Thursday, October 14, 2010

Saifuddin-JPP tarik tali, nasib Izzah jadi taruhan

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Status kelayakan bertanding ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden PKR masih menjadi persoalan hangat sehingga berlaku percanggahan pendapat berhubung hal itu.

Semuanya gara-gara tarikh 10 Oktober yang dimaklumkan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail bahawa setiap cabang yang selesai bermesyuarat perlu menyerahkan borang pencalonan akhir masing-masing.

Tarikh itu juga menimbulkan persoalan dan kekeliruan sehingga menerima pelbagai reaksi berbeza daripada beberapa cabang, pimpinan mahupun pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Dr Molly Cheah.


Molly ketika dihubungi FMT berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai tarikh itu, namun memberi interpretasi setiap cabang harus menghantar borang akhir pencalonan akhir kepada JPP tiga hari selepas mesyuarat selesai.

Kelewatan menghantar borang tersebut disifatkan Molly sebagai kelemahan tindakan setiausaha dan cabang yang terbabit.

"Mengikut peraturan yang saya fahami mesyuarat cabang sah untuk sebarang pencalonan apabila cukup korum. Mesyuarat pula ada satu agenda pencalonan untuk majlis pimpinan pusat. Jika lewat hantar itu kelemahan setiusaha dan cabang itu sendiri.”

"Bagi saya jika mesyuarat cabang sah tapi berlaku kelewatan kepada kami maka kami akan terima sehingga tarikh 16 Oktober ini," jelas beliau.

Namun ketika ditanya sama ada borang akhir itu akan diterima JPP atau sebaliknya, beliau memberikan mandat itu kepada Saifuddin untuk menentukannya.

Sedangkan Saifuddin yang dihubungi kelmarin berkata sebarang keputusan berhubung kelewatan itu perlu ditentukan JPP, bukan pihaknya.

Pemimpin persoal aspek ketelusan

Melalui rekod yang diterima FMT serta pengakuan daripada ketua-ketua cabang mengesahkan bahawa cabang Selangau (Sarawak) dan Semporna (Sabah) mencalonkan Izzah bagi jawatan timbalan presiden.

Semalam, ketua cabang terbabit mengeluarkan kenyataan media berhubung hal itu ekoran tidak diberitahu mengenai tarikh tutup itu.

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai kepincangan pihak pengurusan yang gagal mengkoordinasikan pilihan raya parti sehingga timbul kecelaruan seperti ini.

Steven Epay Ganing (ketua cabang Selangau) dan Lokman Uri (ketua cabang Semporna) berpandangan bahawa kegagalan parti serta penolakan pencalonan dibuat cabang dilihat memburukkan lagi pandangan.

Bagi mereka sebarang maklumat mengenai tarikh akhir penyerahan seharusnya diuar-uarkan bagi membolehkan setiap cabang bertindak sewajarnya.

Calon naib presiden PKR, Jonson Chong menyifatkan pencalonan oleh cabang tidak patut digagalkan oleh mana-mana masalah pentadbira.

Beliau juga mempertikaikan kedudukan JPP, adakah badan ini benar-benar bebas atau masih dikawal oleh pejabat Setiausaha Agung PKR.

"Siapa lebih berkuasa, JPP atau Setiausaha Agung (dalam hal pemilihan parti)," tanya Jonson, bekas Ketua Perhubungan Awam PKR.

Ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam menyuarakan kebimbangan isu ini merosakkan nama baik PKR dalam memperjuangkan demokrasi di negara ini.

Sementara itu, nama Izzah mula memuncak apabila Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim menyatakan kesediaannya berundur bagi memberi laluan kepada puteri reformasi itu bertanding.

Namun Izzah dilaporkan sebelum ini gagal untuk bertanding ekoran hanya menerima satu pencalonan sahaja iaitu daripada cabang keningau, Sabah.

Izzah sebelum ini berkata masih menantikan keputusan rasmi pencalonan daripada ibu pejabat PKR.

"Saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan selagi saya tidak menerima sebarang keputusan rasmi membabitkan pencalonan saya," katanya.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails