Tuesday, October 5, 2010

PRK Dun Galas : Bukti UMNO Ketandusan Pemimpin.

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

PETALING JAYA, 5 Okt — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Umno-Barisan Nasional semakin terdesak dan ketandusan calon sehingga terpaksa meletakkan harapan ke atas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk dipilih sebagai wakilnya bertanding pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Naib Presidennya Mustaffa Kamil Ayub berkata, Umno-BN dilihat tidak mempunyai pemimpin yang berwibawa sekiranya memilih Tengku Razaleigh.

“Kalau Umno-BN letakkan Tengku Razaleigh sebagai calon ia jelas menggambarkan mereka terdesak untuk membuat pemilihan calon di pilihan raya kecil Galas.

“Nyata Umno-BN tidak mempunyai barisan calon yang berwibawa untuk diketengahkan.

“Kalau Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon ia jelas menunjukkan mereka amat terdesak untuk menang,” katanya ketika sidang media di sini.


Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Tengku Razaleigh boleh dipertimbang sebagai calon BN untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas.

Muhyiddin berkata, BN sedia membincangkan perkara itu kerana beliau percaya Tengku Razaleigh merupakan calon paling tepat dan sesuai berdasarkan pengalaman dan pengaruhnya di Gua Musang.

Namun, katanya, soal sama ada Tengku Razaleigh mahu bertanding atau terdapat calon yang lebih sesuai untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan, terpulang kepadanya.

“Sebagaimana biasa kita beri lebih ruang pada beliau (selaku pengarah pilihan raya kecil Barisan Nasional bagi kerusi) untuk senaraikan (calon) dan kalau fikir ada nama paling tepat, sesuai dan boleh beri kemenangan cemerlang di situ, kita akan berikan keutamaan,” katanya.

Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, minggu lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Menurut Mustaffa, pengundi di Galas diyakini akan menolak Umno-Barisan dan akan memilih calon PAS.

“Ada dua sebab pengundi Galas akan tolak Umno-BN, yang pertama janji-jani yang masih belum tertunai di Manek Urai.

“Yang kedua mengenai pendirian pengundi dalam isu royalti minyak yang sehingga kini kerajaan persekutuan masih tidak berikan,” katanya.

Tambahnya, PKR akan memberi sokongan kepada calon yang dipilih pimpinan PAS dalam menghadapi pilihan raya kecil Galas.

“Parti komited dan DUN Galas akan dijadikan keutamaan. Kita akan menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih PAS.

“Kita yakin PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Galas ini,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails