Thursday, October 21, 2010

PR bantah sepanduk Umno di Parlimen

Hazayani Zakaria



KUALA LUMPUR, 21 Okt: Sebagai tanda bantahan terhadap tindakan Umno yang menggantung sepanduk Perhimpunan Agung mereka di laluan ke Parlimen, Pakatan Rakyat hari ini melakukan perkara yang sama.

Beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat menggantung sepanduk parti masing-masing di kawasan bangunan Parlimen sebagai tanda protes ekoran tiada sebarang tindakan diambil terhadap tindakan Umno tersebut yang didakwa menghina Parlimen.


Dalam sidang media di lobi Parlimen selepas itu, Dr. Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) berkata, Umno telah menyalah gunakan laluan ke Parlimen untuk mempromosi program mereka, yang langsung tidak ada kaitan dengan persidangan Dewan Rakyat ketika ini.

"Jalan ke Parlimen sememangnya meraikan rakyat dan ahli-ahli Parlimen yang ingin keluar masuk ke bangunan ini dan tidak menjadi masalah kalau Kerajaan menggantung sepanduk yang mempromosi program Kerajaan yang melibatkan semua rakyat.

"Tapi mereka ternyata mempromosi program parti yang tidak ada kaitan dengan persidangan Parlimen," kata beliau yang juga bendahari PAS Pusat.

Sementara itu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) menegaskan, tujuan mereka mereka menggantung sepanduk Pakatan Rakyat itu bagi mengetahui pendirian pentadbiran Parlimen mengenai perkara itu.

"Selepas saya buat protes, Speaker kata ini bukan bidang kuasa beliau. Jadi kalau Speaker kata tak ada kuasa, maksudnya parti lain pun boleh buat perkaera sama.

"Kita nak tahu apa pendirian Speaker atau pentadbiran Parlimen," katanya.

Isnin lalu, Teresa Kok yang juga setiausaha organisasi kebangsaan DAP membangkitkan perkara itu di dalam dewan.

Beliau mempertikai tindakan menggantung sepanduk itu dan mahu semua parti diberi peluang yang sama.

Namun Speaker, Tan Sri Amin Mulia berkata, perkara itu tidak ada kena-mengena dengan persidangan dan tidak seharusnya dibawa ke dalam Dewan.

"Yang Berhormat...sudah berapa kali saya ingatkan...kalau nak bangun bercakap, bercakaplah perkara yang berkaitan sidang.

"Berkenaan banner, itu bukan bidang kuasa saya. Kalau nak suruh saya melarang atau apa sahaja, tidak boleh. Itu kuasa DBKL.

"Jangan campur adukkan Dewan ini dengan soal politik dan soal-soal lain," kata Pandikar.

Tambah Teresa lagi, tiada asas yang membolehkan Umno menggantung sepanduk perhimpunan agung mereka kerana ianya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bukan di Parlimen.

"Perhimpunan mereka berlangsung di PWTC, jadi apa kena-mengena dengan Parlimen?" soalnya.

Abdullah Sani (PKR-Hulu Langat) pula berkata, Pakatan Rakyat ingin menguji kuasa mana yang digunakan kerajaan kerana sebelum ini, Pakatan tidak pernah diberi peluang yang sama walaupun telah membuat permohonna untuk menggantung sepanduk atau mengdakan sebarang program.

"Kita nak lihat di mana keadilan. Ini ujian di mana kuasa Speaker, di mana kuasa DBKL. Kalau mereka cabut sepanduk kita, bermaksud merekalah yang berkuasa.

"Sebelum ini pun, kita sentiasa mengikut prosedur dalam membuat permohonan untuk program kita tapi tak pernah diluluskan," katanya.


HarakahDaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails