Wednesday, October 27, 2010

Pelaburan di Perak 2009 merosot

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Perak yang mengalami pelbagai rombakan dalam pemerintahan sepanjang tahun 2008 dan 2009 lalu, menyaksikan perbezaan kedudukan pelaburan bagi kedua-dua tahun dan mencatatkan penurunan sehingga RM86.85 juta.

Melalui analisis perbandingan yang dipetik dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009, menunjukkan pelaburan di Perak menunjukkan penurunan sehingga 12.0 peratus kepada RM635.50 juta (2009), berbanding RM722.35 juta pada tahun 2008.

Perak mengalami perubahan besar sepanjang tempoh itu, apabila kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih rakyat pada pilihan raya umum ke-12 lalu, dirampas oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kini menjadi nadi pemerintahan di negeri itu.

Jika dilihat daripada keseluruhan kedudukan pelaburan Perak dari tahun 2005-2009 telah menunjukkan penurunan pada 2006 dan 2007. Kedudukan pelaburan negeri itu meningkat semula pada 2008 tetapi menurun semula pada tahun 2009.


"Ini disebabkan Simpanan Tetap berjumlah RM93.15 juta telah dicairkan untuk menampung defisit aliran tunai kerajaan negeri, kata laporan itu yang dipetik FMT.

"Pengurangan aliran tunai antara lain disebabkan oleh peningkatan dalam perbelanjaan aset. Baki pelaburan pada tahun 2005 hingga 2009 adalah yang terendah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini."

Sementara itu, pada 2009 baki hutang kerajaaan negeri kepada kerajaan Persekutuan telah meningkat sebanyak RM57.26 juta atau 6.9 peratus menjadi RM887.85juta berbanding RM830.59 juta pada tahun 2008.

"Peningkatan ini disebabkan penerimaan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM94.06 juta bagi Projek Bekalan Air," laporan itu dipetik.

Kedudukan hutang kerajaan negeri berjumlah RM887.85 juta pada 2009 berbanding RM830.59 juta tahun sebelumnya.

Kedudukan baki hutang ini akan berkurangan dengan ketara sekiranya pihak Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) mengambil alih hutang bekalan air menjelang tahun 2011.

Tiada tunggakan bayaran balik pinjaman

Perak adalah satu-satunya negeri yang sentiasa membayar pinjaman kepada kerajaan persekutuan mengikut jadual dan tidak mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman bagi tempoh 2005 hingga 2009.

"Kerajaan negeri berupaya untuk menjelaskan hutang awam termasuk faedah sejumlah RM38.62 juta terhadap 71 pinjaman mengikut jadual bayaran balik pinjaman.

"Penyata hutang awam berakhir 31 Disember 2009 menunjukkan Perak telah menyelesaikan empat pinjaman di bawah Rancangan Perumahan Awam berjumlah RM6.49 juta dan satu pinjaman di bawah Rancangan Pembangunan Perusahaan berjumlah RM4 juta," demikian menurut laporan itu.

Secara keseluruhannya, analisis audit mendapati kedudukan kewangan kerajaan negeri Perak bagi tahun 2009 adalah memuaskan.

Laporan itu menyimpulkan bahawa, kerajaan negeri perlu mempertingkat dan memperkukuhkan lagi prestasi kewangan dengan mengekalkan perbelanjaan berhemat tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan pembangunan ekonomi negeri.

Tindakan lebih berkesan hendaklah diambil untuk mengutip tunggakan hasil yang berjumlah RM198.57 juta.

Bagaimanapun, tunggakan pinjaman daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Yayasan Perak dan Majlis Daerah Tanjong Malim yang telah matang berjumlah RM15.74 juta hendaklah dituntut.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails