Saturday, October 30, 2010

Pusingan Pertama Zaid dahului Azmin

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Permulaan baik buat Ketua Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim apabila mendahului pesaing terdekatnya yang juga naib presiden Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub apabila berjaya mengutip 577 undi pada hari pertama pengundian pemilihan pusat yang bermula semalam.

Selepas sembilan cabang selesai membuat pemilihan semalam, Azmin memperoleh 374 undi manakala Mustaffa Kamil Ayub mendapat 61 undi.

Bagi jawatan naib presiden, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar cemerlang dengan memproleh 494 undi dan diekori rapat Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh dengan 467 undi.


Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mansor Othman mendapat 462 undi, Pengarah Strategik PKR Tian Chua pula berjaya memperoleh 430 undi dan ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dengan 304 undi.

Penyandang jawatan naib presiden, R Sivarasa bermula dengan baik apabila memperoleh 267 undi. Calon-calon lain pula seperti berikut; R Suresh Kumar (207), Johnson Chong (145), Baru Bian (143), Xavier Jayakumar dan calon PKR bagi pilihan raya Batu Sapi Ansari Abdullah masing-masing berjaya memungut 84 undi.

Diikuti Yusmadi Yusoff (79), Yahya Sahri (58), Dominique Ng (51), S Manikavasagam (47), Saiman Marjuki (36), dan James Ghani (29).

Walau bagaimanapun keputusan bagi ahli majlis pimpinan pusat (MPP) berbeza situasinya.

Calon bukan personaliti dalam kalangan wakil rakyat mendahului senarai dengan Zamri Yusuf meninggalkan pesaing lain dengan 501 undi. Diikuti, Wan Salleh Wan Isa (440), Pengarah penerangan kerajaan Selangor, Dr Badrul Amin Baharon (430), ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul (358), dan Adun Bukit Lanjan Elizeberth Wong (356).

Sementara itu, pertandingan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) antara Shamsul Iskandar Md Akin dan Badrul Hisham Shaharin sengit apabila hanya perbezaan sembilan undi.

Shamsul memperoleh 136 undi manakala Badrul Hisyam atau lebih dikenali Chekgu Bard mendapat 127 undi.

Timbalan Ketua AMK Khairul Anuar 193 undi manakala Adun Teja Chang Lih Kang 54 undi

Jawatan ketua wanita pula, ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mendahului dengan 178 undi jauh meninggalkan pesaing terdekat Suraya Sudin (98) dan Animah Ferrar (32).

Manakala bagi jawatan timbalan ketua wanita pula, Adun Batu Tiga Rodziah Ismail memperoleh 192 undi dan Azmah Abd Kadir pula dengan 35 undi.

Namun keputusan tersebut hanya ukuran awal memandang baki tiga minggu pemilihan bakal berlangsung sebelum Kongres Nasional PKR pada 26 sehingga 28 November ini diadakan.

Calon-calon mempunyai peluang cerah dalam menambah undi mereka dengan dijadualkan hari ini enam negeri (Pahang, Negeri Sembilan,Perak,Perlis,Kelantan dan Kedah) sudah memulakan pengundian jam 10 pagi tadi.

Namun Sabah yang sepatutnya menjalankan pengundian hari ini ditangguhkan ke 6 November ini bagi memberi ruang ahli PKR menumpukan pilihan raya di Batu Sapi yang sedang berjalan.

Hari ini 32 cabang akan menjalankan pemilihan pimpinan pusat seperti biasa dan dijangka pengundian ditutup 4 petang ini jika tiada sebarang masalah yang timbul.

*Keputusan rasmi daripada ibu pejabat PKR*


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails