.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Anisah Normah Muhammad Nor menetapkan 26 Jan depan bagi pengurusan kes saman itu selepas kes disebut didengar di hadapannya hari ini.

Peguam Wan Anuar Shadat Mohamed Amin hadir mewakili Abdul Khalid manakala peguam kanan persekutuan Habibah Harun mewakili Ahmad Said.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails