Tuesday, November 23, 2010

2012 lebih sesuai BN panggil PRU-13

Oleh Melissa Chi

KUALA LUMPUR, 23 Nov — Meskipun spekulasi semakin kuat bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan awal tahun depan, tetapi penganalisis dan pemerhati beranggapan 2012 adalah tempoh yang lebih kondusif dan memihak bagi Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan mandat baru.

Mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013 manakala pilihan raya negeri Sarawak mesti diadakan diadakan tahun depan memandangkan tempoh hayat Dewan Undangan Negeri akan berakhir Julai 2011.


BN harus mempertimbangkan beberapa faktor penting seperti kedudukan ekonomi semasa, domestik dan juga global, populariti di kalangan pengundi, bajet negara khususnya isu berkaitan dengan kakitangan awam sebelum menetapkan tarikh sesuai bagi pilihan raya umum ke-13, penganalisis memberitahu The Malaysian Insider.

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, adalah lebih baik mengadakan pilihan raya umum pada 2012.

Malah menurut beliau, persekitaran ekonomi yang perlahan merupakan salah satu faktor pilihan raya umum perlu diadakan kemudian, bukannya tahun depan.

Bagaimanapun Sivamurugan berkata ekonomi Amerika Syarikat kemungkinan bertambah merosot tahun depan dan mengambil kira situasi itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemungkinan memanggil pilihan raya umum lebih awal.

“Jika mereka merasakan ia merupakan faktor utama, maka akan ada pilihan raya awal. Tetapi saya berpendapat tahun 2012 sebab pada ketika itu, perdana menteri boleh mengetengahkan pencapaian pelan-pelan pembaharuan beliau seperti ETP,” katanya ketika dihubungi.

Sivamurugan berkata, langkah BN menerima anggota langsung serta-merta dan arahan “siarkan berita-berita yang baik-baik belaka dan positif” adalah antara petanda awal, tetapi tidak bermakna ia langkah bijak buat perikatan tersebut.

Dr Lim Teck Ghee, pengarah Centre for Policy Initiatives menganggap usaha-usaha itu sebagai langkah yang menggambarkan BN sebagai sebuah parti “sederhana dan inklusif” menjelang pilihan raya umum awal.

Kata beliau, pemimpin-pemimpin Umno mulai sekarang boleh diduga akan memperlihatkan tingkah laku terbaik dan rakan-rakan media Umno juga kemungkinan telah diminta supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kedudukan.

“Sementara ini adalah tindakan strategik dan bijak bagi BN, para pengundi juga panjang memori,” kata Lim.

Kata beliau, parti pemerintah kerajaan pusat ini juga harus menduga yang Pakatan Rakyat boleh menyerang balas dengan membangkitkan janji-janji yang tidak ditunaikan dan akan memfokus isu-isu yang akan menunjukkan BN sendiri tidak berupaya untuk melakukan pembaharuan.

Penganalisis politik Profesor Madya Dr Samsul Adabi bersetuju dengan pandangan Sivamurugan bahawa pilihan raya harus dipanggil akhir 2011 atau awal 2012 tetapi yang lebih penting ialah selepas Bajet 2012.

Kata beliau, petanda-petanda yang memihak BN, antaranya kemenangan di Galas dan Batu Sapi, akan menjadi faktor penyumbang dalam meningkatkan keyakinan kerajaan.

Bagaimanapun kata Samsul, kerajaan memerlukan satu lagi bajet untuk menarik sokongan pengundi membabitkan kalangan kakitangan kerajaan, yang majoritinya membabitkan pengundi Melayu.

Dalam Bajet 2011, Najib tidak mengumumkan bonus tetapi akan membayar Bantuan Kewangan Khas RM500, yang akan dibayar bulan depan. Perkembangan ini mencetuskan rasa tidak senang di kalangan kakitangan awam di mana Cuepacs turut meminta kerajaan mempertimbangkan semula pembayaran bonus kepada kakitangan awam.

Pentadbiran Najib menggariskan situasi kewangan yang kekang sebagai sebab kerajaan tidak membayar bonus kepada 1.2 juta pekerja awam, yang mana ia akan menyebabkan perbelanjaan RM3.1 bilion.

“Ramai penganalisis berkata dengan tidak memberi bonus, ia kesilapan besar bagi BN kerana pada 2008, kebanyakan pengundi memilih untuk tidak mengundi BN kerana sebab itu,” kata Samsul.

Bagaimanapun katanya, ia bukan bukan satu-satunya faktor mengapa mereka tidak mengundi BN.

“Ia hanya satu daripada banyak faktor tetapi ia bukan sahaja penting, tetapi signifikan bagi BN untuk memikirkannya,” kata beliau.

Bagaimanapun menurut Lim, berdasarkan petanda-petanda sekarang, kerajaan akan terus dengan rancangan kemungkinan memanggil pilihan raya awal tanpa mengira kedudukan ekonomi semasa.

“Tetapi untuk menunggu lebih lama, lagi bahaya,” katanya.

Beliau juga tidak menolak ada tanggapan supaya perdana menteri mengambil kesempatan situasi ekoran keputusan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR, salah satu komponen Pakatan Rakyat, minggu lalu.

Sivamurugan bagaimanapun berkata adalah penting BN menganalisis kekuatan dan kelemahan yang ada padanya berbanding hanya bergantung pada kecacatan di kalangan parti-parti pembangkang.

Dr Chandra Muzaffar, profesor pengajian global Universiti Sains Malaysia berkata, terdapat banyak isu yang perlu dipertimbangkan oleh BN.

Kata beliau, persoalannya bukan sahaja ekonomi domestik tetapi juga ekonomi global memandangkan Malaysia merupakan negara perdagangan utama, ke-19, di dunia.

Bekas timbalan presiden PKR ini berkata, mengambil kira perkembangan ekonomi, beliau tidak melihat ia sesuatu yang memihak kepada parti yang memerintah.

Presiden Just ini menambah, beberapa faktor lain juga perlu diambil kira, antaranya sama ada sokongan kepada BN semakin meningkat atau tidak, sama ada Umno boleh pulih daripada situasi Mac 2008, sama ada parti-parti Pakatan Rakyat menguruskan masalah mereka dengan baik atau sama ada isu dalaman PKR menyukarkan keadaan, sikap kepuakan dalam DAP yang semakin membesar, dan bagaimana PAS akan respons kepada faktor-faktor yang terus berubah ini.

“Jadi, bukan mudah untuk menetapkan satu tarikh, tetapi itulah keadaan (dari dulu lagi). Jadi, sukar bagi saya untuk mengatakan sama ada suku pertama adalah masa terbaik atau suku kedua atau suku ketiga adalah masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya,” katanya lagi.

Pun begitu, Chandra menarik perhatian bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk melalui persekitaran itu, tetapi parti-parti politik perlu menghadapinya.

Penganalisis-penganalisis juga berpendapat konvensyen BN Ahad ini dan langkah Najib yang mahu mengadakan program jelajah negara bersama timbalannya mulai awal tahun depan akan menjadi petanda akhir kekuatan BN dan akan menjadi petunjuk sama ada pilihan raya umum tergempar diadakan segera.

Sehubungan itu kata Chandra, tidak kira bila pilihan raya umum akan diadakan, beliau berharap pengundi akan memiliki kuasa sebenar untuk memperbaiki cara kerajaan mentadbir.

“Saya berharap pengundi akan cuba untuk memahami isu-isu di mana apabila ada pilihan raya... mereka menganalisis dan mengkaji isu-isu itu dengan mendalam dan mengundi mengikut nurani mereka dan tidak terikut dengan emosi luaran,” katanya.

Chandra berkata orang ramai berhadapan dengan pelbagai pertimbangan ketika pilihan raya tetapi mereka hanya akan bertindak kerana pengaruh emosi luaran apabila melangkah ke pusat-pusat pengundian.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails