Monday, October 11, 2010

Ku Li nafi bersetuju jadi calon BN di Galas

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Tengku Razaleigh Hamzah menafikan laporan media bahawa beliau telah melahirkan persetujuan untuk menjadi calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Sebaliknya, Ketua Umno Gua Musang itu menegaskan, tiada keputusan mengenai calon dicapai ketika mesyuarat pramajlis Barisan Nasional (BN) yang diadakan pagi ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata pertemuan pagi tadi hanya menyentuh aspek persediaan jentera kempen BN menghadapi pilihan raya kecil Galas.


“Tidak, tidak, tidak. Tidak ada keputusan dibuat... tidak ada keputusan dicapai, yang hanya dibincangkan usaha memastikan jentera BN bersiap sedia untuk pilihan raya kecil,” katanya lagi.

“Belum ada lagi senarai pendek calon (bakal diturunkan),” kata Tengku Razaleigh lagi.

Sehubungan itu beliau menambah, pengumuman calon hanya akan dibuat selepas Perhimpunan Agung Tahunan Umno.

BN dijangka mengumumkan calonnya secara rasmi pada 24 Oktober.

“Buat masa sekarang, kami tidak tahu sama ada kami boleh menang. (Bagaimanapun) kami berharap untuk mendapatkan majoriti besar,” kata Tengku Razaleigh lagi.

Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyerahkan surat pelantikan sebagai Tengku Razaleigh selaku pengarah pilihan raya kecil DUN Galas.

Najib bagaimanapun masih berahsia mengenai calon yang akan bertanding mewakili BN bagi pilihan raya itu.

“Saya telah menyampaikan surat pelantikan sebagai pengarah pilihan raya Galas kepada Tengku Razaleigh Hamzah sebentar tadi.

“Yang Amat Mulia Tengku Razaleigh amat bersedia untuk mengepalai jentera BN dan akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menggerakkan jentera kita dan mencapai kejayaan dalam pilihan raya kecil ini,” kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis anggota Parlimen BN di bangunan Parlimen hari ini.

Bagaimanapun Najib yang juga Pengerusi BN berkata soal calon untuk bertanding pada pilihan raya itu tidak akan diumumkan hari ini.

“Calon kita akan umum tapi pada masa yang sesuai... kita ada bincang tetapi keputusannya bukan sekarang,” katanya.

Najib berkata, dalam pertemuan dengan Tengku Razaleigh itu beliau meminta supaya jentera Umno dan BN pusat bekerjasama sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima akibat barah usus pada 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Oktober ini sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan hari mengundi ialah pada 4 November.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails