Tuesday, October 5, 2010

Saya bersikap terbuka, tidak mahu boikot media - Zaid

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Datuk Zaid Ibrahim yang dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu mengambil sikap “memboikot” mana-mana media yang dilihat menyerang dan memusuhi kepimpinan parti itu dan Pakatan Rakyat pada amnya.

Zaid berkata, beliau mempunyai pendirian yang berbeza dalam isu itu walaupun Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta calon-calon yang bertanding pada pemilihan PKR mengelak daripada menggunakan media musuh untuk diwawancara.

Zaid (gambar) diwawancara oleh Mingguan Malaysia minggu lalu. Ia antara akhbar yang dilarang membuat aktiviti PKR sejak saban tahun.

Anwar yang juga Penasihat PKR memberi amaran kepada calon-calon bertanding agar tidak sama sekali menggunakan media milik Umno, yang dilihat sebagai “musuh” PR.


“Calon-calon (yang bertanding) seharusnya berwaspada agar tidak dieksploitasi oleh media Umno untuk menyerang polisi-polisi dan pemimpin-pemimpin kita.

“Jangan benarkan parti (PKR) digunakan oleh media Umno dan propaganda (mereka),” kata Anwar pada satu majlis di London Sabtu lalu.

Anwar mengingatkan ratusan rakyat Malaysia di sini bahawa PKR berjuang untuk melakukan reformasi dan tidak memerlukan “media Umno atau duit.”

Ini kali kedua Anwar mengecam Zaid secara tidak langsung berhubung pendirian beliau tentang perjalanan pemilihan parti.

“Semalam, saya diberitahu saya tidak boleh bercakap kepada akhbar tertentu. Saya pun tidak tahu kepunyaan siapa Karangkraf. Saya pun tidak tanya kepada wartawan dia kepunyaan siapa?

“Tidak kiralah siapa punya pun Karangkraf atau Utusan, tiada akhbar lain yang hentam saya lebih banyak daripada Utusan, tetapi saya, apabila dijemput oleh Utusan, saya tidak kata boikot,” kata Zaid.

Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat ditemu bual oleh Mingguan Malaysia Ahad lalu dengan tajuk “Jangan halang saya bertanding”.

Pelbagai pihak dalam PKR membidas tindakan itu dengan ada yang menyindir beliau yang dipecat Umno hujung tahun 2008 dan menyertai PKR pertengahan 2009 sebagai “ejen Umno”.

Mereka mengkritik kerana Zaid sanggup ditemu bual oleh media Umno itu walaupun menjadi serangan bertubi-tubi ketika bertanding kerusi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu.

“Saya sebenarnya tidak tahu secara sahih, ia hanya percakapan orang. Setakat ini tidak ada orang menyokong saya secara terbuka.

“Saya juga tidak tahu sama ada Azmin disokong oleh Anwar secara terbuka.

“Pada saya perkara ini tidak begitu penting sangat kerana dalam politik sokongan yang nampak jelas pun tipu juga, yang tidak cakap apa-apa pun sokong kita. Saya tidak terlalu bimbang dari segi wayang atau permainan ini kerana yang lebih penting ahli- ahli faham apa isu di dalam pemilihan ini,” kata Zaid dalam wawancara itu.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian keluaran hari ini, Zaid yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berkata, dalam politik “kita tidak tahu hari ini dia hentam kita, mana tahu esok lusa dia puji semula.”

“Saya tidak bertanya Star dan NST milik siapa, walaupun saya tahu ia milik siapa kerana kita perlu hormat tugas wartawan,” kata bekas menteri pusat ini.

Zaid berkata, pendiriannya ialah tidak kira siapa pun milik sesebuah akhbar, beliau tidak kisah dan akan menerima soalan yang diajukan untuk dijawab.

Menjawab soalan mengapa perlu ada arahan sedemikian daripada pucuk kepimpinan, Zaid berkata, “saya fikir mungkin kerana beliau (Anwar) telah kena banyak oleh Utusan.”

“Jadi, beliau anggap akhbar Umno ini musuh sebenar sehingga tidak mampu mengatakan sesuatu yang benar.

“Saya pun tidak tahu. Itu anda perlu tanya beliau sendiri,” kata Zaid lagi.

Zaid mengakui beliau juga kena “henjut juga” tetapi tidak sampai marah atau tidak percaya kepada sesiapa kerana bersikap terbuka dalam hal ini.

“Kalau Sinar Harian mahu hentam saya esok, tetapi puji saya minggu hadapan, saya tidak kisah kerana dalam bidang akhbar ini tanggungjawab anda bukan kepada saya, tetapi kepada kesemua pembaca Sinar Harian.

“Mereka perlu tahu perkara yang sebenar,” kata Zaid yang menduduki tempat kedua dalam pencalonan bagi kerusi timbalan presiden di belakang Naib Presiden Azmin Ali.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails