Friday, October 1, 2010

Pemilihan PKR : Ketua Cabang Bukit Gelugor didakwa guna taktik kotor

2010/10/01

GEORGETOWN: Calon bagi jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Bukit Gelugor mendakwa ketua cabang berkenaan mengamalkan taktik kotor untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan, Ahad ini.


Team Lim Boo Chang (Team Progresif)

Lim Boo Chang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S Raveentharan turut melemparkan fitnah tidak berasas kepada pihak lawan selain menggunakan logo kerajaan negeri dalam manifestonya dalam usaha mempertahankan jawatan ketua cabang. "Pasukan diketuai Raveentharan mengeluarkan pelbagai fitnah terhadap kami dalam kempennya termasuk meminta supaya perwakilan tidak mengundi saya kerana pernah menganggotai parti GERAKAN dan MCA sebelum menyertai PKR pada April 2008," katanya pada sidang media hari ini.


Katanya, beliau juga ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta perwakilan supaya tidak mengundi individu pernah menyertai parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan cabang berkenaan daripada hancur.

"Kalau begitu, ramai lagi ahli dalam PKR termasuk pemimpin tertinggi juga tidak harus dipilih kerana mereka sebelum ini menganggotai parti komponen dari BN seperti Azmin Ali, Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr Chua Jui Meng dan Datuk Zaid Ibrahim, malah ada di kalangan mereka diberikan jawatan tertinggi dalam parti dan Pakatan Rakyat seperti Zaid yang dilantik sebagai penyelaras pakatan.

"Adakah mereka ini menghancurkan parti? Kalau beginilah sikap mereka, mungkin semua bekas ahli dari parti komponen BN tidak sepatutnya menyertai PKR kerana tidak dialu-alukan oleh segelintir individu yang hanya mahu mengejar agenda peribadi, bukannya memperjuangkan keadilan demi rakyat seperti didukung parti ini (PKR)," katanya.

Dalam pemilihan Ahad ini, Lim yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Bukit Gelugor akan menentang Raveentharan bagi jawatan ketua manakala jawatan timbalan ketua Cabang pula, pasukan yang dikenali "pasukan progresif" akan diwakili Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Sungai Dua, Roslan Ramanshah.

Roslan yang turut hadir pada sidang media berkenaan mendakwa dirinya turut menjadi mangsa fitnah Raveentharan yang menuduhnya mengamalkan kempen ala-samseng, menagih dadah dan meminum arak berikutan insiden pergaduhan yang berlaku di Pangsapuri Hamnah, Sungai Dua pada 11 September lalu ketika sekumpulan golongan belia sedang menganjurkan majlis makan malam yang turut dihadiri Lim.

"Dakwaan dalam SMS berkenaan yang mengatakan ia adalah kempen adalah tidak benar kerana Lim dijemput ke majlis itu bukan tujuan politik, sebaliknya untuk makan-makan saja...tiada juga arak disediakan seperti didakwa," katanya.

Roslan berkata, Raveentaharan melakukan satu kesalahan apabila menggunakan logo kerajaan negeri dalam manifestonya yang tidak sepatutnya dilakukannya walaupun beliau adalah ADUN Batu Uban.

"Kenapa harus campur adukkan politik PKR dengan kerajaan negeri, ia adalah dua perkara berbeza," katanya.
BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails