Sunday, October 24, 2010

Parti utama selesai umum calon Galas, Batu Sapi

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Empat parti politik utama selesai mengumumkan nama bakal calon masing-masing termasuk seorang wanita untuk bersaing pada pilihan raya kecil serentak di Galas dan Batu Sapi.

Buat pertama kali, pilihan raya kecil sejak Mac 2008 menyaksikan seorang calon wanita diturunkan oleh parti politik utama.

Barisan Nasional (BN) meletakan sandaran pada Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Tsen, 54, merupakan balu kepada penyandang kerusi itu yang meninggal dunia awal bulan ini.


Datuk Edmund Chong Ket Wah iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.

Pengumuman Tsen dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bersama pemimpin komponen BN Sabah pada sidang akhbar di Hotel Sanbay, Sandakan 3 petang tadi.

Semalam, SAPP pula memilih presidennya Datuk Yong Teck Lee sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan.



Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi dan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas akan diadakan Selasa ini dan pengundian 4 November.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat untuk bersaing dengan Tsen.

Pengumuman pemilihan Ansari sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka, Sandakan.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang PKR Tuaran.

Beliau mengakui pilihan raya kecil Batu Sapi kali ini adalah sengit, namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.

Pengumuman juga menyaksikan bagi pilihan raya kawasan DUN Galas.

Selepas tiga hari, hari ini BN menamakan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff akan membawa cabaran perikatan tersebut.

Aziz menganggap pemilihannya sebagai calon BN pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bukan anugerah sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan baik.

Aziz, 49, berkata beliau tidak akan mampu membawa kemenangan kepada BN jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

Justeru beliau mengharapkan semua pihak agar redha dengan pemilihannya dan berkerjasama bagi merampas kembali kerusi DUN itu.

“Saya redha dengan ketetapan ini (terpilih sebagai calon) dan saya harap semua pihak juga redha.

“Tetapi saya bukan faktor utama untuk mencapai kemenangan, saya memerlukan sokongan daripada semua,” katanya ketika berucap selepas diumum sebagai calon kerusi DUN Galas oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Gua Musang kira-kira 3 petang tadi.

Aziz, dari Kampung Bertam Baru, Gua Musang dan juga bekas pengurus pejabat operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata beliau hanya mengetahui namanya dipilih sebagai calon pagi ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh meminta anggota Umno dan BN bersatu hati dalam memberikan sokongan kepada calon yang dipilih.

“Kita mahu kemenangan besar, bagilah sokongan bulat kepada calon yang dipilih,” katanya. Beliau berkata pilihan raya kecil itu perlu dijadikan sebagai titik permulaan untuk mengubah negeri Kelantan untuk masa depan yang lebih baik.

Aziz akan berhadapan dengan saingan Dr Zulkefli Mohamad dari PAS, calon yang pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang pada 2004 dan 2008.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya yakin calon mereka mempunyai kelebihan pada pilihan raya kecil Galas walaupun pernah dua kali tewas ketika bertanding kerusi Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh sebelum ini.

Hadi memberitahu, kali terakhir bertanding kerusi Parlimen Gua Musang iaitu pada pilihan raya umum 2008, undi yang diperoleh Dr Zulkefli di DUN Galas melebihi undi tokoh veteran Umno itu.

Selain calon parti-parti utama, kedua-dua pilihan raya kecil ini dijangka akan menyaksikan cabaran calon Bebas.

Hari ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan 4 November iaitu Khamis depan sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil Galas.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran kepada Bernama di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Dalam pada itu, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails