Saturday, November 27, 2010

Adakah benar berita ini?

Adakah benar berita ini? Atau sekadar berita yang disiarkan bagi memburuk-burukkan PKR, berita yang disiarkan oleh Media UMNO ini mengatakan bahawa 1300 Ahli PKR dari Cabang Hulu Selangor telah bertindak keluar PKR kerana tidak puas hati mereka dengan cara kepimpinan parti menangani kemelut pemilihan peringkat cabang itu yang didakwa dicemari dengan pelbagai unsur penipuan dan salah guna kuasa.

Tapi kalau benarpun apa yang nak dihairankan sangat.. mereka lebih baik keluar kerana mereka itu mungkin ‘Trojan Horse’ yang dihantar oleh UMNO kedalam PKR untuk merosakkan PKR dari dalam..

PKR akan bertambah kuat dengan keluarnya mereka yang kurang setia kepada Pemimpin Parti..

Lagipun kalau benar berita ini.. PKR kan ada 400,00 ahli jika ditolak dengan 1,300 yang keluar tu masih ada lagi 398,700 ahli.. tak berganjak pun dari angka enam digit tu..


1300 Ahli PKR Cabang Hulu Selangor keluar Parti


SUASANA di dalam dewan lengang dirakamkan oleh jurugambar Utusan Malaysia ketika majlis perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR sempena Kongres Nasional Tahunan Ke-7 PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Petaling Jaya, semalam.

HULU SELANGOR 26 Nov. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu tamparan pada hari pertama berlangsungnya Kongres Nasional parti itu apabila lebih 1,300 orang ahli di Cabang Hulu Selangor mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta.

Tindakan berkenaan berpunca daripada rasa tidak puas hati mereka dengan cara kepimpinan parti menangani kemelut pemilihan peringkat cabang itu yang didakwa dicemari dengan pelbagai unsur penipuan dan salah guna kuasa.

Bekas calon Ketua Cabang Hulu Selangor, Zahar Rusli yang mengetuai tindakan keluar parti itu berkata, pihaknya amat kesal kerana suara mereka langsung tidak didengari sekali gus memberi gambaran PKR tidak memberi keadilan kepada ahli parti sendiri.

"Kami dibodoh-bodohkan, dianggap macam tak tahu apa-apa dan tak tahu undang-undang, jangan anggap kita tiada suara dan hanya mempunyai seorang dua pengikut sahaja.

"Ramai ahli PKR Cabang Hulu Selangor sebenarnya sudah muak, mesyuarat cabang hanya mencatatkan kehadiran kira-kira 1,500 orang sahaja walaupun mempunyai 7,000 ahli manakala jumlah pemilih pada peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula jauh lebih rendah," katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahar menganggap PKR adalah sebuah parti yang kalut dan sudah tidak relevan kerana ia mula dikuasai dinasti keluarga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila isterinya, Wan Azizah Ismail menjadi Presiden manakala anak sulungnya, Nurul Izzah menjadi Naib Presiden paling kanan.

Katanya, pengaruh Anwar sendiri semakin menyusut kerana kegagalannya menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit di peringkat cabang.

"Begitu juga dengan kerajaan negeri PKR di Selangor, hanya nampak elok pada tiga ke empat bulan pertama sahaja, kemudiannya mula menjadi kacau-bilau," katanya.

Mengenai perancangan beliau dan pengikutnya selepas ini, Zahar berkata, mereka akan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) awal tahun depan untuk meneruskan agenda membantu rakyat Hulu Selangor.

Beliau tidak menolak kemungkinan NGO berkenaan akan menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai ahli bersekutu jika itu mendatangkan kebaikan yang lebih besar kepada masyarakat setempat.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails