Saturday, October 9, 2010

PRK DUN Galas: Ku Li sahkan jadi pengarah BN

SEPANG, 9 Okt — Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pagi ini mengesahkan beliau menerima jawatan pengarah jentera BN bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Galas tetapi teka-teki sama ada akan menjadi calon masih berterusan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yang pulang ke tanah air kira-kira 7.30 pagi tadi memberitahu wartawan bahawa beliau tidak mahu mengulas apa-apa mengenai calon sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Sebenarnya, saya tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan pagi ini kerana masih belum mesyuarat.

“Saya cuma nak maklumkan telah menerima tawaran pengarah pilihan raya DUN Galas.

“Mengenai calon yang belum buat apa-apa keputusan lagi, mesyuarat pun belum lagi, Perdana Menteri pun saya belum jumpa,” katanya ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.


Sejurus tiba di lapangan terbang, beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata calon BN bagi pilihan raya kecil kerusi Galas akan diumum pada 24 Oktober ini iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.

Tengku Razaleigh disambut pemimpin Umno pusat dan negeri sebaik tiba di KLIA pagi tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
Pagi ini, ketibaan Tengku Razaleigh di KLIA disambut oleh sekumpulan pemimpin Umno pusat dan negeri yang turut membawa kain-kain rentang tertera “Ku Li mampu mengalas di Galas” dan “Kami tetap bersama Ku Li, Ku Li Boleh”.

Ini merupakan kenyataan rasmi pertama Tengku Razaleigh selepas Umno-BN melantik beliau sebagai pengarah jentera pilihan raya kecil DUN Galas.

Di sebalik pelantikan itu timbul spekulasi bahawa beliau juga akan diturunkan sebagai calon.

PAS beranggapan tidak mungkin Tengku Razaleigh akan menerima beliau dipilih sebagai calon Umno-BN di Galas.

Malah Pakatan Rakyat menganggap Umno menggunakan Tengku Razaleigh “secara halus” selepas ramai pemimpin Umno Kelantan dan nasional mempertikaikan pendirian Tengku Razaleigh dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, sebagai ahli Umno sudah menjadi tanggungjawab beliau memikul jawatan pengarah pilihan raya Umno-BN.

“Saya terima pelantikan ini sebagai tanggungjawab ahli Umno, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Ahli Parlimen Gua Musang dan saya pernah bertanding di Galas dulu.

“Apa-apa persetujuan selepas ini termasuk mengenai calon akan diumumkan selepas mesyuarat,” kata beliau yang mesra dikenali sebagai “Ku Li”.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan PAS akan membangkitkan isu royalti minyak ketika kempen, Tengku Razaleigh memberitahu, parti Islam itu tidak sepatutnya berbuat demikian.

“Pada pandangan saya isu ini (royalti) adalah isu nasional dan sebenarnya ia tidak perlu dibangkitkan kerena telah dibawa ke mahkamah.

“Nanti ia akan jadi subjudis bila isu ini dibangkitkan.

“Saya tidak perlu rasa bersalah terhadap PAS dengan isu ini, saya ahli Umno dan saya akan tegaskan perjuangan saya,” kata pengasas dan bekas pengerusi Petronas ini.

Tengku Razaleigh menyatakan sokongan moral ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS menuntut royalti daripada kerajaan pusat dan Petronas.

Kes itu telah difailkan di mahkamah pada 30 Ogos lalu.

Tengku Razaleigh bertanding di Gua Musang sejak pilihan raya umum 1969.

Minggu lalu, Umno-BN melantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS awal minggu lalu.

Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Sebelum ini Muhyiddin berkata, Tengku Razaleigh boleh dipertimbang sebagai calon BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas.

Muhyiddin berkata, BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Namun, katanya, soal sama ada Tengku Razaleigh mahu bertanding atau terdapat calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, terpulang kepadanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails