Sunday, October 31, 2010

Pemilihan PKR : Zaid Masih didepan..

KUALA LUMPUR, 31 Okt — Persaingan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin rancak, walaupun peratusan keluar mengundi masih rendah, dengan ketiga-tiga calon mula merapatkan jurang undi khususnya pada hari kedua semalam.

Datuk Zaid Ibrahim masih mendahului Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub tetapi persaingan sengit dilihat membabitkan Zaid dan Azmin. Keputusan tidak rasmi diperoleh The Malaysian Insider menunjukkan Zaid telah mengumpulkan 1,552 undi manakala Azmin pula 1,509 dan Mustaffa 636 — jumlah undi sepanjang dua hari pertama pengundian pemilihan pusat dilangsungkan.

Ini kali pertama PKR mengadakan sistem pemilihan secara langsung membolehkan kaedah satu ahli satu undi digunakan.

Pun begitu, Azmin memperoleh undi terbanyak semalam iaitu 1,008 berbanding Zaid 974 manakala Mustaffa 572. Pada hari pertama kelmarin, Zaid menerima 577 undi, Azmin 374 dan Mustaffa 61.


Bagi kerusi naib presiden, empat calon yang memperoleh undi terbanyak pada hari pertama masih berada di depan dalam saingan membabitkan seramai 17 calon. Mereka ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, Pengarah Strategi PKR Tian Chua dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman.

“Keempat-empat calon ini dilihat masih di depan, tetapi saya tiada jumlah undi yang tepat,” kata seorang pemimpin kepada The Malaysian Insider. Sumber memberitahu, bagi jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), daripada 30 cabang yang dikumpulkan keputusan pengundian setakat awal pagi ini, Badrul Hisham Shaharin memperoleh 459 undi manakala penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin 328 undi.

Setakat semalam 41 cabang telah mengadakan pengundian manakala 27 cabang lagi hari ini. Tiga cabang di Melaka iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah dan Tangga Batu, dua di Negeri Sembilan (Rembau dan Tampin) dan enam di Pulau Pinang iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Bukit Mertajam. Pulau Pinang dan Melaka memulakan tirai pengundian hari ini.

Sejumlah lapan cabang di Perak iaitu Tambun, Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Beruas, Parit dan Kampar terlibat dalam pengundian hari ini.

Sembilan cabang di Perak telah menyelesaikan pengundian mereka semalam. Pahang juga menyambung pengundian hari ini dengan cabang yang terbabit ialah Paya Besar, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Bentong, Bera dan Rompin.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails