Saturday, October 30, 2010

RM5 juta bina masjid baru di Batu Sapi

2010/10/30

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM5 juta untuk membina sebuah masjid baru di kawasan Batu Sapi.

Beliau berkata berkata masjid berkenaan adalah untuk memberi keselesaan kepada ribuan penduduk Islam di kawasan berkenaan untuk menunaikan ibadat.

"Oleh kerana di sini terdapat ribuan umat Islam maka kita luluskanlah. Inilah berkat kita ada kuasa dan kemampuan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lupak Meluas di sini.

Projek PPR berkenaan melibatkan pembinaan 500 unit rumah dengan kos setiap blok dianggarkan antara RM80,000 dan RM100,000 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.


Rumah yang mempunyai kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur, ruang tamu serta dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air adalah untuk penduduk setinggan di kawasan itu dengan penghuni dikenakan sewa sebanyak RM124 sebulan.

Muhyiddin berkata, kesediaan kerajaan memberi peruntukan untuk membina masjid, rumah, sekolah dan memberi bantuan kepada rumah-rumah ibadat lain seperti gereja, tokong dan kuil adalah kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) ada kuasa dan kemampuan.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat perlu terus memberi kepercayaan kepada BN untuk memerintah negara ini kerana hanya kerajaan BN mampu menunaikan janji meskipun kadang-kadang mengambil masa kerana perlu memenuhi prosedur tertentu.

Tidak seperti parti pembangkang katanya, seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang cuma gah menjanjikan bulan dan bintang meskipun menyedari mereka tidak mampu menunaikannya kerana tidak ada kuasa.

Muhyiddin meminta penduduk Sabah dan Batu Sapi khasnya supaya tidak terpedaya dengan pelbagai isu yang cuba dibawa pembangkang untuk meraih simpati kerana ia cuma akan merugikan rakyat Sabah sendiri.

"Ada pihak yang datang sini menjanjikan bulan dan matahari. Sebenarnya mereka tidak ada kuasa dan tidak akan mampu melaksanakannya. Kalau 10 (Datuk) Yong Teck Lee pun, Yong Teck Lee tidak mungkin dapat bina sebuah untuk rakyat di sini.

Muhyiddin berkata, slogan "Sabah untuk Rakyat Sabah" yang digembar-gemburkan SAPP adalah perkara lama tanpa menyedari bahawa ramai rakyat Sabah sekarang sudah maju malah ramai di kalangan mereka memegang jawatan tinggi di Semenanjung.

"Begitu ramai rakyat Sabah yang maju. Bukan sahaja di Sabah malah di Kuala Lumpur. Mereka menjawat jawatan tinggi. Menteri ada, ketua pengarah ada Peguam Negara ada dan banyak lagi. (Mereka) Bukan untuk Sabah sahaja tetapi untuk negara kita Malaysia," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata isu yang penting sekarang ialah untuk memantapkan Sabah dengan meletakkannya di tempat yang wajar sesuai dengan kedudukannya sebagai negeri kedua terbesar di negara ini.


BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails