Saturday, October 30, 2010

Ku Li Khianat.



GUA MUSANG, 30 Okt — Kempen pilihan raya kecil kerusi Galas menuju tahap baru dengan PAS kelihatan mula ‘menyerang’ Tengku Razaleigh Hamzah — mendakwa beliau sebagai punca mengapa masalah dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di Gua Musang tidak dapat diselesaikan dengan baik dan menyeluruh.

Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS di DUN Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, Tengku Razaleigh Hamzah telah diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah Orang Asli ketika beliau mengetuai Semangat 46, yang telah membantu membentuk kerajaan negeri pada 1990 dan 1995.


PAS menerajui kerajaan negeri Kelantan mulai 1990 sehingga sekarang. Tahun ini genap 20 tahun Kelantan diterajui pentadbiran PAS.

Orang Asli dilihat sebagai penyokong kuat BN khususnya Tengku Razaleigh sejak dahulu lagi termasuk pada 1990 dan 1995.

“Dulu di Kelantan, kita banyak bergantung kepada Ku Li (Tengku Razaleigh) dan Semangat 46 untuk semua permasalahan orang Asli di Gua Musang.

“Kita setuju beri kepada untuk bertanding dan serah segala urusan orang Asli kepada beliau.

“Tapi apabila Ku Li hancurkan Semangat 46 dan masuk kembali kepada Umno, kita tiada fail berkaitan Orang Asli dan kita tidak tahu macam mana nak mulakan semula.

“Jadi ia adalah satu pengkhianatan yang Ku Li dan Semangat 46 buat terhadap kita, beliau bubarkan Semangat 46 dan masuk Umno,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang membubarkan Semangat 46 dan menyertai semula Umno pada 1996.

Semangat 46 ditubuhkan kesan perpecahan akibat pemilihan Umno 1987.

“Walaupun Ku Li mengkhianati ketika dalam isu Orang Asli tapi kita tetap meneruskan untuk membantu Orang Asli di Gua Musang,” kata Wan Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kota Baru.

Ini kali pertama PAS dilihat membuat kenyataan ‘pedas’ seperti ini sejak kempen pilihan raya kecil DUN Galas bermula Selasa lalu.

Tiga hari lalu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan PAS Kelantan tidak memperjuangkan masyarakat Orang Asli yang menghadapi masalah hak milik serta pencerobohan tanah di sekitar kawasan DUN Galas di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata masalah tanah termasuk yang berhubung kait dengan pampasan dan pencerobohan sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Baik isu pengambilan tanah tidak dibayar pampasan, yang ada hubung kait dengan (projek) Ladang Rakyat (yang dimajukan oleh kerajaan Kelantan), (dan) pencerobohan oleh pihak-pihak pengusaha (kebun) yang semakin berleluasa sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan PAS kerana ia di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas akibat barah.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff sebagai calon manakala PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Dua daripada tiga kerusi DUN di Gua Musang iaitu Nenggiri dan Paloh dikuasai BN manakala Galas dimenangi PAS pada Mac 2008.

PAS dan Umno menganggap pilihan raya kecil ini sama penting.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails