Saturday, October 30, 2010

Pemandu bas korban tujuh Tiada Lesen Memandu



KUALA LUMPUR, 30 Okt — Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.


“Pemandu bas tersebut sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Che Husin berkata pemandu tersebut yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.

Che Husin berkata polis sedang menyiasat sama ada pemandu tersebut mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan tersebut.

Ini termasuk memeriksa kotak hitam bas tersebut untuk menentukan punca kemalangan sebenar, katanya.

Dalam kemalangan malam tadi, bas rombongan dari Kedah, yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah dekat sini pada pukul 7.50 malam tadi.

Bas tersebut terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas tersebut.

Rombongan itu yang dalam lawatan ke Genting Highlands bertolak dari Kedah pada pukul 11 malam Khamis dan tiba di Genting Highlands pada pukul 8 pagi semalam.

Pada pukul 7 malam tadi, rombongan itu telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah petang ini.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails