Thursday, October 7, 2010

Setiausaha UMNO Gua Musang antara disebut calon BN di Galas

2010/10/07

GUA MUSANG: Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai bakal calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan pada 4 November ini.

Satu lagi nama yang timbul ialah Naib Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Zamzani Harun, 39. Menurut sumber UMNO di sini hari ini, walaupun Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada awalnya dijangka menjadi pilihan BN tetapi beliau, selaku pengarah pilihan raya kecil itu bagi BN, dipercayai lebih cenderung untuk memilih calon lain. Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS akibat kanser pada 27 September lalu.


Penamaan calon ialah 26 Oktober ini manakala pengundian 4 November.

PAS pula lebih bersikap berdiam diri berhubung calonnnya walaupun Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, Datuk Husam Musa, semalam dilaporkan berkata parti itu sedia memilih calon daripada kalangan Orang Asli jika ada yang sesuai.

Terdapat 1,889 pengundi Orang Asli daripada sejumlah 11,553 pemilih berdafatar di Galas.

Penganalisis politik Juhaidi Yean Abdullah pula berkata tindakan PAS menyoal kewajaran jika BN meletakkan Tengku Razaleigh sebagai calon adalah untuk mengukur penerimaan rakyat terhadap Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang.

"Mereka hanya ingin tahu reaksi rakyat Kelantan sebelum mereka meletakkan calon. Mereka cuba mengatakan Tengku Razaleigh tidak layak bertanding kerusi DUN kerana dianggap tidak secocok dengan kedudukannya sebagai ahli Parlimen yang paling lama dan sebagai bekas Menteri Kewangan," katanya.

Juhaidi berkata hakikatnya ialah Tengku Razaleigh adalah calon yang layak dan ini menimbulkan kegusaran kepada PAS.

"Bagaimanapun kemungkinan Tengku Razaleigh meletakkan calon pilihannya adalah lebih tinggi berbanding beliau sendiri yang bertanding," katanya.


BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails