Thursday, October 21, 2010

Undi Selain Azmin (USA) - Jangan BODEK macam UMNO.

Ini adalah contoh yang menunjukkan kepada semua sikap seorang pemimpin yang setia kepada Parti.. err.. bukan Parti sebenarnya.. sebenarnya setia kepada Anwar Ibrahim..

Bilamana ada sesiapa sahaja yang menyentuh peribadi Anwar, biarpun apa yang dikatakan itu adalah benar maka akan melentinglah mereka membabi buta demi menunjukkan kepada Anwar betapa setianya mereka.

Bersilatlah mereka demi menunjukkan kepada Anwar betapa jantannya mereka mempertahankan Anwar.. biarpun Anwar sendiri entahkan terasa entahkan tidak..

Kata mereka kepada Zaid Ibrahim.. ‘Jangan Bawa Propaganda UMNO’.. tetapi secara mereka tidak sedari mereka sendiri mengamalkan budaya UMNO iaitu budaya BODEK! Budaya takut untuk menegur kesilapan pemimpin atasan.. takut tak boleh cari makan dalam Parti..


Azmin dan Saifuddin bidas Zaid, jangan bawa propaganda Umno
Oleh Shazwan Mustafa Kamal dan Boo Su-Lyn

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Calon timbalan presiden Azmin Ali mendakwa pesaingnya Datuk Zaid Ibrahim mengamalkan pendekatan propaganda Umno ekoran kenyataan beliau kelmarin bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bergerak atas isu tunggal — Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Saya nak bertanya Zaid, mengapa beliau bercakap menggunakan bahasa Umno?” kata Azmin kepada The Malaysian Insider mengulas tulisan Zaid dalam blognya kelmarin.

“Ini adalah kedudukan yang diambil Umno sejak hari pertama (Anwar dipecat pada) 1998, mengatakan bahawa Keadilan adalah parti yang hanya berpusatkan (kepentingan) Anwar,” kata beliau yang memperoleh pencalonan tertinggi pada pemilihan PKR kali ini.

Dalam tulisan terbarunya, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berkata, PKR perlu diacuankan untuk menjadi sebuah “kekuatan politik yang tulen, sebagai sebuah kekuatan yang boleh dijadikan sandaran rakyat dan rakan-rakan dalam pakatan dalam usaha membentuk masa depan yang lebih baik.”

Oleh itu kata beliau, pemilihan ini — yang julung kali berlandaskan sistem pemilihan langsung — adalah penentu masa depan parti dan negara.

“Kita perlu terlebih dahulu memperbaiki diri kita sebelum kita boleh memikirkan soal memperbaiki negara.

“Kita perlu meletakkan diri sebagai pemimpin dalam Pakatan Rakyat, menjadi pentas yang kukuh bagi orang ramai dan mengemudi Pakatan bagi memenangi PRU-13 nanti.

“Kewujudan kita harus menguntungkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan bukannya hambatan. Kita perlu memperjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun pada masa yang sama juga terdapat banyak ketidakadilan yang menimpa rakyat negara ini yang memerlukan perhatian kita,” kata beliau.

Zaid menambah, rakyat rata-rata mendesak mahukan keadilan ekonomi dan keadilan sosial dan hak supaya diberi layanan dengan hormat dan bermaruah mengikut kedaulatan undang-undang.

“Kita tidak patut menurunkan darjat parti ini menjadi sebuah parti yang memperjuangkan hanya satu isu. Hal ini tidak adil bagi mereka yang ingin kita wakili.

“Kita bukan sahaja sebuah parti ‘reformasi’, sebagai nama bagi sebuah gelombang di hujung 1990-an, tetapi juga sebuah parti yang menuntut refromasi tulen dan sanggup untuk mereformasi diri,” kata bekas pemimpin Umno ini yang menyertai PKR pertengahan tahun lalu.

Azmin, yang juga Naib Presiden PKR menekankan bahawa partinya tidak pernah berpusatkan isu Anwar meskipun ia berjuang memastikan perbicaraan yang adil bagi Ketua Umum Pakatan Rakyat itu, yang kini berhadapan dengan kes liwat kedua dalam tempoh 12 tahun ini.

“Keadilan tidak pernah bertindak sebagai parti berpusatkan Anwar. Pandangan bahawa Keadilan adalah parti berpusatkan Anwar adalah propaganda Umno,” kata Azmin.

“Ya, kami berjuang untuk keadilan bagi Datuk Seri Anwar pada 1998, 1999, tetapi sudah pasti PKR bukan merupakan parti berpusatkan Anwar kerana kami juga bercakap mengenai agenda reformasi,” katanya.

Saifuddin turut berbeza dengan pandangan Zaid.Azmin menekankan bahawa pemimpin-pemimpin parti tidak harus mengulangi fitnah satu dekad Umno terhadap PKR.

“Pemimpin-pemimpin parti tidak harus membuat kenyataan yang dibawa oleh umno sejak 10, 12 tahun lalu,” kata Ahli Parlimen Gombak ini.

“Sebagai pemimpin kanan parti, kami tidak akan jatuh dalam perangkap Umno.

“Menjadi keyakinan saya dan keyakinan ahli-ahli parti bahawa ini adalah parti reformasi,” tambah beliau.

Azmin berkata, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat oleh kerajaan negeri Selangor dan pendiriannya partinya mempertahankan hak peneroka Felda adalah bukti PKR memperjuangkan prinsip demokrasi, yang sudah pasti berbeza daripada isu Anwar.

“Kami memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat. Ia tiada kaitan dengan Anwar,” katanya.

Seorang lagi calon jawatan timbalan presiden ialah Mustaffa Kamil Ayub.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memperlihatkan nada yang seiring dengan pendirian Azmin sambil menekankan, kenyataan-kenyataan Zaid menggambarkan pemikiran tipikal yang dibawa Umno selama ini.

“Ini fikiran tipikal Umno sejak 12 tahun lalu. Untuk mengatakan PKR hanya berjuang demi kepentingan Anwar (seorang), ia sebahagian daripada usaha mereka cuba membuatkan orang ramai percaya perkara ini,” kata Saifuddin.

Ahli Parlimen Machang ini memberitahu, partinya berdiri teguh bersama Anwar sebab pendirian beliau memperjuangkan keadilan adalah simbolik membawa matlamat yang lebih besar.

“Saya tidak bersetuju dengan Zaid. PKR mempertahankan Anwar kerana layanan tidak adil yang beliau lalui 12 tahun lalu... ketidakadilan di mana beliau dipenjarakan, beliau dipukul, dan bagaimana beliau melalui perbicaraan... kesemua ini adalah gambaran kemusnahan institusi-institusi negara,” katanya lagi.

“Kami berjuang bagi Anwar sebagaimana kami berjuang untuk Teoh Beng Hock, Kugan dan Aminulrasyid Amzah,” kata Saifuddin.

Justeru kata beliau, keputusan pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan BN dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen adalah bukti rakyat percaya pada perjuangan PKR.

“Rakyat mengundi PKR, Pakatan kerana mereka tidak percaya cara BN menguruskan negara. Jadi, bagaimana anda boleh mengatakan yang PKR hanya berjuang untuk Anwar,” kata beliau lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails