Tuesday, October 12, 2010

PKR diminta tangguh pemilihan tumpu Batu Sapi

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin minta partinya yang dalam proses mengadakan sistem pemilihan langsung bersejarah peringkat pusat, kira-kira sebulan bermula 29 Oktober ini, agar menangguhkan aktiviti itu.

Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadian Rakyat (PKR) harus meneliti syor ini supaya parti ada masa yang cukup untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan proses pemilihan dan juga bagi memberi tumpuan ke atas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ini berkata, parti perlu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak “agar jangan sampai rumah sudah siap tetapi pahat terus berbunyi.”


“Kita hendak siapkan rumah baru dengan menggunakan sistem pemilihan dan memberi ruang demokrasi yang luas, tetapi dalam usaha kita hendak mencipta ruang demokrasi yang luas, jangan sampai kita dilihat rumah siap tetapi pahat terus berbunyi,” kata beliau ketika dihubungi.

Oleh itu pemimpin dari Rembau, Negeri Sembilan ini berkata, apa salahnya proses pemilihan ini ditangguhkan sementara bagi menyelesaikan beberapa masalah teknikal yang banyak dibangkitkan di peringkat cabang sebelum ini.

“Walaupun masalah yang wujud ini sikit sahaja tetapi boleh menjejaskan pencapaian sejarah besar kalau kita terburu-buru mahu menyelesaikan proses pemilihan ini dengan tidak cermat mendengar serta menyelesaikan masalah teknikal yang ada,” kata beliau lagi.

Malah Badrul Hisham yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia berkata, langkah berani parti memperkenalkan sistem satu undi satu ahli turut berjaya menggamit perhatian banyak pihak untu melihat proses pemilihan kali ini dijalankan dengan jaya.

Menurutnya, pemilihan 2010 juga dianggap sebagai harapan baru bagi anak muda sebelum mereka menempuhi pilihan raya kecil ke-13 iaitu Batu Sapi.

PKR selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan cabang 3 Oktober lalu tetapi sembilan cabangnya bermasalah.

Sebahagian cabang bermasalah akan mengadakan pemilihan sebelum kongres hujung bulan depan manakala yang lain akan berbuat selepas kongres.

Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat.

Selain itu, kata Badrul Hisham, pemilihan juga perlu ditangguhkan memandangkan partinya akan turun bertanding pada pilihan raya kecil Batu Sapi di Sabah.

Kerusi Batu Sapi diperuntukkan kepada PKR di bawah pembahagian kerusi kepada PKR tahun 2008.

“Parti memerlukan tumpuan penuh untuk menghadapi cabaran di Batu Sapi dan memenangi kerusi itu.

“Kerusi ini sangat penting bagi PKR dalam usaha menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13.

“Kekuatan kami dan Pakatan Rakyat di Semenanjung sudah cukup, dan sekarang perlu memberi tumpuan ke atas Sabah dan Sarawak bagi mengambil alih kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Oleh itu katanya, kejayaan di Batu Sapi adalah penting bagi PKR dan Pakatan Rakyat sebagaimana DAP menang di Sibu.

Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Mengenai kemungkinan ditangguhkan pemilihan kali ini, Badrul Hisham berkata ia boleh diputuskan oleh MPP.

“MPP yang boleh membuat keputusan dan membolehkan JPP menangguhkan pemilihan,” kata beliau sambil menambah telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin.

“Nampaknya mereka juga setuju dengan cadangan ini. Saya akan menulis surat kepada ibu pejabat hari ini mencadangkan perkara ini,” katanya.

PKR akan mengadakan mesyuarat mingguan Biro Politik setiap Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu notis Parlimen untuk mengadakan mesyuarat khas menetapkan pilihan raya kecil.

Pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan diadakan pada 4 November.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails