Monday, October 4, 2010

Pemilihan PKR : Proses Pemulihan Dalaman Parti

Oleh Hamdan M. Salleh

Unik. Itulah yang dapat digarap bagi memberi persepsi Pemilihan KEADILAN 2010. Seluruh peminat politik negara nyata memberi tumpuan kepada satu proses yang belum pernah berlaku dalam amalan parti politik dan kepartian di Malaysia.

Ada yang memuji, banyak juga yang mengeji, belum dikira yang keliru dan setengahnya mengkritik tanpa memahami sedalam-dalamnya proses yang dijalankan.

Barisan Nasional terutama Umno menjadikannya sebagai isu besar dan peluru untuk membedil KEADILAN. Rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat pula tertunggu-tunggu dan ada yang risau dengan proses penentu kesinambungan KEADILAN.

Memang ia unik. Mana tidaknya, barisan kepimpinan dari peringkat tertinggi hinggalah ke Cabang dipilih oleh setiap ahli yang keluar mengundi.


Satu Ahli Satu Undi. Pada asasnya, semua yang sah menjadi ahli serta menjelaskan yuran tertunggak pada hari mengundi layak memberi undi mereka kepada sesiapa jua calon yang mereka inginkan.

Keadaan ini sudah tentu menimbulkan situasi yang pelbagai. Timbul persoalan, apakah kesan kepada KEADILAN? Adakah PEMILIHAN 2010 ini akan mengukuh atau mengakibatkan KEADILAN berpecah hingga impaknya akan dirasai pada Pilihan Raya Umum ke-13?

Salah satu impak sudah pasti. Sama ada KEADILAN akan menjadi lebih kukuh sebaik tamatnya proses pemilihan menjelang November 2010 atau ia kembali berpecah dan mungkin lebih serius dari apa yang berlaku dalam Pemilihan 2001. Hanya masa akan menjadi penentu.

Namun, KEADILAN perlu melihat secara positif dengan proses ini. Bukan mudah untuk mengendalikan pengundian dua peringkat yang melibatkan hampir 500,000 ahli di 212 Cabang seluruh negara.

Secara am, KEADILAN tidak boleh dibandingkan dengan Umno, PAS mahupun DAP. KEADILAN sebuah parti baru. Usianya jika dimanusiakan hanya seorang kanak-kanak darjah 4 sekolah rendah.

Umno dan PAS usianya lebih lima dekad. Begitu juga DAP yang sudah amat matang. Malah, parti-parti “otai” yang muncul lama sebelum KEADILAN itu tidak melaksanakan pemilihan parti serumit ini.

Ini format baru. Setiap ahli ada kuasa mengundi seperti yang diluluskan dalam Konvensyen Khas KEADILAN 2009. Jadi, ia bukan suatu yang mudah untuk dijalankan.

Apatah lagi pelaksanaannya merangkumi seluruh negara di mana kita maklum bahawa KEADILAN bukanlah parti berakar umbi seperti Umno dan PAS. Parti ini adalah parti dari atas ke bawah. Bukan bermula dari cawangan seperti kedua-dua parti tersebut.

Uniknya Pemilihan KEADILAN adalah ramai yang bertanding di peringkat tertinggi tidak mempunyai apa-apa jawatan atau tewas di peringkat Cabang. Contohnya Datuk Zaid Ibrahim, walau hanya setahun dalam KEADILAN sudah menjadi Ketua KEADILAN Wilayah Persekutuan layak bertanding pula jawatan Timbalan Presiden.

Malah beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan di Ranting dan baru dipilih Ketua Cabang. Uniknya beliau adalah Ketua KEADILAN Wilayah Persekutuan.

Mustaffa Kamil Ayub, Naib Presiden KEADILAN serta ketua KEADILAN Perak tewas di peringkat pemilihan Cabang (MATC) Pasir Salak. Peliknya, Cabang yang menolaknya sebagai ketua pula mencalonkannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Unik bukan? Ini sudah tentu tidak berlaku dalam parti-parti lain. Mustahil keadaan ini berlaku dalam Umno. Datuk Seri Najib sudah tentunya Ketua Umno Bahagian Pekan yang kemudiannya sudah semestinya memimpin negeri dan kemuncaknya menjadi Presiden Umno serta meneraju BN.

Tidak mungkin diterima keadaan Datuk Seri Najib kekal sebagai Perdana Menteri seandainya beliau tewas dalam pemilihan Umno Bahagian Pekan. Situasi ini tidak salah kerana sudah menjadi lumrah politik di Malaysia.

Ini nyata tidak terjadi di dalam Pemilihan KEADILAN. Keadaan yang sama tentunya berlaku dalam parti-parti lain yang ada di Malaysia.

Tetapi, apa yang berlaku dalam KEADILAN juga tidak salah. Malah jauh lebih baik dan telus. Ia adalah satu proses perjalanan demokrasi tulen yang diperjuangkan oleh KEADILAN sebagi sebuah institusi kepartian politik yang sah.

Jadi, adakah PEMILIHAN 2010 ini bermasalah?

Pertama, semestinya mempunyai masalah tetapi tidaklah bermasalah. Pemilihan parti manakah yang tidak bermasalah? Masalah dalam mengendalikan sesuatu acara atau agenda tentunya mempunyai masalah dan cabarannya tersendiri.

Apatah lagi dalam mengurus agenda organisasi seperti parti politik. Ianya normal sahaja. Jika dilihat secara statistik, Cabang yang bermasalah dalam pemilihan setakat akhir September cuma tujuh. Walhal, Cabang yang telah bersidang untuk mengundi lebih 200.

Ini bermakna hanya 4 peratus yang bermasalah. Itu satu jumlah yang rendah. Amat rendah. Jika pengundian seremeh Akademi Fantasia dan Malaysia Idol pun hangat dan panas, apatah lagi pemilihan kepimpinan politik. Tambahan pula semua ahli mengundi bukan perwakilan.

Kedua, dari sudut promosi. Pemilihan KEADILAN 2010 ini merupakan iklan percuma untuk memperkenalkan lagi parti ini kepada rakyat Malaysia terutama mereka yang bukan ahli.

Media cetak dan media elektronik saban hari menyiarkan pelbagai berita positif dan negatif berkenaan Pemilihan KEADILAN. Baik Sinar Harian, malah Utusan Malaysia dan Berita Harian mempunyai ruang khusus untuk itu. Sudah tentu ia iklan tidak rasmi kepada bukan ahli disebalik pengharaman Suara Keadilan yang belum tentu bilakah ia akan mendapat status halalnya dari pihak Kementerian Dalam Negeri.

Itu belum dikira pelbagai blog dan laman sesawang yang menyiarkan pelbagai berita dan artikel tentang proses unik ini. Hakikat yang perlu diakui oleh semua, ia menarik minat ramai rakyat Malaysia termasuk mereka yang sebelum ini tidak berminat dalam isu politik.

Ketiga, ia sebenarnya satu latihan dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Amati semangat berkobar-kobar mereka yang bertanding, yang menyokong dan yang mengundi.

Kempen bukan sahaja disertai pelbagai risalah dan sepanduk, ia turut penuh dengan adegan “panas” yang biasa kita lihat dalam pilihan raya.

Ramai yang terlibat dalam proses ini dan tentunya semangat berkobar-kobar ini sekiranya boleh diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum nanti pastinya memberi kesan positif yang amat besar kepada jentera parti dengan syarat “konflik adik-beradik” dalam keluarga besar KEADILAN ini dapat disatukan sebaik sahaja tamatnya Pemilihan 2010.

Jumlah ahli yang keluar mengundi terutama di Selangor amat mengejutkan. Cabang Kapar menyaksikan dari kurang lebih 5,000 ahli KEADILAN yang berdaftar, lebih 4,000 keluar mengundi.

Cabang-cabang lain juga menyaksikan jumlah keluar mengundi yang tinggi. Ini tentunya berita baik dalam usaha KEADILAN dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mempertahankan Selangor.

Mengapa Selangor penting? Kerana dari 500,000 ahli KEADILAN, sejumlah 150,000 atau 37.5 peratus ahli KEADILAN berada di Selangor. Ini juga bermakna KEADILAN sebenarnya tidak ketandusan ahli yang aktif.

Hikmah besar Pemilihan 2010 turut menampakkan ahli-ahli KEADILAN bukanlah sekadar dalam senarai di kertas. Pemilihan ini mengaktifkan juga mereka yang belum aktif, lesu dan mereka yang selama ini merasa cukup sekadar menjadi ahli biasa.

Keempat, Pemilihan 2010 ini membuktikan KEADILAN adalah sebuah parti yang ke hadapan, progresif serta tidak ketandusan pemimpin dari peringkat tertinggi hinggalah ke akar umbi.

Persoalan siapakah selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kerap timbul mungkin akan terjawab menerusi pertandingan jawatan Timbalan Presiden.

Calon-calon seperti Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub bukan calang-calang kredibiliti mereka. Masing-masing mempunyai kelebihan pengalaman, karisma, pemikiran serta idea tersendiri.

Itu belum dikira tokoh-tokoh yang turut pencalonan seperti Tan Sri Khalid Ibrahim dan Tian Chua. Naib Presiden juga menyaksikan begitu ramai tokoh yang boeh dinilai dan kemudiannya diundi oleh ahli-ahli.

Ini turut berlaku dalam pemilihan peringkat Cabang yang mana bukan sedikit mereka yang menawarkan diri. Keadaan ini perlu dilihat dari sudut positif.

KEADILAN perlu melahirlan lapisan pemimpin yang pelbagai selaras dengan kewujudan KEADILAN sendiri sebagai sebuah parti yang merentas ras dan ideologi.

Budaya politik wang yang sentiasa menjadi barah dan bisul parti politik juga dapat diminimakan kerana proses Satu Ahli Satu Undi tidak memungkinkan para pemimpin yang bertanding ini mampu menabur sekian banyak wang kepada semua ahli untuk mendapatkan undi.

Justeru itu, Pemilihan KEADILAN 2010 adalah satu agenda penting untuk memperkukuhkan lagi KEADILAN. Atau dengan izin, Pemilihan 2010 adalah Pemulihan Dalaman KEADILAN terutama jika diambil kira peristiwa-peristiwa negatif yang melanda KEADILAN pasca Tsunami 2008.

Kali ini, ahli parti yang menjadi penentu. Ia satu proses yang penting dan bersejarah serta akan menjadi titik tolak usaha KEADILAN dan rakan-rakan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Dari kemunculannya sebagai Parti KeADILan Nasional pada 4 April 1999, kemudiannya penggabungan bersama Parti Rakyat Malaysia tanggal 3 Ogos 2003, disusuli pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim detik 2 September 2004 dan kemudiannya diperkukuhkan dengan politik Harapan Baru hingga membawa kejayaan pada Pilihan Raya ke-12; inilah gear lima kepada KEADILAN untuk mencapai hasrat dan cita-cita parti tersebut.

Bagi mereka yang bertanding pasti ada kalah dan menang. Namun anggaplah ia sebuah pertandingan sihat dalam keluarga besar KEADILAN.


Hamdan Datuk Mohd. Salleh merupakan ahli akademik di Univerisiti Industri Selangor (Unisel) yang mengkhusus dalam bidang sains politik. Kini beliau sedang menyiapkan tesis Doktor Falsafah yang mengkaji KEADILAN sebagai sebuah parti politik oposisi di Malaysia.


Suara Keadilan

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails