Thursday, October 14, 2010

Nurul Izzah layak Bertanding

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

PETALING JAYA, 14 Okt — Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar kini layak untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR dengan memperoleh minimum dua pencalonan.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan perkembangan itu ekoran keputusan Biro Politik parti malam tadi bersetuju menerima laporan pencalonan yang lewat diterima daripada cabang Semporna, Sabah.

“Dalam mesyuarat Biro Politik parti malam tadi, kita menetapkan untuk menerima pencalonan daripada enam cabang parti yang menghantar senarai pencalonan Majlis Pimpinan Pusat selepas 10 Oktober.

“Cabang tersebut termasuk Semporna, Setiawangsa, Titiwangsa, Selangau, Segambut dan Beluran. Dari enam cabang tersebut, Semporna mencalonkan Nurul Izzah untuk bertanding jawatan timbalan presiden.


“Dengan ini Nurul Izzah telah menerima dua pencalonan minimum untuk jawatan timbalan presiden. Jadi beliau layak untuk bertanding,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR tengah hari tadi.

Nurul Izzah sebelum ini menerima pencalonan bagi jawatan timbalan presiden dari cabang Keningau.

Nurul Izzah sebelum ini dilihat hanya boleh bertanding jawatan naib presiden sebab beliau tidak melepasi kelayakan minimum dua pencalonan yang disyaratkan untuk bersaing kerusi nombor dua parti.

Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat.

“Sekarang ini terpulang kepada Nurul Izzah sama ada mahu bertanding atau tidak.

“Jika mahu bertanding beliau kena datang pada hari penerimaan pencalonan pada 16 Oktober (lusa),” kata Saifuddin lagi.

Sebelum ini pihak pengurusan PKR menetapkan tarikh 10 Oktober sebagai tarikh akhir untuk cabang menyerahkan senarai pemilihan peringkat pusat.

Tarikh tersebut telah menimbulkan kekeliruan kerana banyak cabang parti itu tidak mengetahui tentang tarikh tersebut.

“Daripada 204 cabang, 193 telah bermesyuarat dan 162 telah mematuhi tarikh akhir tersebut.

“Manakala enam cabang menghantarnya selepas 10 Oktober, jadi kita menerima senarai pemilihan yang cabang-cabang tersebut hantar,” tambah Saifuddin lagi.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang itu berkata calon yang layak untuk bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu menyerahkan borang pencalonan pada 16 Oktober ini.

“Hari penerimaan pencalonan ditetapkan pada 16 Oktober dan semua calon yang layak sama ada MPP, Wanita dan AMK perlu serahkan borang pencalonan tarikh yang ditetapkan.

“Bagi calon yang layak kita telah menyerahkan borang pencalonan kepada mereka, pada 16 Oktober ini mereka perlu datang ke ibupejabat PKR beserta wang tunai RM100.

“Kita telah tetapkan borang pencalonan ini boleh dihantar bermula 10 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Beliau berkata sekiranya calon tidak dapat hadir, borang tersebut boleh dihantar melalui wakil masing-masing.

“Kalau calon tidak dapat hadir, mereka boleh serahkan borang pencalonan itu kepada wakil mereka.

“Setakat hari ini kita sudah terima 252 pencalonan bagi MPP, 100 Wanita dan 183 AMK,” katanya.

Tambahnya, daripada 59 cabang yang menghantar aduan dan bantahan, sebanyak 27 cabang telah diselesaikan.

Saifuddin Nasution Ismail menunjukkan contoh borang penerimaan pencalonan pada sidang media tengah hari tadi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails