Wednesday, October 6, 2010

Pemilihan PKR : Shamsul kembali bertanding Ketua AMK?

Oleh Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Khabar angin bertiup semakin kencang mengenai Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan jawatan Ketua AMK dan bukannya bertanding jawatan naib presiden seperti diumumkan 16 September lalu.

Perkara ini dijelaskan oleh beberapa pemimpin AMK khususnya di Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang sejak beberapa hari lalu.

Seorang pemimpin AMK cabang Gombak berkata, beliau mendengar perkara itu daripada rakannya dari Pahang, Sabtu lalu.

"Ramai ketua AMK cabang Selangor dan negeri lain telah bekerja untuk Shamsul bagi memastikan beliau menang jawatan ketua AMK," katanya yang mahu namanya dirahsiakan.


Ketua AMK Johor, Zabidie Abas ketika dihubungi hari ini berkata, ramai ahli AMK di negeri itu yang mengharapkan Shamsul mempertahankan jawatan ketua AMK.

Katanya, enam cabang PKR Johor telah mencalonkan Shamsul untuk bertanding jawatan ketua AMK.

Masa depan politik

"Untuk masa depan politiknya, Shamsul perlu bertanding jawatan ketua AMK dan memberi laluan kepada calon lain bertanding jawatan naib presiden.

"Umurnya baru 36 tahun dan saya kira masa yang sesuai untuk beliau bertanding jawatan naib presiden ialah pada pemilihan akan datang," katanya.

Sementara itu, empat atau lima dari 11 cabang AMK PKR Pahang mencalonkan Shamsul untuk bertanding jawatan ketua AMK.

Ketua AMK Pahang, Rizal Jamin berkata, secara keseluruhannya semua pemimpin AMK baik di peringkat negeri atau cabang mahu Shamsul kekal sebagai ketua AMK.

"Daripada senarai calon yang menawarkan diri bertanding ketua AMK, semuanya tidak mempunyai kualiti kepimpinan sebaik Shamsul. Maknanya kekosongan yang ditinggalkan Shamsul tidak mampu diisi oleh pemimpin AMK lain," katanya.

Shamsul tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung perkara tersebut.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails