Wednesday, October 20, 2010

PKR bukan untuk memperjuangkan nasib Anwar Ibrahim saje...

Mungkin ada pihak yang akan terasa dengan kenyataan dari Dato Zaid Ibrahim ini namun begitu kita perlu melihat dari ruang litup yang lebih besar yang memerlukan tiada dendam sesama kita, jika semua pemimpin PKR takut menyatakan kebenaran, takut untuk menyatakan yang salah itu salah dan yang benar itu benar hanya berani menyampaikan yang indah-indah saja kepada pemimpin atasan… apa bezanya PKR dengan UMNO?


Memperkukuhkan Keadilan

Keadilan perlu diacuankan untuk menjadi sebuah kekuatan politik yang tulen, sebagai sebuah kekuatan yang boleh dijadikan sandaran rakyat dan rakan-rakan dalam pakatan dalam usaha membentuk masa depan yang lebih baik. Pemilihan ini adalah penentu masa depan parti dan negara.

Kita perlu terlebih dahulu memperbaiki diri kita sebelum kita boleh memikirkan soal memperbaiki negara. Kita perlu meletakkan diri sebagai pemimpin dalam Pakatan Rakyat, menjadi pentas yang kukuh bagi orang ramai dan mengemudi Pakatan bagi memenangi PRU-13 nanti.

Kewujudan kita harus menguntungkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan bukannya hambatan. Kita perlu memperjuangkan keadilan untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim, namun pada masa yang sama juga terdapat banyak ketidakadilan yang menimpa rakyat negara ini yang memerlukan perhatian kita.


Rakyat rata-rata mendesak mahukan keadilan ekonomi dan keadilan sosial dan hak supaya diberi layanan dengan hormat dan bermaruah mengikut kedaulatan undang-undang. Kita tidak patut menurunkan darjat parti ini menjadi sebuah parti yang memperjuangkan hanya satu isu. Hal ini tidak adil bagi mereka yang ingin kita wakili.

Kita bukan sahaja sebuah parti “Reformasi”, sebagai nama bagi sebuah gelombang di hujung 1990an, tetapi juga sebuah parti yang menuntut refromasi tulen dan sanggup untuk mereformasi diri. Saya menitikberatkan masa depan proses perubahan. Pemilihan kali ini bukan soal jawatan, kedudukan atau permainan kuasa. Ia bukan soal siapakah yang bakal memegang tampuk kuasa selepas ini. Ia adalah soal apakah yang hendak dan boleh dilakukan selepas ini.

Pemilihan 2010 merupakan julung kalinya untuk negara dan juga untuk parti kita. Setiap anggota mempunyai satu undi, dan setiap undi diambil kira. Untuk julung kalinya dalam sejarah, parti boleh memilih para pemimpin kerana prinsip yang dipegang dan diperjuangkannya dan bukan kerana kesetiaan membabi-buta. Parti bukan membuat keputusan mengenai seseorang calon hanya kerana sumbangan dan komitmen calon berkenaan.

Saya percaya anggota-anggota parti kita sudah cukup matang untuk menilai sendiri para pemimpin mereka yang sedia ada. Saya serahkan kepada kebijaksanaan anggota-anggota parti untuk memutuskan tentang cadangan dan wawasan yang saya ketengahkan kerana saya yakin bahawa inilah cara yang dapat membawa perubahan sebenar kepada Kerajaan kita.

Saya bersyukur dan sangat berterima kasih kerana keyakinan dan sokongan yang ditunjukkan oleh anggota-anggota dan cabang-cabang parti menerusi pencalonan yang mereka berikan kepada saya. Lagipun, apa yang saya pertahankan dan suarakan adalah untuk mereka.

Saya bertanding jawatan ini bukan untuk berseronok-seronok, bermegah-megah dan membangga diri. Saya bertanding jawatan ini kerana jawatan ini banyak cabarannya. Saya bertanding kerana banyak kerja berat yang masih perlu dilaksanakan.

Dalam pada calon-calon lain tidak habis-habis bercakap tentang kemampuan mereka untuk melindungi Anwar, saya pula percaya bahawa beliau telah membariskan pasukan peguam yang terbaik untuk membelanya. Saya juga prihatin tentang beliau dan keluarganya, tetapi perjuangan dan kepentingan rakyatlah yang paling mustahak. Dan saya tahu anggota-anggota parti dapat membezakannya.

Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa masa depan Malaysia adalah saling berkait dengan masa depan parti kita. Kita mesti terus bergerak pada landasan yang betul. Rakyat telah memilih untuk memberikan kepercayaan kepada kita.

Jadi, dengan penuh takzim dan rendah hati saya meminta agar anda memberikan keyakinan dan kepercayaan untuk kita sama-sama berusaha mendapatkan kembali cita-cita dan idaman parti kita pada saat yang bersejarah ini.

Sembilan Perkara Bagaimana Hendak Menggiatkan Semula Parti dan Negara

1. Kita perlu mencergaskan semula akar umbi kita. Ini kerana kejayaan sesebuah parti politik perlu diukur melalui aktiviti-aktiviti di peringkat akar umbi. Cabang-cabang kita terdiri daripada individu-individu yang bersemangat tinggi dan komited tetapi sedihnya tidak mempunyai tenaga dan dinamik yang cukup kerana ketiadaan pembiayaan. Saya mampu mencari penyelesaian bagi membolehkan jentera politik yang lebih cekap dan berkesan untuk memberikan sokongan kepada para pemimpin ini dan kerja-kerja murni mereka.

Adalah penting agar cabang-cabang menjadi lebih bertenaga dan membabitkan diri dalam proses parti. Adalah penting bagi aktiviti parti mencerminkan keinginan yang tinggi dan dorongan pemimpin-pemimpin cabang. Saya akan galakkan pengambilan anggota-anggota baru sambil menitikberatkan pertambahan anggota yang bermutu dan komited, bukan hanya bilangan yang banyak tanpa mutu. Kita mesti buang mereka yang nama mereka yang masih di daftar keahlian sedangkan hati mereka telah sama-sekali meninggalkan parti. Kita akan secara aktif menggariskan perjuangan parti untuk mengekalkan tumpuan dan bukan cuma banyak memperkatakan isu-isu lama.


2. Kita mesti memperkasa penyokong setia parti kita menerusi pendemokrasian selanjutnya, tidak kira jawatan dan kedudukan mereka. Kita perlu keluar dari politik feudal, kita perlu memberikan kebebasan kepada cabang-cabang parti daripada kongkongan pusat dan memperkasa jawatankuasa-jawatankuasa peringkat cabang dan negeri.

Merekalah yang paling hampir dengan isu-isu berkaitan dan yang paling maklum dan mempunyai keupayaan untuk menanganinya. Kita tidak lagi boleh beranggapan bahawa kepimpinan pusat tahu tentang segala-galanya. Saya akan bekerjasama dengan anggota-anggota parti di setiap peringkat untuk membangunkan dasar-dasar yang adil dan yang mampu bertahan untuk pengurusan yang lebih baik.


3. Kita perlu memperluaskan keanggotaan kita kepada mereka yang berupaya dan sanggup menyumbang, tanpa diskriminasi. Parti perlu lebih inklusif. Ramai bekas anggota yang telah dipinggirkan, atau yang hampa, atau yang hilang minat, perlu dialu-alukan kembali ke pangkuan parti.

Kita perlu mengenal pasti anggota-anggota yang mempunyai kemampuan, memberikan mereka peluang memegang jawatan dan peranan lebih besar. Kerana kewibawaan kita adalah tergantung kepada kewibawaan pemimpin-pemimpin yang kita pilih. Mereka perlu dipilih menggunakan piawaian paling ketat. Mereka perlu mencerminkan masyarakat yang mereka wakili. Warga Sabah umpamanya sepatutnya dibenarkan memilih ketua-ketua mereka sendiri. Begitu juga halnya dengan warga Sarawak.


4. Kita perlu berusaha menjadi pari pelbagai kaum dan agama yang diperlukan negara ini. Inilah yang akan menjadi kekuatan kita. Kita perlu menyatukan anggota-anggota daripada setiap kaum dan agama dalam negara ini. Inilah yang akan jauh membezakan kita dengan barisan parti pemerintah yang gagal untuk menyatukan bangsa Malaysia setelah 53 tahun berkuasa. Kita perlu merebut peluang ini, perlu membuktikan bahawa kita mampu untuk menyatukan rakyat di seluruh negara. Saya akan bekerja tanpa henti untuk memadamkan prasangka dan curiga kekelompokan, perkauman dan keagamaan.

5. Kita perlu mengenepikan dasar pecah dan perintah yang dipakai selama ini oleh barisan parti pemerintah yang sedang berkuasa. Dasar ini memudaratkan dan memundurkan. Sebagai sebuah parti politik progresif, Keadilan mampu melangkah melampaui sempadan kaum, agama, dan kebudayaan dalam konteks Perlembagaan yang sedia ada. Kepelbagaian inilah kekuatan kita. Saya akan mengedepankan model untuk sebuah parti politik yang lebih telus dan demokratik. Kita tidak boleh menghabiskan tenaga kita bermain politik dalam kubu kelompok — Malaysia Timur lawan Malaysia Barat, reformis lawan Islamis, Anwaris dan Sosialis lawan setiap yang lain.

6. Kita perlu konsisten dalam percakapan dan perbuatan. Pemimpin-pemimpin PKR dan Pakatan Rakyat harus sentiasa meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan-kepentingan lain. Perlu ada kesepakatan tentang apa yang kita perjuangkan sebagai sebuah kumpulan. Sebagai penyelaras Pakatan Rakyat, saya mampu melaksanakan agenda ini dengan baik.

7. Pendirian kita dalam soal-soal hak dan kebebasan rakyat wajib jelas. Kita perlu memperjuangkan nasib semua warga Malaysia. Saya percaya parti ini harus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan memperjuangkan keadilan untuk setiap kaum tanpa takut dituduh mengabaikan kaum kita sendiri.

8. Saya akan memastikan aset kita paling berharga, iaitu Selangor, akan terus kuat dan bebas dari sengketa dalaman. Saya akan memastikan Tan Sri Khalid Ibrahim mendapat semua sokongan yang diperlukannya untuk menjamin kejayaan dalam pilhanraya dan memacu kegiatan pembangunan agar rakyat mengekalkan PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor.

9. Kita wajib, sebagai pembangkang, memenuhi peranan utama kita menegur dan mengimbangi pemerintah yang ada. Peranan utama kita ialah untuk memastikan kerajaan yang ada ini menjalankan tugas secara yang dapat dipertanggungjawabkan. Kita hanya dapat menjalankan peranan ini jika kita dapat meyakinkan rakyat bahawa kita memiliki barisan pemimpin yang berkemampuan dalam parti.

Untuk mencapai perkara tersebut, saya akan memilih hanya mereka yang terbaik untuk membantu kita dan Ahli-ahli Parlimen kita — mereka yang terdiri dari orang awam, para cendekiawan, teknokrat dan mereka yang ahli dalam bidang masing-masing. Saya akan membentuk saluran rasmi untuk berhubungan dengan orang ramai dan untuk mentadbir secara perundingan dengan orang ramai.



Zaid Untuk Rakyat

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails