Friday, October 1, 2010

Pemilihan PKR : Mustaffa umum pendirian hari ini, akui diserang hebat

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Serangan hebat yang membawa kepada kekalahan di peringkat cabang minggu lalu tidak menjejaskan pertimbangan dalam menentukan sama ada menerima pencalonan bertanding jawatan timbalan presiden, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub.

Mustaffa dijadual mengumumkan pendiriannya sama ada bertanding kerusi nombor dua parti itu di sini petang ini.

Selain jawatan timbalan presiden, beliau juga dicalonkan untuk mengekalkan kerusi naib presiden.
“Saya akan mengumumkan dalam sehari dua... ya, hujung minggu ini,” kata beliau .

Mustaffa, antara tujuh pemimpin yang dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden parti itu kali ini, gagal dalam persaingan jawatan ketua cabang Pasir Salak, Perak pada 25 September lalu.

PKR mengadakan sistem pemilihan langsung julung kali membabitkan setiap ahli boleh mengundi di peringkat pusat.

Perkembangan itu mengejutkan banyak pihak tetapi dikatakan mempunyai sokongan di peringkat nasional.


Pengerusi PKR Perak itu ditewaskan oleh bekas ketua cabang tersebut Osman Abdul Rahman dengan perbezaan 17 undi.

Dalam saingan satu lawan satu Mustafa mendapat 94 undi manakala Osman pula menerima 111 undi.

Mustaffa memangku jawatan ketua cabang itu selepas Osman berundur sementara atas sebab peribadi tiga tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mustaffa berkata, beliau sebenarnya telah berhadapan dengan “serangan yang cukup hebat” daripada luar parti sehingga membawa kepada kekalahan.

“Penyokong-penyokong saya mengatakan bahawa mereka hendak membuat bantahan... itu adalah proses biasa, dan saya izinkan.

“Namun, saya dapat melihat adanya serangan yang cukup hebat daripada musuh politik Keadilan,” kata beliau sambil menerangkan, musuh politik itu datang dari luar parti.

Katanya, selaku pengerusi PKR Perak ada usaha tersusun mahu menjatuhkannya di peringkat negeri itu sebelum pemilihan pusat kelak.

Mustaffa berkata, mengambil kira senario yang berbeza di Perak, Umno-BN yang didakwanya berada dalam ketakutan dan menyusun strategi untuk melakukan serangan bagi memastikan kekalahan di peringkat cabang.

Pakatan Rakyat yang memenangi Perak dalam pilihan raya umum Mac 2008 kehilangan negeri itu di tangan BN selepas dua wakil rakyat PKR dan seorang dari DAP melompat parti awal 2009.

Mustaffa dilantik ketuai PKR Perak kemudian.

“Saya melihat ini satu cabaran,” kata beliau sambil tidak menolak ada juga serangan dari dalam parti.

“Tetapi saya melihat serangan adalah lebih besar dari luar parti,” kata beliau.

Mengenai bilangan pencalonan, Mustaffa berkata, pencalonan memang diperlukan tetapi ia berbeza daripada pengundian kelak.

“Walaupun pencalonan orang lain lebih besar, tetapi ia bukan gambaran sebenar sokongan,” katanya lagi.

Seorang lagi Naib Presiden PKR Azmin Ali mendahului dari segi pencalonan jawatan timbalan presiden dengan disusuli Datuk Zaid Ibrahim, Mustaffa, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jika Mustaffa memutuskan untuk bertanding, persaingan kemungkinan tiga penjuru.

Kesemua mereka sudah memperoleh pencalonan minimum dua yang disyaratkan oleh perlembagaan parti, tetapi Azmin berada jauh di depan.

Cabang-cabang PKR mula mengadakan mesyuarat agung tahunan sejak 17 September lalu.

Proses pemilihan cabang dan pencalonan akan berakhir Ahad lalu manakala tujuh cabang berhadapan dengan masalah.

Sebanyak 23 cabang lagi akan mengadakan mesyuarat mereka, kebanyakannya dari Selangor dan Sarawak esok dan lusa.


The Malaysian Insider


Pesanan buat Mustafa Kamil ataupun juga dikenali sebagai Yeop.. tak perlulah meletakkan kesalahan kepada orang lain.. siasatlah dulu kenapa anda kalah..

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails