Tuesday, October 26, 2010

Penamaan calon dua pilihan raya kecil serentak hari ini

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Pilihan raya kecil serentak buat kali kedua sejak 8 Mac 2008 berlangsung hari ini dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) turun untuk merampas kerusi tambahan untuk parti masing-masing — DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Kedua-dua BN dan PR meletakkan calon masing-masing meskipun menyedari ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri dan pusat.

Sebaliknya ia dilihat mahu membawa kemenangan moral masing-masing menjelang pilihan raya umum ke-13.

Negara menyaksikan tiga pilihan raya kecil serentak awal tahun lalu — masing-masing dua di Semenanjung dan satu di Sarawak.


Apa yang menarik sebuah parti komponen BN yang keluar perikatan itu akhir 2008 juga turun buat kali pertama sebagai pesaing.

Parti Maju Sabah (SAPP) akan bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi dan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas akan bermula 8 pagi dan jika ada pertandingan, pengundian dijadualkan pada 4 November.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Dalam pada itu, Datuk Edmund Chong Ket Wah memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Tsen merupakan balu kepada Chong. — Gambar oleh Jack OoiSetakat kelmarin empat parti politik utama termasuk SAPP telah mengumumkan nama bakal calon masing-masing termasuk seorang wanita untuk bersaing pada pilihan raya kecil serentak di Galas dan Batu Sapi.

Selain kemuncul SAPP sebagai parti yang menyaingi BN, buat pertama kali, pilihan raya kecil sejak Mac 2008 menyaksikan seorang calon wanita diturunkan oleh parti politik utama.

BN meletakan sandaran pada Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Tsen, 54, merupakan balu kepada penyandang kerusi itu yang meninggal dunia awal bulan ini.

Chong meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.

SAPP pula akan diwakili Presidennya Datuk Yong Teck Lee.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat untuk bersaing dengan Tsen.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang PKR Tuaran.

Beliau mengakui pilihan raya kecil Batu Sapi kali ini adalah sengit, namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.

Dalam pada itu, saingan pilihan raya kecil kerusi Galas akan menyaksikan pertarungan tradisi antara PAS yang mewakili PR dan Umno dari BN.

Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff akan membawa cabaran perikatan tersebut manakala PAS pula diwakili oleh Dr Zulkefli Mohamad.

Dr Zulkefli pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang pada 2004 dan 2008.

Mengambil kira perkembangan tahun 2008 dan kenyataan-kenyataan sebelum ini, selain calon parti-parti utama, kedua-dua pilihan raya kecil ini dijangka akan menyaksikan cabaran calon Bebas.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails