Tuesday, October 12, 2010

Wee Choo Keong saksi SD Rahimi

Bekas pemimpin PKR yang kini menjadi ahli parlimen Bebas, Wee Choo Keong dikenal pasti sebagai saksi ketika bekas pembantu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Rahimi Osman - menandatangani akuan bersumpahnya.

Dua peguam yang didakwa oleh Rahimi “memaksanya” menandatangani akuan bersumpah itu - ketua penerangan parti itu, Latheefa Koya dan ketua Pemuda PKR Kedah, Saiful Izham Ramli - berkata akuan itu ditandatangani di hadapan Wee, yang ketika itu adalah ahli parlimen PKR di Wangsa Maju.

"Rahimi tandatangan akuan bersumpah pertama pada 29 Jun 2008, di Quality Hotel di Shah Alam. Dia tandatangan secara sukarela di hadapan peguam, ahli parlimen dan pesuruhjaya sumpah Wee Choo Keong.


"Dakwaannya, kami 'kurungnya' di Quality Hotel adalah lucu dan tidak benar. Dia berada di situ atas kerelaannya sendiri sepanjang masa dan secara suka rela menawarkan maklumat bagi membantu kami dengan kes Anwar,” kata Latheefa dalam kenyataan kepada polis.

Beliau bersama Saiful Izham, sebelum memberikan salinan laporan polis berkenaan, disoalsiasat selama sejam di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan di Bukit Aman.

Mereka turut diiringi peguam masing-masing, N Surendran and Rashid Ismail.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 199 Kanun Jenayah kerana didakwa membuat akuan palsu dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Rahimi memberi keterangan kepada polis semalam.

Dalam pendedahannya pada 6 Oktober lalu, Rahimi mendakwa dia dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada 2008 yang memalit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan perbicaraan Anwar yang sedang berlangsung.

Dakwanya, kedua-dua Latheefa dan Saiful Izham "menahannya" di sebuah hotel untuk beberapa hari selepas itu.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails